Lebih banyak tempat penjagaan kanak-kanak disediakan dalam 4 tahun akan datang
Lebih banyak ruang penjagaan kanak-kanak akan disediakan dalam masa empat tahun akan datang.
SINGAPURA: Lebih banyak ruang penjagaan kanak-kanak akan disediakan dalam masa empat tahun akan datang.
Ini dengan adanya rancangan pengendali pra-sekolah terbesar Singapura untuk menukar 80 tadikanya kepada pusat jagaan kanak-kanak sepenuh hari.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan demikian di satu acara Yayasan Masyarakat PAP atau PCF siang tadi (6 Okt).
Lebih banyak tempat penjagaan kanak-kanak, akan disediakan bagi memenuhi permintaan yang meningkat.
Ini terutamanya di estet-estet perumahan lebih baru seperti Sengkang, Punggol dan Choa Chu Kang.
PM Lee berkata 50 tadika PCF sudahpun ditukar kepada pusat jagaan kanak-kanak sepenuh hari tahun lalu.
Lagi dua pusat PCF yang baru pula akan dibuka tidak lama lagi.
Salah satunya akan ditempatkan di bekas Sekolah Menengah Henderson yang akan menawarkan sehingga 280 tempat untuk bayi dan kanak-kanak pra-sekolah.
Sebuah lagi akan siap pada suku kedua tahun depan di Joo Chiat yang akan menawarkan 140 tempat.
"Kita mempunyai pusat-pusat pra-sekolah yang baik, pra-sekolah yang boleh dimampui. Dan diharapkan ini akan menghasilkan ramai kanak-kanak yang cukup bersedia, siap, dan yakin, menikmati zaman kanak-kanak dan akan membesar dengan baik," menurut PM Lee.
Pemerintah juga sedang bekerjasama dengan pihak pengendali untuk meningkatkan mutu kurikulum tadika PCF.
"Dan guru-guru tadika sekarang juga bertauliah, dapat latihan yang baik, macam mana nak didik anak-anak kecil.
"Sekarang ada skim untuk beri mereka latihan dan ini akan membolehkan tadika-tadika lebih baik dalam memberikan khidmat mereka," kata Mantan Anggota Parlimen, Othman Eusofe.
Lebih 10,000 kakitangan PCF dan keluarga mereka hadir di Hari Keluarga PCF hari ini.
200 hasil seni oleh kanak-kanak PCF Sparkletots turut dipamerkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.