Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai kakitangan tinggalkan sektor awam dalam tempoh 6 bulan kebelakangan ini

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2022 05:31PM Dikemas Kini : 15 Feb 2022 11:14PM

SINGAPURA: Perkhidmatan Awam Singapura menyaksikan kenaikan pada jumlah kakitangan yang meninggalkan sektor awam "secara keseluruhannya", dengan kadar peletakan jawatan terbesar dalam skim am Perkhidmatan Awam - iaitu skim eksekutif pengurusan - mencecah paras tertinggi 9.9 peratus dalam tempoh 10 tahun pada tahun lalu.

Demikian dedah Menteri bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing hari ini (15 Feb).

Bercakap di Parlimen, Encik Chan berkata jumlah kakitangan yang meninggalkan sektor awam "jelas semakin meningkat dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini", dengan sebahagian segmen seperti teknologi infokom mengalami "tekanan lebih tinggi persaingan" di tengah-tengah kekurangan bakat dan mengalami kadar lebih tinggi peletakan jawatan.

Encik Chan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (AP) Patrick Tay (PAP-Pioneer) yang bertanya sama ada perkhidmatan awam juga menyaksikan kenaikan pada jumlah kakitangan yang meninggalkan sektor awam di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Encik Tay, yang merupakan ketua kesatuan buruh, juga  bertanya apa yang sedang dilakukan untuk menjaga kesihatan dan kebajikan pekerja dalam perkhidmatan awam, dan apakah yang dilakukan Pemerintah untuk memastikan pampasan dan manfaat untuk penjawat awam kekal berdaya saing.

"Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan pada jumlah kakitangan yang meninggalkan sektor awam, termasuk tekanan pekerjaan, gaji dan peluang pembangunan serta kemajuan profesional," kata Encik Chan.

"Khususnya, sejak dua tahun lalu, pegawai awam terpaksa berdepan tekanan hebat, bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk meneruskan perjuangan menentang COVID-19. Ada kalanya, mereka juga terpaksa berdepan dengan orang awam yang cemas dan mendesak semasa mereka menjalankan tugas berkaitan COVID-19. Peralihan kepada aturan kerja dari rumah juga mengaburkan garis antara kerja dengan kehidupan."

Beliau juga menegaskan bahawa terdapat risiko kenaikan pada jumlah kakitangan yang meninggalkan sektor awam apabila ekonomi pulih dan tawaran pekerjaan daripada sektor swasta meningkat.

Encik Chan berkata bahawa perkhidmatan awam akan memperhebat usaha untuk menyelaraskan proses dan terus menyediakan "hala tuju jelas" dalam membantu para pegawai mengaitkan kerja dan sumbangan mereka dengan tujuan teras berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya.

Dalam masa yang sama, ia juga mempertingkat usaha untuk menyokong dan menjaga kesihatan serta kesejahteraan mental kakitangan sektor awam, katanya. Ini termasuk menganjurkan webinar secara kerap mengenai topik yang berkaitan dengan kesejahteraan, seperti "daya bingkas, kesedaran, pemakanan dan senaman fizikal".

Turut diperkenalkan ialah talian hotline kaunseling 24/7 serta platform digital untuk membantu pegawai awam mengakses sumber kesihatan mental.

"Kami juga sudah membina sebuah masyarakat lebih 900 duta kesihatan daripada 80 agensi. Ini adalah pegawai awam yang menawarkan diri untuk dilatih dan memberikan sokongan asas emosi kepada rakan sekerja dan bertindak sebagai duta untuk kesejahteraan mental," tambah Encik Chan.

Terdapat juga langkah-langkah untuk mempertingkat nilai pekerja bagi kerjaya dalam perkhidmatan awam, jelas Encik Chan.

Ini dilakukan dengan memperluaskan giliran kerja dan latihan amali di luar sektor awam untuk menjadikan pekerjaan "lebih menarik dan memuaskan" apabila para pegawai dapat melalui pengalaman dan mempelajari perkara baru secara kerap.

Encik Chan berkata bahawa perkhidmatan awam akan terus menyemak gaji dan manfaat untuk pegawai awam dan menyesuaikannya di mana perlu untuk "mengikut perkembangan" pasaran.

"Penyesuaian berkala ini membantu membolehkan perkhidmatan awam menarik dan mengekalkan sejumlah besar bakatnya supaya kami boleh terus menyampaikan khidmat bermutu tinggi untuk rakyat Singapura," tambahnya.

Sumber : CNA/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan