Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak usaha memperkasa, bimbing belia Melayu/Islam menerusi program mentor boleh dijangka pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dunia pasca COVID-19 merubah landskap kerjaya golongan belia hari ini.

Lantaran itu, sumber-sumber yang tersedia dalam masyarakat perlu dimanfaatkan untuk bantu mereka mengatasi cabaran itu. Ia juga bagi memastikan ruang bimbingan berkesan bagi golongan belia.



Itulah antara yang dikongsi para pemimpin politik Melayu pemerintah dalam satu sidang media bagi mengulas mengenai masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang tahun 2022.

Antara sumber yang dimaksudkan termasuk kepakaran sedia ada dalam masyarakat yang boleh dimanfaatkan bagi membimbing dan memberi inspirasi bagi golongan pelapis.

Ini yang cuba dilaksanakan di bawah Bidang Tumpuan Ketiga M³ (FA3) iaitu Memperkasa dan Membimbing Belia.

Setakat ini, pelbagai usaha sudah dijalankan Pejabat Mentor Belia (YMO) bagi membantu golongan belia mencapai potensi mereka dan menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam dan Singapura.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Antara belia yang meraih manfaat daripada usaha itu adalah Mahirah Mohamad Kamal, 17 tahun yang menyertai salah satu program mentor FA3 sebagai menti, iaitu #amPowered@Marsiling-Yew Tee.

Jika sebelum itu, Mahirah kurang yakin dengan keupayaannya lebih-lebih lagi dalam pelajaran, kini beliau lebih mengetahui apa yang ingin dicapainya.

"Sebelum program ini bermula, saya tidak ada motivasi untuk belajar dan selepas saya berjumpa mentor saya, saya berasa sangat beruntung untuk menceritakan beliau masalah saya di sekolah dan di rumah," kongsi Mahirah kepada BERITAmediacorp.

"Setelah setahun saya menyertai (program) #amPowered ini, saya mempelajari banyak perkara yang amat menarik dan ia mendorong diri saya untuk menjadi seorang anak murid yang baik dan berdikari," tambahnya lagi.

Mahirah kini berjaya mendapat tempat di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pastri dan Bakeri.

Kejayaan itu didedikasikan kepada mentornya, Syerifah Munawwarah Alsagoff yang banyak membantunya semasa menduduki Peperiksaan GCE peringkat 'N'.

DAPAT INSPIRASI DARIPADA MENTOR UNTUK SUMBANG KEPADA MASYARAKAT


Sesi M³@Marsiling-Yew Tee. (Gambar: Yayasan MENDAKI) 

Mahirah merupakan antara lebih 4,250 menti yang meraih manfaat daripada program itu sejak 2019.

Selain membantu para belia, usaha itu juga sudah melatih lebih 1,300 mentor sejak 2019, dengan 300 dihubungkan kepada lebih 1,600 menti tahun lalu.


Mahirah bersama mentornya, Cik Syerifah. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Ia termasuk mentor Cik Syerifah, 26 tahun, yang merupakan mentor Mahirah sendiri. Malah, melihat mentornya itu, Mahirah kini lebih bersemangat untuk membantu belia lain.

"Mentor saya memberi saya inspirasi untuk menjadi seorang mentor seperti beliau kerana saya suka membantu golongan belia zaman sekarang dan bantu mereka untuk belajar bersama mereka dan mengajar mereka apa kelemahan mereka dan kesusahan mereka," ujar Mahirah.

Perjalanan sebagai seorang mentor disifatkan Cik Syerifah sebagai satu "hikmah". Beliau sebelum ini memang giat melakukan kerja-kerja sukarelawan di akar umbi selama tujuh tahun.

Beliau kemudian mendapat tahu tentang Project SOAR@Jurong sebelum meneruskan khidmatnya sebagai mentor di #amPowered@Marsiling-Yew Tee.

"Saya berpendapat bahawa saya boleh ada perjalanan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas, kalau saya ada seorang mentor untuk mendorong saya ke (arah) kejayaan," kongsi Cik Syerifah.

"Sebagai seorang mentor, kita harus meyakinkan menti kita dalam cara yang bukan memaksa tetapi yang penuh inspirasi, (untuk) memberikan mereka ruang membina jalan kerjaya mereka sendiri," tambahnya lagi.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Bagi anak muda yang bekerja di sebuah firma rundingan itu, beliau tidak terfikir lagi untuk berhenti menyumbang tenaga sebagai seorang mentor.

"Saya ada objektif yang lebih jelas iaitu untuk memudahkan proses, untuk meyakinkan diri seseorang dan begitulah perjalanan saya sebagai mentor dan untuk tahun ini saya dan kumpulan saya akan terus membimbing satu sama lain untuk membina #amPowered@Jurong yang baru," ujar Cik Syerifah.

Untuk mentor seperti Cik Syerifah serta para menti seperti Mahirah yang mungkin berminat untuk memulakan perjalanan sebagai seorang mentor, lebih banyak usaha dan program boleh dijangkakan tahun ini.

KEMPEN MENTOR BERSAMA 'MENTORING SG' AKAN DILANCARKAN SUKU PERTAMA TAHUN INI



Dalam satu wawancara bersama Setiausaha Parlimen Kanan Rahayu Mahzam, yang menerajui usaha-usaha di bawah bidang tumpuan FA3 itu, beliau mendedahkan bahawa YMO sedang bekerjasama dengan Mentoring SG iaitu satu inisiatif peringkat nasional untuk membina budaya saling membimbing dalam masyarakat.

Sebuah kempen mentor akan dilancarkan pada suka pertama tahun ini.

"Sejauh ini, YMO sudah pun bekerjasama dengan Mentoring SG untuk membantu menimbulkan lebih banyak kesedaran tentang bimbingan di mana kita boleh mendapatkan lebih ramai mentor. Ini adalah antara usaha kami untuk menggalakkan lebih ramai menjadi mentor dan juga menimbulkan juga peluang untuk anak-anak kita mendapatkan bimbingan.

"Jadi antara usaha yang khusus adalah untuk mendapatkan usaha sama dengan badan-badan atau korporat supaya mereka dapat menyumbang tenaga sebagai mentor dan membuka peluang untuk anak-anak muda kita mengetahui tentang pelbagai bidang dan pelbagai arena baru."

Beliau menambah bahawa usaha itu juga untuk menimbulkan kesedaran tentang pentingnya bimbingan kepada ibu bapa dan para pelajar, serta ahli profesional yang diharap dapat "turun padang untuk sama-sama meningkatkan usaha ini".

DEKATI LEBIH RAMAI BELIA TERMASUK MEREKA DARI IHL

Semasa sidang media bagi mengulas mengenai pencapaian dan cabaran masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang tahun 2022, Cik Rahayu juga berkongsi tentang nilai ruang platform yang tercetus dek COVID-19 iaitu mConnect.

Ini sebahagian daripada cara untuk meluaskan lagi jangkauan kepada lebih ramai belia termasuk mereka dari Institut Pengajian Tinggi (IHL).

"Untuk pelajar-pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi, kita mahu adakan platform yang lain di mana mereka boleh gunakan online, dalam talian untuk mendapatkan mentor. Ini juga membuka peluang untuk mentor-mentor juga memberikan sumbangan mereka dengan cara yang lain. Jadi ini kita melakukan melalui program atau platform mConnect yang diadakan dalam talian," kongsi beliau semasa wawancara bersama BERITAmediacorp.


Antara usaha di bawah FA3 - Program Masyarakat PEER (Gambar: Yayasan MENDAKI) 

Pada masa yang sama, YMO juga sedang bekerja rapat dengan lebih ramai rakan kerjasama Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) untuk berkongsi dan menggalak penggunaan Pementoran Berpusatkan Bakat (GCM) dalam program-program mereka.

"Kurikulum ini kita harap mereka dapat berkongsi bersama mereka dan juga dapat menggunakan rangkaian mereka dan juga program-program yang mereka ada untuk menubuhkan program mentor jadi ini diharapkan dapat mengembangkan peluang untuk para pelajar kita dapatkan akses kepada bimbingan," ujar Cik Rahayu.

Pada tahun lalu, empat rakan kerjasama CLF termasuk Majulah Community, AMP, T-North dan Youth Inc sudahpun menggunakan pendekatan GCM dalam program-program mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan