Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak wanita diperlukan dalam sektor sains, teknologi

Dalam usaha Singapura menjadi sebuah Negara Bijak, kadar penyertaan tenaga kerja wanita perlu ditingkatkan dalam membina kumpulan teras rakyat Singapura yang kukuh di semua sektor pertumbuhan seperti sains dan teknologi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak wanita diperlukan dalam sektor sains, teknologi

Cik Josephine Teo di acara Women in Tech@SG. (Gambar: Fann Sim)

Diterbitkan : 15 Jan 2018 12:15PM Dikemas Kini : 15 Jan 2018 12:20PM

SINGAPURA: Dalam usaha Singapura menjadi sebuah Negara Bijak, kadar penyertaan tenaga kerja wanita perlu ditingkatkan dalam membina kumpulan teras rakyat Singapura yang kukuh di semua sektor pertumbuhan seperti sains dan teknologi.

Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri merangkap Tenaga Manusia Josephine Teo berkata demikian di majlis perasmian sidang Wanita dalam Teknologi dan Reka Bentuk yang diadakan buat julung-julung kalinya di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), hari ini (15 Jan).

Cik Teo berkata masih ada kebimbangan meskipun kadar wanita yang bekerja di Singapura tinggi di peringkat global.

Dalam dunia korporat, tenaga kerja wanita menyandang 30 peratus jawatan eksekutif kanan. Namun ia hanya membentuk 9.9 peratus dalam syarikat-syarikat tersenarai di Singapura, ketinggalan di belakang negara-negara kurang maju.

Jumlah wanita dalam sektor sains dan teknologi (S&T) khususnya kekal tidak berubah sejak 10 tahun lalu pada 25 peratus.

Walaupun jumlah tenaga kerja wanita profesional dalam bidang IT meningkat sebanyak 10 peratus sejak 2011, ia masih kurang daripada separuh pertumbuhan yang dicatatkan rakan sekerja lelaki mereka.

Di universiti-universiti tempatan, jumlah mahasiswa wanita yang masuk ke S&T terus mendatar pada sekitar 3,300 pelajar, membentuk kurang 40 peratus jumlah penuntut keseluruhannya.

Ini, menurut Cik Teo, menimbulkan dua keprihatinan penting.

"Pertama ialah dalam usaha Singapura menjadi sebuah Negara Bijak, industri-industri baru dan peluang pekerjaan diwujudkan bagi mereka yang mempunyai kemahiran khusus, dalam bidang S&T.

"Apabila wanita muda yang mampu menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak mahu mencuba bidang-bidang ini, mereka tidak akan dapat meraih manfaat daripada kemajuan yang didorong teknologi dalam industri-industri mahupun kerjaya dalam bidang ini," kata Cik Teo.

"Sebab kedua perkara ini membimbangkan adalah kerugian bagi masyarakat jika tidak ada cukup tenaga kerja wanita dengan kemahiran dan latihan yang relevan untuk menyertai usaha membina kumpulan teras warga Singapura yang kukuh dalam semua sektor," tambah beliau.

KUMPULAN BERKEPENTINGAN ISTIMEWA BAGI MEMBANTU WANITA DALAM TEKNOLOGI

Satu kumpulan berkepentingan istimewa, Wanita dalam Teknologi@SG (WiT@SG) di bawah Persatuan Komputer Singapura, juga dilancarkan di persidangan pagi tadi.

Kumpulan itu terdiri daripada 11 wanita dari Citi, IBM, DELL EMC dan SUTD. Ia ditubuhkan untuk meningkatkan penyertaan kepimpinan wanita dalam teknologi melalui platform yang disediakan untuk wanita.

"Tidak dapat dinafikan bahawa wanita boleh membuat sumbangan besar kepada industri teknologi dari segi pemikiran, kreativiti, kecerdasan emosi dan banyak lagi," kata Meggy Chung, pengerusi WiT@SG.

"Masih banyak yang perlu kami dilakukan bagi menggalak generasi wanita selanjutnya untuk menceburi bidang teknologi. Kami perlu terus meningkatkan penyertaan dalam STEM," tambah beliau.

WiT@SG akan menyediakan program-program bagi para anggotanya untuk menyokong dan memperkasa peranan wanita dalam industri tersebut. Setiap perwakilan dalam syarikat juga perlu bergilir-gilir mengadakan sesi rangkaian dan forum perbincangan industri.

"Mungkin satu hari nanti, kami tidak lagi perlukan persidangan khusus untuk wanita dalam teknologi dan reka bentuk, atau jawatankuasa bagi membantu wanita maju dalam bidang apapun. Tetapi masa itu belum tiba lagi," kata Cik Teo.  

Sumber : CNA/AQ/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa