Skip to main content

Singapura

Lebih banyak sokongan untuk pupuk minat pelajar dalam bahasa ibunda, AI

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Mar 2026 07:42PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 10:49PM
SINGAPURA: Tumpuan bagi kemahiran dwibahasa dalam kalangan pelajar mahu dipertingkatkan pemerintah kerana bahasa ibunda dianggap penting.

Ini sejajar dengan langkah pemerintah untuk menambah peruntukan bagi Jawatankuasa Penggalakan Pembelajaran Bahasa Ibunda (MTLLPC).

Dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Pendidikan, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Syed Harun Alhabsyi mengumumkan bahawa Jawatankuasa Penggalakan Pembelajaran Bahasa Ibunda (MTLLPC) akan menerima dana S$33 juta bagi tahun kewangan 2026 hingga 2030.

Jumlah itu lebih tinggi sedikit berbanding S$30 juta yang diperuntukkan sebelum ini bagi tahun kewangan 2021 hingga 2025.

"MOE berharap bahawa kita dapat lebih meningkat lagi fokus kepada kedwibahasaan. Kita akur bahawa bahasa ibunda membawa kepada pengenalan bahasa dan budaya semua masyarakat. Kita rasa dari segi bahasa ibunda penting untuk menerapkan pengenalan budaya bagi anak-anak kita. Ini sewajarnya membawa kepada identiti kepada masyarakat Singapura," kata Dr Syed Harun.

Dengan tambahan dana itu juga, keluarga akan diperkasa dan kerjasama akan diperkukuh dengan kumpulan masyarakat.

Ia akan dilakukan menerusi program-program yang bukan hanya tertumpu kepada pelajaran di sekolah.

Misalnya, Dr Syed Harun mendedahkan mulai Jun tahun ini, MTLLPC akan bekerjasama dengan kelab-kelab masyarakat (CC) untuk menawarkan bengkel percuma yang dikendalikan oleh guru prasekolah bahasa ibunda kepada para ibu bapa.

"Kita akur bahawa penggunaan bahasa bukan sahaja tertakluk kepada kelas, tetapi perlu digunakan dalam masyarakat di sekitar kawasan kejiranan dan menjadi kebiasaan hidup. Antara program yang kita ingin lakarkan adalah untuk ibu bapa yang ada anak-anak kecil," ujarnya.

"Kita rasa apabila penggunaan bahasa digunakan apabila anak-anak masih berusia prasekolah, ia boleh memupuk minat dan kebiasaan menggunakan bahasa ibunda. Fokus kami, untuk ibu bapa rasa keyakinan untuk berbual dengan anak-anak mereka kepada bahasa ibunda agar sekali gus ia menjalinkan kehidupan keluarga itu dengan lebih erat," jelas Dr Syed Harun lagi.

Beliau juga berkata bahawa nilai-nilai yang khusus kepada budaya tertentu "lebih senang" diterapkan menerusi bahasa ibunda.

INGIN IBU BAPA FAHAM KEJAYAAN ANAK-ANAK BUKAN TERLETAK PADA AKADEMIK SAHAJA

Mengenai pemansuhan Program Pendidikan Kanak-Kanak Cerdas (GEP) mulai tahun depan, Dr Syed Harun berkata ia perlu digantikan dengan pendekatan baharu yang lebih meluas dan inklusif.

GEP merupakan program akademik khusus yang diperkenalkan MOE sejak 40 tahun lalu untuk mengenal pasti serta membimbing sekitar satu peratus pelajar terbaik sekolah rendah yang berbakat dari aspek intelek.

Dr Syed Harun menjelaskan: "Kita lihat dari segi kebolehan dan kepakaran anak-anak kita terutama sekali di sekolah rendah, ada banyak kepelbagaian. Dari segi kebolehan, kita lihat tidak semestinya ia dikenal pasti di peringkat darjah rendah atau Darjah 3. Kita perluaskan lagi peluang untuk mengasah bakat tersebut.

"Dari segi usaha mengenal pasti kebolehan anak-anak kita, ia merangkumi bukan sahaja akademik tetapi juga mengenal pasti kebolehan mereka, minat mereka yang mungkin lebih menyerlah apabila mereka lanjut pelajaran di sekolah rendah," tambah beliau lagi.

Sebelum ini, program GEP hanya ditawarkan di sembilan sekolah rendah termasuk Sekolah Rendah Nan Hua dan Sekolah Rendah Nanyang.

Namun menerusi perubahan dan pendekatan yang diperbaharui, ia dijalankan mengikut melalui model di mana murid berkeupayaan tinggi kekal di sekolah masing-masing.

Di bawah pendekatan baharu itu, lebih ramai murid - atau kira-kira 10 peratus daripada kohort murid - akan mendapat akses kepada program-program tersebut.

Dr Syed Harun berkata: "Kita ingin mereka melalui program itu berdekatan dengan sekolah-sekolah mereka sekarang ini. Tidak lagi perlu untuk beralih sekolah, mereka boleh dapatkan program yang boleh mengasuh bakat mereka, dekat dengan sekolah mereka. Ini merupakan langkah MOE untuk mengenal pasti bakat anak-anak kita dengan lebih terperinci, lebihkan peluang titik kemasukan ke program-program tersebut."

LAPORAN BERKAITAN: 15 sekolah rendah akan tawar modul lanjutan setelah SG mansuh Program Pendidikan Kanak-Kanak Cerdas

Tidak seperti GEP, modul-modul yang akan diajar di pusat-pusat sekolah itu tidak dikaitkan dengan kurikulum nasional

"Sebelum ini, mereka perlu ada bakat bagi ketiga-tiga subjek - Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains. Tetapi kita juga melihat anak-anak kita mempunyai bakat dalam satu subjek sahaja. Kita mendapati anak-anak yang ada bakat khusus, yang boleh kita asuh menerusi program ini. Secara am, kita ingin memberi peluang kepada setiap anak-anak kita, kita asuh bersama supaya mereka lebih berkeyakinan, boleh mencapai potensi mereka dalam bidang-bidang pelbagai," luah Dr Syed Harun.

Berikutan pemansuhan program GEP, Dr Syed Harun juga berharap agar ibu bapa juga menumpukan lebih banyak perhatian kepada kebolehan luar akademik, untuk mencapai kejayaan.

Dr Syed Harun berkata: "Setiap ibu bapa ingin yang terbaik untuk anak-anak. Ini satu pendekatan yang kami seiring dengan ibu bapa yang kita ingin mencapai potensi anak-anak mereka setinggi mungkin. Bagi ibu bapa, program ini hanya satu langkah daripada banyak langkah yang dilakukan MOE. Banyak laluan untuk mencapai kejayaan. Kita juga ingin membuka laluan kepada anak-anak kita merasa keyakinan diri."

SIAPKAN GENERASI SELANJUTNYA BERDEPAN DENGAN AI

Dalam aspek penggunaan AI di sekolah pula, Dr Syed Harun menegaskan perlu menyiapkan generasi selanjutnya berdepan dengan AI.

Dengan itu, MOE akan memperluas pendedahan terhadap AI di sekolah.

Dr Syed Harun berkata: "Kita ingin menyiapkan generasi selanjutnya untuk berdepan dengan AI, dan berpendidikan mengikut AI, dan juga faham bagaimana untuk mengasuh AI untuk kebaikan masyarakat. Ini penting kerana dalam masa depan, AI akan menceburi semua aspek kehidupan. Kita ingin menyiapkan generasi selanjutnya untuk berdepan dengan AI dan berpendidikan mengikut AI, dan juga faham bagaimana untuk mengasuh AI untuk kebaikan masyarakat. Kita ingin terapkan kepada pelajaran secara am, demi menerapkan AI lagi secara luas."

Pengenalan AI akan dilakukan secara berperingkat mengikut usia pelajar, termasuk perbincangan tentang etika AI di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IHL).

Di peringkat sekolah rendah misalnya, program 'Code for Fun' akan dikemas kini bagi memperkukuh kemahiran AI dan ditawarkan di semua sekolah mulai 2027.

Kursus AI terpilih juga ditawarkan kepada para alumni dengan potongan harga yang signifikan selama setahun mulai separuh kedua 2026.

Di Institusi Pengajian Tinggi (IHL) pula, kurikulum AI akan terus diperkukuh agar selari dengan perkembangan industri.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita