Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak tumpuan bantu bekas pesalah bebas jenayah buat jangka panjang

Sewaktu berusia 18 tahun, 'Siti' mula mengambil dadah atas pengaruh kakaknya akibat tekanan dan sifat ingin tahu, sebelum akhirnya dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada usia 22 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sewaktu berusia 18 tahun, 'Siti' mula mengambil dadah atas pengaruh kakaknya akibat tekanan dan sifat ingin tahu, sebelum akhirnya dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada usia 22 tahun.

Namun kemalangan yang menimpa bapanya sehingga menyebabkan beliau terlantar di katil sewaktu 'Siti' dalam tahanan membulatkan tekad anak bongsu daripada tiga beradik ini untuk berubah dan mengambil alih tanggungjawab sebagai pencari nafkah tunggal.

'Siti' dibebaskan enam bulan selepas ditahan dan kini bekerja dalam bidang logistik.

Mujur dengan bantuan kaunseling di bawah program 'Thinking 4 Change' dan FITRAH, 'Siti', 24 tahun, kini lebih positif dalam menangani tekanan dan selesa berkongsi masalah yang dialaminya dengan dua pendamping FITRAH.

"Saya ini kirakan ada pemikiran negatif, setiap kali saya kongsi dengan kaunselor, dia akan berikan nasihat positif buat saya. Apa-apa masalah yang saya hadapi saya akan kongsi dengan mereka, kira mereka akan mendengar apa saya rasa kirakan macam kaunseling juga.

"Dari situ ada macam-macam juga mereka berikan dengan barang-barang pasar, baucar pasal masa itu saya baru keluar, jadi kewangan agak teruk jadi dari situ mereka ada tolong kami," ujar 'Siti'.

'Siti' dan keluarganya diberikan pek "Kembali ke FITRAH" dengan baucar-baucar pengangkutan dan barang dapur. Selain itu, mereka juga dirujukkan kepada Masjid Darul Ghufran bagi bantuan kewangan dan bimbingan agama serta juadah berbuka puasa dan daging korban daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Persatuan Rakyat (PA) dan rakan-rakan masyarakat FITRAH semasa Ramadan dan Hari Raya Haji tahun lalu.

Sejak ditubuhkan MUIS pada 2018, FITRAH kini mempunyai 400 relawan bagi menyediakan sokongan bagi keperluan rohani mahupun bukan buat para pesalah, bekas pesalah serta keluarga mereka yang beragama Islam.

FITRAH juga banyak membantu dalam memastikan jagaan berterusan para pesalah dari dalam penjara sehingga jagaan lanjutan selepas dibebaskan.

Meskipun hanya 60 peratus pesalah Muslim memilih untuk menghadiri program keagamaan FITRAH semasa dalam penjara, FITRAH tetap mengalu-alukan kesemua pesalah Muslim untuk mendapatkan sokongan daripada FITRAH buat diri mereka sendiri mahupun keluarga.

Kerjasama sebeginilah yang diharap dapat diperkukuh oleh Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo, dengan lebih banyak lagi rakan masyarakat tampil bagi terus menyokong dan meninggalkan kesan mendalam buat diri para pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.

TUMPUAN BAGI BANTU BEKAS PESALAH KEKAL BEBAS JENAYAH

Dalam majlis pelancaran Persidangan CARE Network 2021 yang diadakan secara maya pada Selasa (13 Jul), Cik Teo menarik perhatian lebih banyak tumpuan akan diberikan bagi membantu bekas pesalah untuk kekal bebas jenayah buat jangka lebih panjang.

Ini bagi menurunkan lagi kadar kebentanan bagi tempoh lima tahun.

Buat masa sekarang, empat daripada 10 pesalah dimasukkan semula ke penjara dalam jangka lima tahun mereka dibebaskan.

Cik Teo berharap itu akan dapat dicapai menerusi dua bidang tumpuan yang diumumkannya hari ini (13 Jul).

Bidang tumpuan itu termasuk mempertingkatkan keupayaan agensi-agensi dan individu-indvidu dalam CARE Network dengan menyediakan kursus-kursus yang sesuai.

Matlamat itu juga harap dapat dicapai menerusi usaha bagi mengukuhkan jagaan berterusan dan proses integrasi semula para pesalah ke dalam masyarakat.

Seperti 'Siti' yang sudah meraih manfaat daripada kerjasama FITRAH dengan CARE Network dalam menjadikannya lebih matang, hasil kerjasama pihak-pihak di luar sana diharap dapat membantu dan menyokong lebih ramai bekas pesalah supaya terus bebas jenayah buat jangka panjang.

"Sebenarnya dadah itu tak bawa kita ke mana. Walau macam mana kita stres pun, benda itu tak akan tolong. Ia menambahkan lagi masalah sebenarnya. Baru saya tahu selepas saya sudah alami semuanya," luahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa