Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai boleh miliki flat dengan mudah dalam 3 hingga 5 tahun akan datang: Dr Faishal

Usaha akan terus dipertingkatkan bagi menangani isu perumahan awam.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Usaha akan terus dipertingkatkan bagi menangani isu perumahan awam.

Dalam wawancara dengan BERITAmediacorp, Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim memberi jaminan tersebut yang menurutnya akan memudahkan rakyat Singapura memliki rumah mereka sendiri.

Menerusi sesi-sesi perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura mengenai perumahan, Dr Faishal akui lebih banyak sokongan perlu diberikan kepada keluarga dan pasangan muda yang merupakan pemohon kali pertama.

Lantaran itu, lebih banyak usaha dilancarkan termasuk kategori keutamaan baru, yang digelar Pemohon Flat Kali Pertama (Ibu Bapa dan Pasangan Suami Isteri).

"Golongan ini 10 peratus daripada mereka yang mendaftar untuk membeli rumah buat kali pertama. Ini golongan terdesak dan kami mahu berikan sokongan," ujar Dr Faishal.

Menurut Dr Faishal, skim itu akan memberi peluang kepada semua pemohon kali pertama yang layak untuk mendapat flat baru dengan cepat.

Kriteria yang dimaksudkan adalah pasangan berusia 40 tahun ke bawah dan keluarga dengan anak berusia bawah 18 tahun.

"Untuk flat BTO di estet tidak matang, kami akan memberikan keutamaan pertama kepada Pemohon Kali Pertama Ibu Bapa dan Pasangan Suami Isteri bagi peruntukan flat di bawah Skim Keutamaan Keluarga dan Keibubapaan, jika mereka memohon flat 4-bilik atau flat yang lebih kecil.

"Ini bermakna mereka akan disenaraikan terdahulu daripada semua pemohon lain yang layak untuk skim ini, justeru mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk dijemput memilih flat," kata Dr Faishal.

Beliau menambah, pemerintah juga sedang membangunkan lebih banyak flat dengan tempoh pembinaan lebih singkat.

"Fasa pembangunan itu akan menjadi lebih baik dan menjadi seperti sebelum COVID. Dengan ada sokongan yang diberikan, kita boleh menjangkakan lebih banyak peluang untuk golongan pemohon kali pertama, keluarga dan ibu bapa," ujar Dr Faishal.

"Saya boleh gambarkan pada masa akan datang, 3 hingga 5 tahun akan datang, lebih ramai orang boleh mendapatkan flat dengan lebih mudah. Bekalan rumah juga akan bertambah dan kita yakin ia akan boleh berikan ruang untuk mereka yang ingin membeli flat, membangunkan keluarga, lebih banyak keyakinan kerana situasi akan bertambah baik," tambah beliau lagi.

Dr Faishal berkata, di bawah skim itu juga, ia akan dapat menangani cabaran-cabaran yang dihadapi keluarga-keluarga yang menetap di flat sewa untuk memiliki rumah mereka sendiri.

"Dengan skim ini, ia membuka lebih banyak peluang untuk mereka mendapat rumah yang mereka mahukan. Lebih-lebih lagi dengan sokongan yang diberikan oleh Unit Bimbingan Pemilikan Rumah HDB (HST). Kita juga ada keutamaan dan geran yang diberikan untuk keluarga-keluarga ini. Dengan sokongan Pemerintah serta skim baru ini, ia akan meningkatkan lagi akses bagi golongan ini dan ramai dalam kategori ini untuk memiliki flat mereka," kata Dr Faishal.

Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah HDB ditubuhkan dua tahun lalu bagi membimbing keluarga yang menetap di flat sewa dalam perjalanan mereka untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Dalam pada itu, Dr Faishal berharap bahawa golongan lain di dalam masyarakat akan dapat memahami mengapa keutamaan perlu diberikan kepada golongan pembeli flat kali pertama.

LEBIH BANYAK PILIHAN KEDIAMAN WARGA EMAS DENGAN SEKITARAN SESUAI DAN SELESA

Di Singapura, keadaan masyarakat yang semakin menua sentiasa difikirkan pemerintah, kata Dr Faishal.

Mengenai pilihan perumahan untuk golongan senja, Dr Faishal memberikan penerangan lanjut mengenai Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA) yang sejauh ini ditetapkan di kawasan Bukit Batok dan Queenstown.

Dalam ucapannya di Parlimen pada Khamis (2 Mac), Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee mendedahkan bahawa projek ketiga CCA adalah di Bedok dan akan dibangunkan pada lewat tahun ini.

Dalam hal ini, Dr Faishal berkata bahawa projek tersebut akan menyediakan sekitar 200 rumah untuk golongan senja.

"Kita dapat maklum balas positif daripada warga senja dan anak-anak mereka rasa ghairah dan gembira dengan adanya pilihan ini di mana mereka mendapatkan pelbagai kemudahan dari segi penjagaan. Dengan maklum balas baik, kita rasakan ini satu usaha baik dan betul yang harus kita lakarkan," kata Dr Faishal.

Dr Faishal menambah bahawa pemerintah akan memperbaiki model CCA untuk menampung keperluan masyarakat senja.

"Kita sedang bekerjasama dengan sektor privet untuk membangunkan model kehidupan dengan bantuan inovatif yang akan dapat menyokong keperluan dan gaya hidup golongan senja yang berbeza-beza," ujar Dr Faishal.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan