Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak usaha wujudkan sekitaran mesra demensia, sokongan buat pesakit & penjaga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apabila ibunya yang sudah lanjut usia tidak pulang pada masa yang dijanjikan, Cik Hadijah Osman sudah mula resah dan cemas.

Sebelum itu, beliau sudah nampak beberapa perubahan dalam diri ibunya sehingga beliau beliau tekad membawanya berjumpa doktor.

"Sebelum kita bawa dia ke klinik untuk jalani pemeriksaan kesihatan, dia naik bas sampai sepuluh kali turun. Dia ragu-ragu. Dari lorong Ah Soo, hendak pergi ke rumah saya di Hougang. Jadi biasanya dia tahu, ini dia lupa, sekejap-sekejap saja dia turun.

"Dia bawa pula anak saudara saya yang kecil, dia baru sepuluh tahun, jadi dia turun, 'eh belum lah, salah lah' naik bas lagi. Sampai sepuluh kali tidak sampai, dia jalan kaki," kongsi Cik Hadijah kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Ibunya kini berusia 83 tahun dan beliau sudah disahkan menghidap demensia oleh doktor lima tahun lalu.

Dengan keadaan ibunya, Cik Hadijah bersyukur dengan pelbagai usaha untuk bantu dan sokong pesakit demensia.

Antaranya adalah usahasama antara SMRT dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi memulakan program-program di bawah inisiatif Mesra Demensia Singapura (DFSG).

Ini termasuk memberi sokongan kepada orang awam dan melatih kakitangan dengan rekaan persekitaran yang mesra warga emas dan demensia.

Menjelang 2030, lebih 150,000 penduduk Singapura dijangka mengalami demensia.
Cik Hadijah Osman (Gambar: Nurfazirah Azman)
SMRT JADIKAN SISTEM PENGANGKUTAN MESRA DEMENSIA & INKLUSIF

Dalam usaha untuk menjadikan sistem pengangkutan lebih mesra pesakit demensia dan inklusif, SMRT sudah melakarkan beberapa inisiatif bagi membantu pesakit demensia untuk mencari jalan pulang dengan selamat.

Setakat ini 98 stesen MRT dan Pusat Pertukaran Bas di bawah SMRT disenaraikan sebagai Dementia Go-To Points (GTP).

Orang awam dan kakitangan SMRT boleh membawa pesakit demensia yang sesat ke GTP untuk bertemu kembali dengan penjaga mereka.
Setakat ini lebih 3,000 pegawai barisan hadapan SMRT sudah dilatih di bawah program Dementia-Go-To supaya mereka boleh mengenal pasti dan membantu pesakit demensia.

Antaranya ialah Pengurus Stesen MRT Tai Seng, Suriani Lestution Ja'afar yang berkongsi cara untuk mengenal pasti seseorang dengan demensia.

"Mereka nampak keliru, mereka tidak tahu arah dan bila tanya nama penuh, numbor IC dan tempat tinggal, mereka tidak dapat jawab. Itu sudah tentu mereka mengalami demensia.
Pengurus Stesen MRT Tai Seng, Suriani Lestution Ja'afar. (Gambar: Nurfazirah Azman)
"Apa yang saya belajar di AIC adalah kalau jumpa orang sebegini, jangan tinggalkan mereka sendiri kerana ada kemungkinan akan membahayakan diri sendiri ataupun membahayakan orang awam," kata Cik Suriani.

Penolong Pengarah Kanan bagi Bahagian Penjagaan dan Kesihatan Mental Masyarakat AIC, Charlotte Wong menjelaskan bahawa para kakitangan SMRT harus melalui pembelajaran online serta diberikan latihan di tempat kerja.

"Lazimnya latihan dijalankan dalam bentuk modul pembelajaran online dan kami akan turun padang untuk bertemu dengan pasukan dan memberikan tunjuk ajar mengenai protokol dan garis panduan bagaimana untuk berinteraksi. Kami juga akan memberikan mereka bahan seperti buku panduan dan 'flowchart' supaya mereka tahu bagaimana untuk mengatasi keadaan," kata Cik Charlotte.

Go-To Initiative yang dirintis SMRT pada April 2021, bukan sahaja bagi membantu mereka dengan demensia tetapi juga untuk menghulurkan bantuan dari segi bantuan perubatan dan mencari kanak-kanak atau warga emas yang hilang.
Penolong Pengarah Kanan bagi Bahagian Penjagaan dan Kesihatan Mental Masyarakat AIC, Charlotte Wong. (Gambar: Nurfazirah Azman)
RANCANGAN MASA HADAPAN AIC

Dalam pada itu, AIC juga dalam perancangan untuk memperluaskan lagi usaha untuk membentuk persekitaran yang mesra pesakit demensia.

"Kami akan bekerja rapat dengan sektor lain seperti jualan runcit dan juga rakan-rakan berkepentingan dalam seni dan kegiatan riadah.

"Satu lagi aspek yang kami sedang tumpukan adalah bagaimana persekitaran akan menyokong seseorang individu. Jadi kami bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi untuk beberapa tahun untuk membentuk sebuah masyarakat yang mesra demensia. Kami juga baru melancarkan buku panduan mesra demensia dalam masyarakat. Sebuah kolaborasi AIC dengan Pusat bagi Bandar-Bandar yang boleh didiami (CLC)," kata Cik Charlotte.

Dalam kolaborasi ini, AIC mendapatkan maklum balas daripada para pesakit demensia dan penjaga mereka untuk memahami keperluan mereka.

Beliau turut menarik perhatian bahawa demensia bukan sahaja menjejas mereka yang lanjut usia sahaja.

"Demensia bukan sahaja buat warga emas, ia adalah sebuah penyakit yang kami lihat menjejas mereka dalam lingkungan umur 40 dan 50 tahun juga. Jadi dari segi cabarannya adalah untuk menimbulkan kesedaran dan perubahan sosial, rasa prihatin terhadap mereka dengan demensia dan penjaga mereka," kata Cik Charlotte.
SOKONGAN BAGI PARA PENJAGA PESAKIT DEMENSIA

Sebuah lagi sokongan dalam masyarakat yang dialu-alukan penjaga pesakit demensia seperti Cik Hadijah ialah sokongan yang ditawarkan oleh pertubuhan seperti Club HEAL.

"Saya bersyukur sangat kerana diperkenalkan dengan Club HEAL. Sebelum ini kita tidak tahu mana hendak letak mak. Selalunya kalau kita jaga, kita tidak boleh kawal diri sendiri.

"Jadi dengan adanya Club HEAL ini, dengan adanya kegiatan dan ceramah, sesi perkongsian dan aktiviti, sharing session dengan aktiviti yang diberikan, pelbagai macam pengetahuan yang kita dapat," ujar Cik Hadijah.

Lantaran itu, beliau turut menyeru mereka yang takut untuk mendapatkan bantuan untuk tampil ke hadapan dan menyertai Club HEAL.
"Saya seru kepada mereka yang ada masalah seperti saya menjaga orang yang tersayang ini, marilah masuk Club HEAL ini supaya ibu bapa kami lebih ceria, dapat lakukan banyak aktiviti, pengetahuan yang selama ini kita tidak tahu jadi jangan takut, jangan malu kerana orang yang kita sayang, perlukan kasih sayang," kongsi Cik Hadijah.

Menurutnya ia dapat meringankan beban dan mengurangkan tekanan menjadi seorang penjaga.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan