Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai guru dapatkan khidmat kaunseling sejak pandemik COVID-19 melanda, dedah Chan Chun Sing

Lebih ramai guru di Singapura mendapatkan sokongan menerusi khidmat kaunseling sejak permulaan pandemik COVID-19, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai guru di Singapura mendapatkan sokongan menerusi khidmat kaunseling sejak permulaan pandemik COVID-19, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa (15 Feb).

Purata 40 guru mendapatkan sokongan khidmat kaunseling yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) setiap tahun dari 2017 hingga 2019, sebelum COVID-19 melanda.

Jumlah purata itu meningkat kepada sekitar 70 tahun lalu sepanjang dua tahun lalu, menurut Encik Chan dalam jawapan bertulis kepada satu soalan Parlimen pada Selasa.

"Sebagai wadah sokongan tambahan, talian penting kaunseling keseluruhan Pemerintah dilancarkan pada Mac 2021, dengan sekitar 90 kakitangan MOE dari kedua-dua sekolah MOE dan ibu pejabat menghubungi talian itu pada tahun lalu," tambah beliau.

Encik Chan menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Louis Ng (PAP-Nee Soon) mengenai jumlah guru yang mendapatkan khidmat kaunseling sepanjang lima tahun lalu.

"MOE akur akan beban luar biasa COVID-19 terhadap keseluruhan sistem pendidikan dan guru-guru kita khususnya perlu memikul lebih banyak tanggungjawab bagi memastikan sekolah-sekolah kekal selamat di samping memastikan pembelajaran dapat diteruskan untuk para pelajar kita," kata Encik Chan.

"Justeru, MOE membuat penyesuaian di kedua-dua peringkat sistem serta peringkat sekolah untuk mengutamakan semula insiatif serta program sekolah bagi memastikan guru-guru tidak terbeban dan berupaya menyokong mereka dengan lebih baik."

Semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" pada 2020, aturan pembelajaran di rumah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada respons Pemerintah kepada pandemik COVID-19. Sejak itu, aturan pembelajaran di rumah dan model pembelajaran hibrid dilaksanakan sekali-sekala di sekolah.

Pada November lalu, Encik Chan berkata beban tugas para guru "meningkat lebih seganda" bagi memastikan sistem sekolah dapat diteruskan di tengah-tengah pandemik.

Demi memastikan peralihan lancar dari pembelajaran secara fizikal di bilik darjah kepada aturan pembelajaran di rumah, Encik Chan menarik perhatian guru-guru perlu meluangkan "banyak masa" untuk melakarkan lebih daripada dua set pelan pelajaran.

Guru juga perlu menjaga para pelajar dengan keperluan tinggi, termasuk mereka yang perlu kembali ke sekolah semasa tempoh pembelajaran di rumah, di samping menjalankan tugas pasukan pengesanan kontak.

"Kebajikan tenaga pengajar kami adalah keutamaan penting bagi MOE," kata Encik Chan pada Selasa.

"Kami meyediakan pelbagai sumber untuk menyokong kesejahteraan diri mereka termasuk kursus pembangunan profesional, wadah bagi mendapatkan sokongan rakan sebaya dan khidmat kaunseling secara percuma yang disediakan kepada semua kakitangan sekiranya perlu."

MOE juga memperkenalkan satu inisiatif baru tentang Duta Kesejahteraan pada September tahun lalu untuk mempertingkatkan sokongan kesihatan mental bagi para guru.

Di bawah inisiatif itu, para kakitangan yang dilantik akan dilatih untuk menyediakan "sokongan asas rakan sebaya dan menggalakkan rakan sekerja mereka supaya mendapatkan bantuan jika perlu".

Selain itu, para guru boleh mengakses wadah online 'Mindline at Work', yang menawarkan tip dan sumber jagaan serta kesejahteraan diri, yang "disesuaikan untuk memenuhi keperluan pengguna individu", kata Encik Chan.

"Guru-guru juga boleh menghadiri sesi perkongsian dan bengkel mengenai kesejahteraan guru yang ditawarkan oleh MOE," tambah beliau.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan