Lebih banyak sokongan untuk individu kurang upaya hidup berdikari, cari pekerjaan
Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua mengumumkan beberapa inisiatif pada Isnin (10 Mac) untuk meningkatkan sokongan bagi golongan kurang upaya di Singapura, dari segi hidup berdikari dalam masyarakat serta mendapat pekerjaan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Satu kajian oleh pemerintah Singapura mendapati bahawa hanya sekitar separuh daripada mereka yang ditinjau mempunyai sikap positif terhadap golongan kurang upaya di tempat kerja pada 2023. (Gambar: iStock)
This audio is generated by an AI tool.
Semasa membentang peruntukan belanjawan kementeriannya di Parlimen pada Isnin, Encik Chua berkata kebanyakan individu kurang upaya tinggal bersama keluarga mereka dan ingin terus melakukan demikian.
"Namun, ramai mempunyai penjaga yang sudah berusia yang mungkin tidak mampu untuk menjaga mereka tidak lama lagi. Tanpa sebarang pilihan lain, mereka berisiko dihantar ke rumah jagaan."
Program Kehidupan Berupaya yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini akan membolehkan para individu kurang upaya yang berpendapatan rendah, yang tidak dapat tinggal bersama keluarga, untuk tinggal di flat-flat sewa awam yang ditetapkan.
Pada tahun lalu, ia dilaporkan bahawa program perintis itu akan memanfaatkan sehingga 250 individu kurang upaya dari 2025 hingga 2028.
Selain itu, sebuah Program Sokongan Rumah akan dilancarkan pada 2026 bagi membantu individu kurang upaya dengan keperluan rendah hingga sederhana supaya mereka dapat terus tinggal di rumah-rumah sewa untuk tempoh selama mungkin.
Sebagai contoh, seorang individu kurang upaya yang tinggal bersama seorang penjaga yang sudah uzur dan tidak mampu membantu dengan keperluan hariannya, boleh memanfaatkan khidmat lawatan Program Sokongan Rumah itu, seperti pemantauan dan bimbingan untuk hidup berdikari dan kemahiran sosial.
PENDIDIKAN DAN PEKERJAAN
Encik Chua juga mengumumkan Program Kemahiran untuk Kehidupan baharu yang akan berlangsung dari 2025 hingga 2028, di mana ia akan menawarkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada individu kurang upaya yang tidak boleh bekerja.
Program itu yang menyasarkan individu kurang upaya dengan keperluan sokongan yang lebih tinggi, akan dikendalikan di bengkel-bengkel rumah tumpangan dan pusat aktiviti harian yang terpilih.
"Individu kurang upaya akan diberi layanan lebih baik melalui satu perkhidmatan yang disesuaikan mengikut keperluan pembelajaran mereka yang berkembang.
"Mereka akan meraih manfaat daripada sebuah kurikulum yang tertumpu kepada hidup berdikari, kemahiran berkomunikasi, bahasa dan sosio-emosi, tanpa perlu melanggani beberapa perkhidmatan lain," kata Encik Chua.
Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan agensi kurang upaya SG Enable juga akan mempertingkatkan program sokongan pekerjaan dan latihan amali bagi para pelajar dengan keperluan pendidikan khas.
Ia akan menawarkan latihan pra-pekerjaan, peluang penerokaan kerjaya dan penempatan pekerjaan selepas tamat sekolah dengan bimbingan di tempat kerja selama tempoh sehingga setahun.
SG Enable juga akan menggandakan jumlah kemasukan bagi program peralihan dari sekolah ke tempat kerja daripada 45 pelajar setiap tahun kepada 90 menjelang 2030.
Program itu menawarkan latihan berstruktur, penempatan pekerjaan dan sokongan pekerjaan dalam sektor-sektor seperti pengangkutan dan khidmat kewangan kepada pelajar sekolah Pendidikan Khas (SPED).
Kadar pengambilan kerja bagi individu kurang upaya berusia antara 15 dengan 64 tahun juga telah meningkat dari 28.2 peratus pada 2019 hingga 2020, kepada 33.6 peratus pada 2023 hingga 2024.
"Kami akan terus berusaha mencapai matlamat 40 peratus menjelang 2030," kata Encik Chua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.