Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai guru digalak sertai program latihan industri bagi persiap pelajar untuk masa hadapan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mempelajari kemahiran baru untuk memenuhi tuntutan pendidikan yang berubah-ubah dan mempersiapkan para pelajar untuk pekerjaan masa hadapan. 

Ini adalah antara topik yang dibincangkan bersama 1,500 pemimpin sekolah dan pendidik di Seminar Pelan Kerja Sekolah yang diadakan di Singapore Expo pada Rabu (14 Sep).

Sejauh ini sekitar 80 daripada 150 guru sudah selesai menjalani latihan kerja atau TWA+.  

Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk membolehkan lebih ramai guru meraih manfaat daripada program sedemikian.

Guru-guru boleh menyertai program-program itu mengikut minat masing-masing.

Sebagai guru kelab infokom dan bahasa Melayu, Cik Siti Rohani Hanim Selamat sering menggunakan video dan rakaman audio untuk mengajar.

Latihan bekerja selama seminggu dengan kru penerbitan saluran Suria Mediacorp pada Jun lalu membolehkan beliau raih kemahiran lebih khusus tentang beberapa aspek teknikal.

Ini membantu para pelajarnya menghasilkan video lebih bermutu.

"Menerusi pengalaman TWA+ saya telah pelajari tentang celik media jadi saya cuba gunakan teknik-teknik yang saya belajar itu ke dalam kelas dan mengajar pelajar-pelajar bagaimana untuk memilih dan bagaimana untuk menyampaikan mesej-mesej yang mereka ingin sampaikan dalam projek-projek mereka," kata Cik Siti Rohani, guru Sekolah Menengah Fuhua.

Di seminar pelan kerja siang tadi, Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman berkata program tersebut boleh membuka perspektif para guru selain mengembangkan kerjaya mereka.

"Kita harus memastikan bahawa para pendidik mempunyai kemahiran baru, kemahiran memahami bagaimana para penuntut mereka mempelajari bahan-bahan baru, bagaimana mereka boleh menggunakan bahan-bahan teknologi untuk menyemarakkan lagi kebolehan anak-anak didik mereka, bagaimana mereka boleh memberi ruang baru untuk anak-anak didik mereka mempelajari dan menerapkan ilmu-ilmu baru bukan saja menerusi alam sekolah tetapi juga di luar sekolah, bagaimana alam luar sekolah menjadi satu tapak baru untuk mereka mempelajari isu-isu baru dan menyediakan mereka untuk masa depan," kata Dr Maliki.

Bercakap di luar acara itu juga Menteri Pendidikan Chan Chun Sing menekankan pentingnya untuk para pelajar berupaya memikirkan tentang cabaran masa depan dan mencari jawapannya lebih awal.

Ini katanya memerlukan beberapa perubahan terhadap cara mendekati pendidikan lantas terdapat keperluan melengkapi para pendidik dengan kemahiran yang diperlukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/EM/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan