Lebih ramai ke Mahkamah Rayuan untuk rayu kes: Hakim Besar
Lebih banyak kes dikendalikan oleh mahkamah tertinggi Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu tambahan 50 peratus kes berbanding 2013.
Hakim Besar Sundaresh Menon dalam satu sidang pada Oktober 2018.
SINGAPURA: Lebih banyak kes dikendalikan oleh mahkamah tertinggi Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu tambahan 50 peratus kes berbanding 2013.
Hakim Besar Sundaresh Menon mendedahkan perkara itu dalam ucapannya di Pembukaan Tahun Guaman 2019 hari ini (7 Jan), yang menandakan permulaan tahun baru bagi industri guaman.
"Tambahan lagi, kami menyaksikan kes-kes yang semakin rumit, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa penghakiman yang disampaikan," katanya.
Bagi menangani jumlah kes yang meningkat, Hakim Woo Bih Li akan menyertai Hakim-Hakim Belinda Ang dan Quentin Loh di Mahkamah Rayuan.
Jumlah hari perbicaraan bagi Mahkamah Rayuan juga dinaikkan tahun ini.
"Selain itu, kami juga akan meneliti penyesuaian struktural yang mungkin dilakukan bagi membantu menangani jumlah kes rayuan yang meningkat," kata Hakim Besar Menon.
Beliau juga membicarakan tentang perubahan dan inovasi dalam badan kehakiman. Salah satu inisiatif utama - sebuah platform huraian pertikaian bagi tuntutan kemalangan kenderaan - akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat mulai hujung tahun ini.
"Matlamatnya adalah untuk membolehkan orang awam meleraikan pertikaian kemalangan kenderaan secara online, kemungkinan pada kos lebih rendah," kata Hakim Besar.
Beralih kepada pembaharuan pendidikan dalam bidang guaman, Hakim Besar Menon berkata kejayaan dalam bidang guaman "jauh melebihi sekadar pengetahuan undang-undang".
"Ia menuntut keupayaan yang sering berkait dengan disiplin lain, daripada bidang perniagaan dan kewangan kepada pengurusan projek dan teknologi maklumat," katanya. "Maka itu, sekolah undang-undang mungkin perlu melakukan lebih daripada setakat mendidik para pelajar tentang undang-undang."
Mendidik generasi peguam masa depan adalah satu hal yang kompleks dan dinamik yang tidak boleh hanya dijawab oleh sekolah-sekolah perundangan, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.