Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak tapak haram buang sisa ditemui di Pasir Gudang; S'pura terus pantau keadaan

Pihak berkuasa di Singapura sedang memantau keadaan di Pasir Gudang selepas lebih banyak tapak haram untuk membuang sisa ditemui di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak tapak haram buang sisa ditemui di Pasir Gudang; S'pura terus pantau keadaan

Di Malaysia, beribu-ribu orang jatuh sakit selepas pencemaran sisa toksik dilaporkan di Pasir Gudang pada 7 Mac. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Mar 2019 07:35AM Dikemas Kini : 20 Mar 2019 07:38AM

SINGAPURA: Pihak berkuasa di Singapura sedang memantau keadaan di Pasir Gudang selepas lebih banyak tapak haram untuk membuang sisa ditemui di kawasan itu.

Salah satu tapak membuang sisa ditemui dekat Sungai Masai di Johor pada minggu ini, yang mengalir ke Selat Johor, bertentangan pantai di utara Singapura dekat Yishun.

Mutu air dan udara serta bekalan air di Singapura kekal tidak terjejas akibat perkembangan terbaru itu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA), agensi air negara (PUB) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (19 Mac).

Menulis di laman Facebooknya semalam (19 Mac), Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyifatkan pembuangan sisa kimia secara haram itu sebagai "satu tindakan yang tidak bertanggungjawab".

"Kami memandang serius terhadap perbuatan ini. Apa yang berlaku di Malaysia boleh menjejas kita dengan ketara," kata Encik Shanmugam, yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon.

Beliau berkata agensi-agensi Singapura menjalankan pemeriksaan secara kerap. SCDF tidak mengesan sebarang kimia toksik di udara, manakala PUB dan AVA juga sudah menguji mutu air di beberapa kawasan di perairan Singapura dekat Pasir Gudang.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan sejawatan kami di Malaysia untuk memantau keadaan," katanya.

"Tiada sebarang perbezaan ketara dikesan pada mutu air di terusan air dan kolam air di bahagian utara dan timur laut Singapura, yang dipantau oleh NEA dan PUB," menurut pihak berkuasa.

Paras kompaun-kompaun organik berbahaya (VOC), termasuk benzena, yang dinilai di stesen-stesen pemantau VOC di bahagian timur laut kekal pada paras selamat, menurut kenyataan media itu.

Sejak 6 Mac, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal pada paras baik hingga paras rendah-sederhana, manakala bacaan PM2.5 bagi tempoh sejam kekal pada Band I (Normal).

Di Malaysia, beribu-ribu orang jatuh sakit selepas pencemaran sisa toksik dilaporkan di Pasir Gudang pada 7 Mac. Semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah supaya ditutup di tengah-tengah isu sekitaran yang kian meruncing.

Pada Selasa (19 Mac), Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Yeo Bee Yin mengisytiharkan bahawa sungai yang tercemar di Pasir Gudang itu kini bersih dan selamat.

Bagaimanapun, tapak-tapak baru yang dipercayai tapak membuang sisa kimia ditemui di Pasir Gudang.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan