Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai kanak-kanak dijangkiti adenovirus; demam berlarutan, mata merah antara gejala

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai kanak-kanak dijangkiti adenovirus; demam berlarutan, mata merah antara gejala

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 17 May 2023 08:59AM Dikemas Kini : 17 May 2023 01:28PM
SINGAPURA: Lebih ramai kanak-kanak dijangkiti adenovirus, yang mempunyai gejala selesema dan seringkali konjunktivitis dan demam tinggi, kata para doktor.

Adenovirus merupakan virus biasa yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit dari masalah penafasan dan radang perut dan usus akut. Ia lazimnya berjangkit melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti atau melalui titisan penafasan dan cecair di udara melalui batuk dan bersin.

Walaupun pengamal perubatan tidak melakukan ujian pengesahan bagi virus itu disebabkan kos, Dr Penny Lo berkata satu tanda adenovirus adalah selesema yang dikaitkan dengan konjunktivitis, juga dikenali sebagai mata merah atau 'pink eye'.

Doktor kanan keluarga di Joy Family Clinic memberitahu Mediacorp pada Isnin (15 Mei) bahawa beliau menyaksikan kenaikan pada jumlah kes sedemikian dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Gejala lain termasuk sesak nafas, sakit tekak, cirit-birit, muntah dan pening kepala.

Dr Jenny Tang, seorang pakar perunding kanan pediatrik di Klinik Bayi dan Kanak-Kanak Singapura (SBCC), juga menyaksikan kes-kes adenovirus yang lebih teruk dalam kalangan kanak-kanak.

"Kami menyaksikan jangkitan adenovirus yang menyebabkan demam tinggi yang berlarutan, yang dikaitkan dengan gejala saluran penafasan seperti faringitis, laringotrakeitis akut dan bronkitis," katanya.

Doktor mengaitkan kenaikan jumlah kes adenovirus itu kepada "kesan pasca pandemik". Kenaikan jumlah kes adenovirus sejajar dengan lonjakan pada jumlah jangkitan penafasan lain, menurut para doktor.

Dr Karen Donceras Nadua dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) menambah bahawa ia adalah perkara biasa untuk kanak-kanak dijangkiti penyakit seperti adenovirus.

Menjawab pertanyaan daripada Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan kes-kes jangkitan penafasan akut (ARI) sedang diuji bagi pelbagai patogen penafasan, termasuk adenovirus, di bawah program pengawasannya.

Walaupun kebanyakan kes adalah kes ringan, jangkitan teruk boleh berlaku, terutama sekali pada bayi dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Dalam kes-kes yang jarang berlaku, jangkitan adenovirus boleh menyebabkan radang paru-paru, hepatitis atau meningoensefalitis, yang menjejas otak, kata Dr Kelly Low, sorang perunding di Perkhidmatan Pediatrik Am KKH.

CARA KURANGKAN RISIKO JANGKITAN

Doktor memberitahu Mediacorp bahwa kebanyakan jangkitan adenovirus dalam kalangan kanak-kanak adalah ringan dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan adenovirus, Dr Tang dari SBCC berkata ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka untuk mengamalkan kebersihan tangan yang baik dan elakkan daripada berhubung dengan individu yang sakit.

Memandangkan adenovirus bertahan terhadap pembasmi kuman dan boleh kekal berjangkit dalam tempoh yang panjang pada permukaan dan objek-objek, beliau juga menasihatkan agar tidak berkongsi cawan dan peralatan makan dengan orang lain. Sama juga bagi tuala, cadar katil, sarung bantal dan selimut serta baju tidur atau barangan peribadi lain.

Kementerian Kesihatan (MOH) juga menyarankan agar mereka yang sakit duduk di rumah, memakai pelitup ketika keluar dan elakkan interaksi sosial.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan