Lebih banyak subsidi kesihatan mulai November dengan kad CHAS Hijau baru
Warga Singapura dengan keadaan kesihatan kronik akan menerima subsidi bagi penjagaan pesakit luar bermula bulan ini (November) dengan kad CHAS Hijau baru, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (1 Nov).
Gambar fail Poliklinik Jurong. (Gambar: Tan Si Hui)
SINGAPURA: Warga Singapura dengan keadaan kesihatan kronik akan menerima subsidi bagi penjagaan pesakit luar bermula bulan ini (November) dengan kad CHAS Hijau baru, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (1 Nov).
Setakat pertengahan Oktober, lebih 100,000 warga Singapura sudah menerima kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) Hijau, menurut kenyataan MOH.
Dengan kad tersebut, warga Singapura dengan pendapatan keluarga melebihi S$2,000 akan menerima subsidi tahunan sehingga S$160 bagi rawatan penyakit kronik tertentu seperti kencing manis dan penyakit nyanyuk atau demensia.
Mereka yang mempunyai pendapatan seisi rumah kurang daripada S$2,000 sudahpun meraih manfaat kad CHAS Biru dan Jingga. Manfaat kad-kad tersebut turut ditambah.
Pemegang kedua-dua kad itu boleh mendapat subsidi tambahan sehingga S$20 setahun bagi penyakit kronik, manakala pemegang kad CHAS Jingga akan mendapat subsidi bagi penyakit biasa sehingga S$10 setiap lawatan ke klinik CHAS.
Kad CHAS Biru adalah bagi warga Singapura dengan pendapatan keluarga S$1,200 ke bawah manakala pemegang kad Jingga mempunyai pendapatan antara S$1,201 hingga S$2,000.
"Dengan penambahan ini, kita menjangkakan pengagihan bagi subsidi CHAS untuk meningkat kepada S$200 juta setahun, berbanding S$152 juta pada 2018," menurut MOH.
(Gambar: MOH & MICA)
LEBIH SUBSIDI BAGI GENERASI MERDEKA
Warga Generasi Merdeka pula boleh mendapat subsidi tambahan bagi rawatan pesakit luar di poliklinik, klinik pakar awam pesakit luar dan klinik CHAS bermula Jumaat.
Warga emas yang dilahirkan pada tahun 1950-an akan mendapat potongan tambahan 25 peratus bagi bil perubatan mereka selain daripada subsidi Pemerintah sedia ada.
Di klinik-klinik CHAS, mereka akan menikmati subsidi istimewa sehingga S$23.50 bagi penyakit lazim, S$520 bagi subsidi tahunan bagi penyakit kronik dan sehingga S$261.50 bagi setiap prosedur pergigian tertentu.
Semua warga Generasi Merdeka yang layak juga akan membayar S$2 bagi pemeriksaan kesihatan di bawah program Screen for Life, berbanding S$5 setakat ini.
Mereka akan menerima insentif tambahan S$1,500 bagi menyertai CareShield Hayat jika mereka mendaftar antara 2021 hingga 2023.
"Ini tambahan kepada insentif penyertaan S$2,500 bagi warga Singapura lain yang dilahirkan pada 1979 atau lebih awal. Ini bermakna setiap warga Generasi Merdeka yang menyertai CareShield Hayat akan menerima insentif keseluruhan bernilai S$4,000 setiap satu," jelas MOH.
Untuk menjadikan skim tersebut lebih mudah diakses, MOH juga sudah permudahkan proses permohonan CHAS. Warga Singapura kini boleh menyerahkan permohonan CHAS mereka secara online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.