Skip to main content

Singapura

Lebih ramai cari tempat lindung semasa 'circuit breaker'; bantuan bagi gelandangan jangkaui tempoh COVID-19: MSF

Hampir 300 orang tampil mencari tempat perlindungan dan bantuan sejak bermulanya tempoh pemutus jangkitan COVID-19, termasuk mereka yang terjejas oleh sekatan perjalanan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Isnin (4 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai cari tempat lindung semasa 'circuit breaker'; bantuan bagi gelandangan jangkaui tempoh COVID-19: MSF

(Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 May 2020 06:11PM Dikemas Kini : 04 May 2020 06:21PM

SINGAPURA: Hampir 300 orang tampil mencari tempat perlindungan dan bantuan sejak bermulanya tempoh pemutus jangkitan COVID-19, termasuk mereka yang terjejas oleh sekatan perjalanan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Isnin (4 Mei).

Encik Lee menjawab soalan di Parlimen dari Anggota Parlimen Gan Thiam Poh, Murali Pillai dan Anggota Parlimen Dilantik Anthea Ong.

"Kami menyaksikan peningkatan jumlah orang yang mencari tempat perlindungan sejak sebulan lalu. Apabila Rangkaian PEERS dibentuk pada Julai 2019, kurang separuh daripada 65 orang yang didampingi bersedia menerima bantuan," tambah Encik Lee.

Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (PEERS)
terdiri daripada agensi-agensi pemerintah dan khidmat sosial serta kumpulan-kumpulan masyarakat.

MSF bekerja rapat dengan agensi barisan hadapan seperti Pasukan Polis Singapura dan NParks untuk merujukkan golongan gelandangan ke psaut perlindungan, Pejabat Khidmat Sosial dan agensi-agensi relevan bagi bantuan kewangan.

"Mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tidak akan menghadapi hukuman di bawah Peraturan COVID-19 (Tindakan Sementara) 2020, jika mereka dibantu oleh kami," tambah Encik Lee.

CUKUP RUANG BAGI GELANDANGAN

Menjawab pertanyaan Encik Pillai mengenai sama ada terdapat ruang yang mencukupi di tempat perlindungan untuk menampung gelandangan, menteri itu berkata bahawa MSF sedang bekerjasama dengan rakan kerja PEERS sedia ada dan yang baru untuk menawarkan tempat mereka sebagai Tempat Tidur Selamat (S3P).

Jumlah badan yang mengendalikan S3P meningkat dari lapan kepada 35 dan secara keseluruhan dapat menampung sekitar 700 gelandangan, dengan sekitar 400 ruang kosong sekarang.

“Sejak bermulanya 'circuit breaker', PEERS S3P kami telah memperluas kapasiti dan waktu operasi untuk memastikan golongan gelandangan dapat duduk dalam tempat itu seberapa boleh. Mereka telah membenarkan golongan tersebut terus berada S3P sepanjang hari dan memberi mereka makanan. "

Beberapa S3P baru ini termasuk PerkhidmatanMasyarakat Anglikan Singapura, Masjid Kassim, Gereja Methodist Ang Mo Kio, Masjid Assyakirin dan Tao One Ltd.

"HDB juga menyediakan flat sewa kosong kepada rakan masyarakat kami, untuk dikendalikan sebagai S3P semasa krisis ini," kata Encik Lee.

LANGKAH JANGKA PANJANG

Dalam satu soalan tambahan, Encik Pillai bertanyakan penilaian Encik Lee mengenai keadaan semasa dan langkah selanjutnya yang akan diambil MSF di tengah-tengah langkah pemutus jangkitan.

"Walaupun ada yang tidak memmpunyai rumah, sebilangan mereka sebenarnya ada tempat tinggal namun tidak dapat pulang rumah ekoran perselisihan keluarga," kata Encik Lee.

"Kami mendampingi mereka melalui jaringan rakan kerja kami untuk membawa mereka ke S3P, agar mereka terlindung dan tetap selamat selama tempoh pemutus rantaian".

Namun, ada individu yang belum dikenal pasti dan rangkaian PEERS akan terus mendampingi dan mencari mereka yang memerlukan pertolongan.

"Duta jarak selamat telah membuat rondaan dengan bantuan pekerja sosial untuk mengenal pasti orang yang berada di luar sana yang bukan kerana mereka enggan patuh peraturan tetapi kerana mereka mempunyai masalah serius di rumah."

"Matlamat kami bukan hanya untuk menjaga keselamatan gelandangan selama tempoh COVID-19, tetapi untuk membantu mereka menyelesaikan masalah pokok mereka dan kembali berdikari setelah tempoh ini."

BANTUAN SETELAH TEMPOH COVID-19

Anggota Parlimen Louis Ng dalam pertanyaan tambahan meminta penjelasan tentang rancangan masa depan untuk menempatkan gelandangan setelah tempoh COVID-19, apabila tempat-tempat ibadah menyambung "fungsi biasa".

"Ramai individu yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan di tempat-tempat ibadah kerana mereka kosong buat masa ini," kata Encik Ng.

Sebilangan rakan kerja S3P dalam rangkaian PEERS bersedia untuk menyediakan ruang dan "komitmen" menjangkaui tempoh pemutus jangkitan, kata Encik Lee.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita