Lebih banyak tempat makan halal antara 3 rancangan Amrin khusus bagi GRC Sengkang
Jika menang, calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang, Amrin Amin, berjanji akan menyediakan lebih banyak tempat makanan halal bagi para penduduk kawasan undi tersebut.
SINGAPURA: Jika menang, calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang, Amrin Amin, berjanji akan menyediakan lebih banyak tempat makanan halal bagi para penduduk kawasan undi tersebut.
Ia merupakan salah satu daripada tiga rancangan khusus bagi para penduduk Melayu di GRC Sengkang, yang beliau kongsikan pada hari terakhir kempen bagi Pilihan Raya Umum 2020 hari ini (8 Jul).
“Setelah berbincang dengan penduduk-penduduk Sengkang di sini, mereka katakan yang mereka inginkan kepelbagaian dari segi makanan halal. Jadi saya telah berbincang dengan beberapa kedai kopi swasta dan rancangan kami adalah untuk mengadakan kedai makanan seperti Mr Teh Tarik, Al-Azhar, Al Amin atau Saffron,” dedah Encik Amrin.
Beliau sendiri akur, pilihan makanan halal sememangnya terhad di Sengkang dan sudahpun membincangkan perkara ini dengan pasukannya.
“Saya pun suka makanan jadi harus ada makanan-makanan enak, ada kepelbagaian itu (di GRC ini),” kata Encik Amrin.
Kawasan Sengkang kini hanya mempunyai satu pusat penjaja besar, iaitu Kopitiam Square, yang terletak berdekatan stesen MRT Sengkang.

GRC Sengkang mempunyai lebih 120,000 pengundi di mana ia dibentuk dengan menggabungkan SMC Sengkang West, Punggol East serta Sengkang Central yang sebelum ini di bawah GRC Pasir Ris-Punggol.
PAP ditentang oleh Parti Pekerja (WP) di kawasan undi ‘baru’ itu. WP turut menyebut isu kekurangan pilihan tempat makan di kawasan undi itu semasa sidang medianya semalam (7 Jul).
"Menerusi lawatan kami, kami mendapati kurangnya kedai-kedai kopi dan kedai-kedai kejiranan di beberapa kawasan tertentu di Sengkang ini. Itu sesuatu yang kami percaya kami perlu tangani. Sengkang bukan sebuah bandar baru. Ia sudah dibangunkan sejak 1990-an. Sudah tiba masanya kami tangani keperluan asas penduduk Sengkang ini," kata Encik Louis Chua, salah seorang anggota pasukan WP di GRC Sengkang.
BINA IDENTITI MASYARAKAT MELAYU DI SENGKANG
Satu perkara lagi yang ingin Encik Amrin lakukan untuk para penduduk Melayu di Sengkang adalah menganjurkan pelbagai kegiatan yang mampu mengukuhkan lagi identiti masyarakat Melayu di situ.
Misalnya, setelah pandemik COVID-19 berakhir nanti, beliau mahu mengajak para penduduk Sengkang berkumpul bagi acara-acara keramaian.
“Ramai dalam kalangan penduduk di sini adalah warga muda yang mempunyai anak-anak. Ada juga warga emas. Jadi kita ingin adakan aktiviti-aktiviti yang dapat menyatupadukan masyarakat - seperti majlis berbuka puasa, sambutan Hari Raya yang lebih meriah, lebih gah lagi di Sengkang,” terang Encik Amrin lagi.
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan itu juga percaya, wadah tersebut boleh “menonjolkan satu identiti Sengkang yang unik dan tersendiri”, sebagai “satu bandar yang matang”.
BANTUAN UNTUK 3 KUMPULAN MASYARAKAT MELAYU SENGKANG
Rancangan ketiga Encik Amrin untuk masyarakat Melayu di Sengkang adalah untuk menumpukan perhatian kepada khidmat-khidmat yang menyediakan bantuan kepada tiga kumpulan utama - keluarga muda, golongan tersepit dan warga emas.
Encik Amrin yang juga merupakan seorang bapa muda berusia 41 tahun itu, berharap dapat menyediakan sokongan yang melengkapi keperluan keluarga-keluarga muda. Antaranya, beliau merancang untuk membawa ‘Baby Fest’ lebih dekat kepada para penduduk.

“Mungkin ada yang ingin tahu bagaimana nak menjaga anak dengan lebih baik, lebih rapi, bagaimana nak mandikan anak dan sebagainya. Jadi kita ada rancangan untuk adakan ‘Baby Fest’ supaya kita dapat memberi sokongan kepada ibu bapa muda,” kata Encik Amrin.
Ini di samping menganjurkan pelbagai program rumah tangga seperti berkongsi tips menguruskan kewangan keluarga serta acara-acara lebih santai.
Encik Amrin turut berkongsi beliau ingin “melegakan beban” golongan tersepit di GRC Sengkang.
“Mungkin mereka rasa tertekan kerana ingin membesarkan anak, dan juga ibu bapa mereka yang semakin menua. Jadi kita ingin menumpukan keprihatinan atau perhatian kami, untuk memastikan yang mereka mendapat pertolongan, khidmat-khidmat yang khas, khusus.”
Encik Amrin menambah, jika terpilih, beliau mahu memastikan warga emas di Sengkang tidak berasa keseorangan.
KAMI AKAN KOTAKAN JANJI, IKRAR AMRIN
Ini merupakan kali kedua Encik Amrin bertanding dalam Pilihan Raya. Beliau sebelum ini berkhidmat di GRC Sembawang. Ditanya apakah mesej beliau sempena hari terakhir berkempen di GRC Sengkang, ini luahan Encik Amrin:
“Kami kenal masyarakat, kami turun padang, dan juga saya, bekas Anggota Parlimen di Woodlands, saya akan membawa kesungguhan, tenaga saya dan saya tidak akan lengah dan pastikan masyarakat di Sengkang, terus dapat layanan sebaik mungkin. Itulah janji kami dan kami akan mengotakan janji ini.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.