Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak taman & pantai akan bebas asap rokok mulai 1 Jul

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Mar 2022 09:06PM Dikemas Kini : 07 Mar 2022 09:09PM

SINGAPURA: Bagi melindungi orang ramai daripada asap rokok, lebih 90 tempat akan ditambah ke dalam senarai tempat bebas rokok mulai 1 Julai ini.

Ini termasuk taman awam, kebun, pantai riadah dan projek air yang diuruskan oleh agensi air negara PUB.

Untuk memberikan perokok lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan-peraturan ini, tindakan penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan mulai 1 Oktober, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Dr Amy Khor dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi kementeriannya pada Isnin (7 Mac).

Buat masa ini, sesiapa yang merokok di kawasan-kawasan larangan baru akan diberikan amaran, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan bersama.

Para pegawai daripada Lembaga Taman Negara (NParks), PUB dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) akan diberi kuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap para pesalah.

Di bawah Akta Merokok (Larangan Di Tempat Tertentu) 1992, sesiapa yang didapati merokok di tempat larangan boleh disaman S$200 atau didenda sehingga S$1,000 jika didapati bersalah di mahkamah.

Menurut Dr Khor, dengan menambah lebih banyak tempat di bawah akta tersebut, rakyat Singapura boleh menikmati tempat-tempat riadah ini tanpa terdedah kepada asap rokok.

Poster dan sepanduk akan dipasang di lokasi-lokasi bebas asap rokok yang baru untuk mengingatkan orang ramai tentang peraturan baru itu.

Antara lebih daripada 30 kawasan di bawah tapak dan taman kolam air Program Air Aktif, lndah, Bersih (Air ABC) yang diletakkan di bawah peraturan baru itu termasuk Tanah Paya Lorong Halus, dek memancing terusan terusan Pang Sua di Yew Tee dan Taman Kolam Air MacRitchie.

Merokok juga dilarang di kesemua taman di bandar, pantai dan daerah yang diuruskan oleh NParks.

Antara 51 taman berkenaan adalah Taman Raffles Place, Taman Pulau Serangoon (Coney Island) dan Woodlands Waterfront Park.

Taman bandar dan pantai, serta Rangkaian Penghubung Taman, yang dibangunkan selepas 1 Julai tahun ini juga akan dijadikan bebas asap rokok, menurut agensi-agensi tersebut.

Sepuluh pantai juga akan dimasukkan ke dalam senarai tersebut iaitu pantai Changi, East dan West Coast, Sembawang, Pasir Ris,
Pulau Serangoon, Punggol, serta pantai Siloso, Palawan dan Tanjong di Sentosa.

Buat masa ini, merokok dilarang di lebih 49,000 tempat termasuk kawasan dalaman dan luaran seperti pusat hiburan, pusat beli-belah, sekolah dan perhentian bas serta ruang-ruang awam di bangunan-bangunan kediaman.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan