Lebih banyak tumpuan untuk perkasa bekas pesalah sumbang kepada masyarakat
SINGAPURA: Lebih banyak tumpuan akan diberikan dalam membina dan memperkasa golongan relawan di bawah rangkaian 'Desistor Network' (DN) untuk menyumbang kepada masyarakat.
Para relawan itu yang dinamakan sebagai 'desistor' merupakan bekas pesalah yang sudah tidak lagi mengulangi kesalahan mereka dan terjebak dalam kancah jenayah yang mereka lakukan dahulu.
DN merupakan hasil kerjasama antara Khidmat Penjara Singapura (SPS) dan rakan-rakan kerja masyarakat untuk menyokong bekas pesalah dalam usaha mereka untuk menjauhi kesalahan silam.
Dalam meraikan ulang tahun pertamanya tahun ini, DN juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan agensinya untuk membangunkan panduan amalan terbaik pada separuh tahun pertama tahun ini untuk memudahkan pembangunan kumpulan-kumpulan sokongan dalam rangkaiannya itu.
Sekitar 30 orang 'desistors' juga diharap dapat dilatih DN dalam para-kaunseling dan kemahiran-kemahiran mengendalikan kerja berkumpulan.
Ini akan dicapai menerusi tiga bidang tumpuan antaranya dalam mempertingkat hubungan mereka dengan masyarakat menerusi sesi rangkaian dan sokongan yang lebih kerap dan tingkatkan kemahiran agar dapat menyumbang kepada masyarakat.
Ia akan bekerjasama dengan SPS dalam melaksanakan program dan mendekati para banduan.
DIREKTORI SENARAI AKTIVITI YANG TERSEDIA UNTUK BEKAS PESALAH
Dalam pada itu, DN juga sudah menghasilkan satu direktori yang menyenaraikan kegiatan-kegiatan yang disediakan untuk bekas pesalah.
Direktori itu disediakan kepada banduan melalui tablet Alat Pendigitalan Pemulihan Banduan (DIRECT) agar mereka tahu akan sokongan-sokongan dalam masyarakat sebelum dibebaskan.
Sejak April tahun ini, terdapat 45 kegiatan yang sudah tersedia termasuk BapaHebatSG untuk menyokong perjalanan hidup para bapa serta 'New Life Stories' untuk menekankan kepentingan hubungan keluarga.
"Ini adalah satu usaha di mana dengan adanya buku ini, ia boleh membuka ruang pemulihan bukan sahaja untuk lebih banyak kumpulan, malah kepada mereka yang mahukan lebih banyak sokongan sesama sendiri iaitu bekas-bekas pesalah dan juga badan-badan dan agensi-agensi yang mempunyai kepakaran dalam aspek ini," kongsi Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau ditemui pihak media semasa menyertai sebuah sesi kumpulan sokongan Persatuan Kooperatif Perusahaan dan Perkhidmatan (ISCOS) pada Rabu (18 Apr).
KONGSI PANDUAN AMALAN TERBAIK
DN bersama lagi tujuh agensi rakan kerjasama, juga akan membangunkan panduan amalan terbaik untuk memudahkan pembangunan kumpulan-kumpulan sokongan dalam kalangan masyarakat DN pada separuh pertama tahun ini.
Ini akan disusuli dengan platform 'Community of Practice' (CoP) untuk memudahkan lagi perkongsian lebih kerap untuk amalan-amalan terbaik dalam kalangan pemimpin, fasilitator dan kumpulan sokongan 'desistor' dan rakan-rakan masyarakat.
"Dengan adanya wadah seperti 'Community of Practice', mereka boleh berkongsi amalan-amalan terbaik masing-masing bersama-sama, di mana kita lama-lama meningkatkan tahap pendekatan dan juga tahap kemahiran dan juga bagaimana mereka boleh menjadi berkesan untuk membangunkan bukan sahaja organisasi ataupun kumpulan sokongan yang berkesan malah bagaimana ia boleh terus sekaligus memberikan ruang kepada seseorang individu atau bekas pesalah itu untuk menjalankan proses pemulihan dan integrasi mereka dengan lebih baik lagi," kongsi Dr Faishal.
"Kita boleh mendapatkan maklum balas tentang apa yang kita boleh memperbaiki dan juga bagaimana setiap cabang dari segi organisasi, bekas pesalah dan juga agensi-agensi pemerintah boleh memperbaiki kemahiran, kelakonan dan juga bagaimana kita boleh bekerjasama dengan lebih padat dan mantap untuk memberi sokongan kepada bekas-bekas pesalah ini," tambahnya.
Sejak rangkaian itu ditubuhkan pada 15 April tahun lalu, ia sudah kendalikan sesi-sesi rangkaian secara konsisten.
BEKAS PESALAH PERLUKAN SOKONGAN SATU SAMA LAIN
Mengulas tentang keberkesanan rangkaian itu, Dr Faishal melahirkan rasa gembira dengan pendekatan yang disediakan untuk proses pemulihan dan integrasi semula bekas banduan yang memerlukan sokongan menyeluruh, bukan sahaja dari badan-badan sukarelawan atau agensi pemerintah.
"Mereka memerlukan sokongan antara satu sama lain untuk memberikan motivasi, berkongsi maklumat dan tip-tip bagaimana mereka boleh menjauhi daripada kerja-kerja ataupun aktiviti-aktiviti yang ada kaitan dengan jenayah dan dengan adanya pertemuan ini, ia membuka ruang bagi proses pemulihan mereka," jelas Dr Faishal.
"Kita juga memikirkan bagaimana kita boleh berkongsi maklumat, dari segi apakah aktiviti-aktiviti yang dilakarkan oleh kumpulan-kumpulan ini dan kita boleh berkongsi dengan bekas-bekas pesalah dan juga mereka yang masih di dalam penjara," tambahnya.
Antara individu yang sudah raih manfaat daripada rangkaian itu ialah Annadurai Periyasamy, 53 tahun yang menyertai Skim Persediaan Pekerjaan (EmPS).
SESI KUMPULAN DIALU-ALUKAN BEKAS PESALAH
Dia dibebaskan pada Ogos tahun lalu dan sudah meraih manfaat daripada usaha-usaha DN dan kini menghadiri sesi kumpulan sokongan ISCOS.
"Saya baru keluarkan? Jadi saya sudah banyak kali keluar masuk (penjara). Saya ada banyak isu dan kawan-kawan di luar, jadi ada 'godaan' semua. Sesi kumpulan sokongan ini mengajar saya macam mana ingin elak mereka dan untuk tidak (terjebak dalam dadah)," kongsi Encik Annadurai kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Untuk menyara diri, Encik Annadurai bekerja sebagai pemandu penghantaran namun pendapatannya itu terjejas apabila dia mengalami kecederaan pada bahunya.
Sejak itu, ISCOS turut membantunya dari segi kewangan.
KUMPULAN SOKONGAN OLEH ISCOS DIADAKAN DUA KALI SEBULAN
Selain bantuan kewangan, Encik Annadurai juga mengalu-alukan sokongan lain yang diberikan ISCOS.
"Ia menolong kita berintegrasi semula kepada masyarakat dan bagaimana untuk menangani masalah-masalah yang kita akan hadapi di luar sana. Kita juga ada ramai kawan di ISCOS untuk membantu kita. Mereka seperti tunggak kita," ujar Encik Annadurai.
"Sejak saya sertai ISCOS, saya sudah berhenti merokok, minum (arak) dan selama saya menghadiri sesi itu, saya akan memberitahu mereka semua bahawa saya sudah tidak merokok dan minum lagi. Jadi ini yang memberi motivasi untuk saya terus jalani kehidupan harian saya. Jadi saya masih 'segar' dan 'bersih' dan ia satu keajaiban untuk saya kerana saya bukan pesalah pertama," tambahnya.
Pertemuan kumpulan sokongan itu diadakan dua kali sebulan dan disertai sehingga 20 peserta setiap sesi termasuk bekas pesalah serta individu yang sedang menjalani program-program penjara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.