Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai ibu bapa sedar manfaat jangka panjang simpan darah tali pusat anak

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai ibu bapa sedar manfaat jangka panjang simpan darah tali pusat anak

Lebih ramai ibu bapa sedar manfaat jangka panjang simpan darah tali pusat anak. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Sewaktu Cik Nazlene Zainal Alias hamil dengan anak tunggalnya, beliau sering membaca risalah-risalah mengenai penyimpanan darah tali pusat bayi.

Sedar akan manfaat jangka panjang yang boleh diraih, Cik Nazlene dan suami memutuskan untuk menyimpan darah tali pusat anak mereka, Alexander Arif Geller di sebuah bank privet 14 tahun yang lalu.

“Motivasi saya untuk menyimpan darah tali pusat anak saya adalah kerana ini memberi saya satu harapan bagi masa depannya. Anak saya merupakan anak tunggal, bapanya juga anak tunggal, bapa mertua saya juga merupakan anak tunggal. Kakak saya sendiri tidak berumah tangga. Ini bermakna anak saya tidak mempunyai adik beradik dan tidak mempunyai sepupu yang sedarah dengannya. Maka itu, saya ingin memberikannya harapan bagi masa depannya,” kongsi Cik Nazlene kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.

SELAMATKAN NYAWA, BANTU DALAM RAWATAN PENYAKIT DARAH

Malah, beliau juga melihat pelbagai manfaat dalam menyimpan darah tali pusat anaknya itu.

“Ia dapat menyelamatkan nyawa kerana darah tali pusat itu kaya dengan sel tunjang dan menurut kajian, ia dapat membantu dalam rawatan penyakit darah dan juga barah. Dan manfaat kedua pula ialah risikonya agak kecil kerana risiko penolakan dan pencemaran itu agak berkurangan kerana darah tali pusat itu daripada anak saya sendiri.

Yang ketiga, dari sudut rawatan, darah tali pusat ini kaya dengan sel yang dikatakan dapat membantu jika seseorang itu mempunyai barah kerana ia dapat digunakan sebagai satu pemindahan untuk pesakit barah itu, lebih-lebih lagi bila sistem imunnya kurang disebabkan kemoterapi atau radiasi,” ujar Cik Nazlene, 49 tahun.

Tambahnya, anaknya untuk mendermakan kepada orang lain sekiranya dia ingin lakukan demikian pada masa hadapan.

KHUATIR DENGAN KEJADIAN DI CORDLIFE TETAPI AKAN TERUS GUNA KHIDMAT BANK DARAH TALI PUSAT

Pada bulan lalu, syarikat Cordlife diarah menerima tempoh penggantungan selama enam bulan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini selepas beberapa tangki penyimpanan darah tali pusat kendaliannya didapati terdedah kepada suhu yang tidak sesuai sehingga menjejas kira-kira 2,200 unit darah tali pusat milik pelanggan.

“Bila saya dengar tentang berita itu, saya agak khuatir kerana ini merupakan satu pelaburan di mana setiap tahun kami menyumbang untuk mengharapkan satu detik harapan bagi anak saya dan ia dianggap sebagai saham. Kadang-kadang terdapat juga risikonya, dan risikonya saya ambil kerana saya fikirkan yang ini merupakan satu matlamat hidup kami untuk menjaminkan masa depan dari segi perubatan sains dan teknologi bagi anak saya. Jadi saya amat khuatir tetapi saya fikirkan yang syarikat-syarikat lain akan mengambil berat tentang masalah ini ,” kongsi Cik Nazlene.

LEBIH RAMAI IBU BAPA SEDAR AKAN MANFAAT DAN KEPENTINGAN DARAH TALI PUSAT

Selain Cordlife, ada dua lagi bank darah tali pusat privet di sini, iaitu Cryoviva dan StemCord.

Pengurus Jualan dan Pemasaran StemCord Cik Diana Pwa berkata semakin ramai ibu bapa yang lebih memahami manfaat menyimpan darah tali pusat.

"StemCord sudah wujud sejak 21 tahun lalu. Sejak 2002, kami telah berjaya mengeluarkan 17 sel tunjang di Singapura untuk tujuan rawatan dan ini menjadi bukti akan tahap dan mutu kami yang tinggi," kata Cik Pwa.

Tambahnya, lebih 40,000 unit darah tali pusat sudah digunakan dalam pemindahan sel-sel tunjang di dunia.

Dalam pada itu, StemCord menyatakan ia mempunyai sistem kawal selia yang kukuh.

StemCord mempunyai langkah-langkah keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan kesemua alat yang digunakan untuk menyimpan darah tali pusat itu diperiksa setiap hari dan berada dalam lingkungan suhu yang diterima.

Ia termasuk tangki-tangki kriogenik, peti sejuk dan pembekunya.

“StemCord komited untuk memastikan semua unit darah tali pusat diproses dan disimpan mengikut standard yang paling tinggi. StemCord memproses setiap unit darah tali pusat dalam dua beg krio dan menyimpannya dalam dua kaset dan dua beg krio ini akan disimpan di dua lokasi berbeza iaitu di Tradehub21 dan di Pasir Panjang iaitu makmal utama kami.

“StemCord mempunyai dua tangki pembeku kriogenik tambahan dalam kemudahan kita untuk memastikan sekiranya ada keperluan untuk memindahkan sampel-sampel dari tangki yang rosak kepada tangki kriogenik itu, ia dapat dilakukan dengan cekap dan setiap kali kita memindahkan sampee tersebut, kita perlu memastikan suhunya itu disimpan di bawah -150 darjah Celsius untuk memastikan ia disimpan dengan betul untuk tempoh yang panjang," kata Pengarah Makmal StemCord, Encik Eddie Yoh.

GUNA EMS UNTUK PERIKSA TANGKI, PETI SEJUK, PEMBUKU DAN SUHU BILIK

Malah, syarikat itu juga mempunyai Sistem Pemeriksaan Persekitaran (EMS) yang dapat memeriksa semua tangki kriogenik, peti sejuk, pembeku dan suhu bilik di makmal-makmalnya.

Misalnya, terdapat sistem amaran atau loceng kecemasan yang akan berbunyi bagi memaklumkan kepada para kakitangan tentang sebarang kecemasan. Ia antaranya jika suhu dalam tangki itu meningkat lebih daripada suhu yang ditetapkan.

Para kakitangan juga akan menerima mesej dan pesanan tersebut menerusi telefon bimbit mereka berkenaan kecemasan tersebut.

Dari segi proses untuk mengambil darah tali pusat pula dari klien, Encik Yoh berkongsi bahawa ia hanya akan dikendalikan oleh para kakitangan terlatih, dengan prosesnya mengambil hanya lima minit sahaja untuk diselesaikan.

“StemCord akan mendaftar klien dengan perjanjian simpanan dan menyemaknya secara menyeluruh untuk memastikan klien faham apa tujuan menyimpan darah tali pusat anak mereka dengan StemCord,” ujar Encik Yoh.

Selain penyedia privet, para ibu bapa boleh mendermakan darah tali pusat bayi mereka dan disimpan di Bank Darah Tali Pusat Singapura

Sepuluh hospital di Singapura menawarkan derma darah tali pusat awam dan perbankan darah tali pusat keluarga secara langsung.

Mereka adalah Hospital Wanita dan Kanak-kanak (KKH), Hospital Universiti Nasional, Hospital Besar Singapura, Gleneagles, Mount Alvernia, Mount Elizabeth (Orchard dan Novena), Parkway East, Raffles dan Thomson Medical.

Darah tali pusat yang disimpan di bank awam, adalah untuk semua orang.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan