Skip to main content

Singapura

Lebih banyak syarikat amalkan tempoh bekerja 4 hari seminggu bagi pikat, kekalkan pekerja

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak syarikat amalkan tempoh bekerja 4 hari seminggu bagi pikat, kekalkan pekerja

Orang ramai di kawasan CBD pada 25 Mac 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Sebuah klinik pergigian di Singapura memilih untuk memberikan tambahan satu hari cuti dalam usaha mengekalkan pekerjanya sewaktu pandemik COVID-19 tanpa memberikan sebarang tokokan gaji tahunan. 

Langkah tersebut membuahkan hasil bagi DP Dental kerana kadar pekerja yang berhenti kerja merosot sekurang-kurangnya 50 peratus sejak ia melaksanakan aturan kerja tersebut. Ia kini masih mengekalkan amalan empat hari kerja dalam seminggu.

Lebih banyak syarikat kini mengamalkan tempoh bekerja empat hari untuk memikat dan mengekalkan pekerja mereka di tengah-tengah pasaran tenaga buruh yang sengit. 

Lebih ramai pekerja di Singapura berminat menerima aturan sedemikian. 

Dalam tinjauan ke atas 1,000 pekerja, 81 peratus berkata mereka ingin bekerja empat hari seminggu. Tinjauan yang dilakukan bulan lalu oleh firma kajian pengguna Milieu Insight mendapati bahawa lebih 75 peratus pekerja yang ingin bekerja empat hari seminggu, melihat keseimbangan antara kerja dengan kehidupan sebagai salah satu faedah utama. 

Namun, aturan seumpama itu bukan untuk semua orang, kata Ketua Pegawai Eksekutif DP Dental Louisa Lee. Kliniknya yang terletak di Kovan dan Orchard, mempunyai sekitar 40 pekerja, termasuk pekerja penyambut tamu dan pakar bedah gigi. 

"Saya mempunyai beberapa anggota yang berasal dari luar negara dan belum berkeluarga, dan mereka di Singapura supaya mereka dapat menyokong keluarga mereka," katanya. 

"Bagi mereka, kami menambah tempoh bekerja mereka kepada empat hari setengah ataupun lima hari." 

PIKAT PEKERJA BERPENGALAMAN

Dalam pada itu, perniagaan makanan dan minuman (F&B) Coriander Leaf Group - yang menyaksikan segelintir pekerja mereka meninggalkan industri sewaktu pandemik - membenarkan pekerja baru untuk bekerja empat hari seminggu dalam usaha untuk memikat lebih ramai pekerja berpengalaman. 

"Saya fikir pekerja yang berhenti itu hanya berhenti sementara dan mereka akan kembali ke industri apabila semuanya sudah beransur pulih," kata Ketua Eksekutif Coriander Leaf Group Rajeev Panjwani. 

"Tetapi sudah dua tahun. Saya rasa mereka pun sudah menceburi industri lain, dan terdapat kekurangan karyawan industri F&B." 

Tambah Encik Panjwani, aturan kerja baru itu "mula menarik perhatian beberapa minggu lalu kerana seperti yang anda tahu, pekerja menginginkan keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik". 

Namun, buat masa ini Coriander Leaf tidak akan membenarkan pekerja sedia ada bekerja empat hari seminggu. Mereka akan memantau kecekapan pekerja baru dalam tempoh dua bulan akan datang. 

Sekiranya kecekapan tidak meningkat, ia mungkin mengimbangi tempoh bekerja yang lebih singkat dengan mengambil lebih ramai pekerja - iaitu keprihatinan yang turut dirasakan kebanyakan syarikat di sini. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita