Skip to main content

Singapura

Lebih banyak tanah, ruang laut dengan pajakan lebih lama ditawarkan bagi pertingkat keselamatan makanan S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengumumkan pada Isnin (7 Mac) bahawa pemerintah akan membuka tender kepada lebih banyak kawasan di darat dan laut di Perairan Selatan dan bahagian kiri Selat Johor dengan tempoh pajakan yang lebih lama.

Tender-tender baru itu akan dilancarkan secara berperingkat mulai akhir 2022. Ia bertujuan untuk memberi lebih kepastian kepada syarikat-syarikat perniagaan dan membantu dengan perancangan dan pelaburan jangka panjang mereka, dengan mereka akan diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pajakan mereka selama 10 tahun lagi selepas pajakan 20 tahun mereka tamat.

Langkah ini bermatlamat untuk memberikan lebih banyak ruang pertanian dengan pajakan yang lebih lama sedang Singapura menyasarkan untuk menghasilkan 30 peratus daripada keperluan makanan tempatan menjelang 2030 untuk meningkatkan keselamatan makanannya.

Buat masa ini, Singapura mengimport lebih 90 peratus daripada bekalan makanannya tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penghasilan ikan, sayur-sayuran dan telur semakin meningkat berkat bantuan geran untuk mempertingkatkan daya penghasilan dan membiayai kos pendahuluan.

SFA turut mengumumkan bahawa Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan bernilai S$60 juta yang menyokong para petani dan peladang tempatan untuk mengembangkan keupayaan pengeluaran akan dipertingkatkan untuk menawarkan pembiayaan bersama yang lebih tinggi bagi jenis makanan yang lebih luas yang biasa dimakan oleh penduduk tempatan.

Ini termasuk sayur-sayuran, cendawan dan udang.

PAJAKAN UNTUK TEMPAT PENTERNAKAN IKAN

Buat masa ini, para penternak ikan harus memohon dan memperbaharui lesen ladang ternakan ikan setiap tahun tetapi tidak perlu membayar bagi penggunaan ruang laut.

Sebagai sebahagian daripada peralihan kepada pajakan ini, lesen sementara akan diperkenalkan mulai 1 Januari tahun depan.

Di bawah skim lesen sementara ini, para penternak di perairan Selat Johor dan Perairan Selatan masing-masing perlu membayar S$3,600 dan S$6,000 setiap setengah hektar.

Lesen Pendudukan Sementara akan dipecahkan sepanjang tempoh empat tahun, bermula dengan 20 peratus pada dua tahun pertama dan 50 peratus pada tahun ketiga sebelum mencapai jumlah penuh pada tahun 2026.

Selaras dengan komitmen pemerintah untuk tidak menaikkan kos dan yuran pada tahun ini, jumlah itu akan dikecualikan bagi 2023, menurut SFA.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita