Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan kewangan, sosial & pendidikan prasekolah dihulurkan kepada keluarga terkesan COVID-19

Lebih banyak sokongan kewangan, sosial dan pendidikan prasekolah akan diberikan kepada orang ramai dan keluarga yang terjejas akibat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan kewangan, sosial & pendidikan prasekolah dihulurkan kepada keluarga terkesan COVID-19

Orang ramai memakai pelitup di S'pura pada 19 Jul 2020 (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 25 Aug 2020 05:59PM Dikemas Kini : 25 Aug 2020 06:04PM

SINGAPURA: Lebih banyak sokongan kewangan, sosial dan pendidikan prasekolah akan diberikan kepada orang ramai dan keluarga yang terjejas akibat COVID-19.

Sokongan bagi golongan-golongan kurang upaya dan kanak-kanak prasekolah dengan masalah pembangunan juga diberi perhatian dalam kenyataan tambahan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Bagi golongan berpendapatan rendah atau lemah yang terjejas dengan COVID-19, MSF akan memberi sokongan kewangan menerusi pelbagai skim seperti ComCare dan Geran Bantuan COVID-19.

Bantuan sosial untuk memastikan kesejahteraan mental dan keluarga golongan itu juga terus dijaga.

Selain itu MSF akan membantu rakyat Singapura yang menganggur mendapat pekerjaan dengan lebih mudah serta menyediakan latihan.

Di samping itu MSF akan meluaskan rangkaian dan program seperti Rangkaian Masyarakat SG Cares serta meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi perkhidmatan sosial, rakan kerja dalam masyarakat dan sukarelawan.

Ia bertujuan memberi sokongan yang menyeluruh, mudah dan terurus kepada rakyat yang memerlukan.

MSF juga akan bekerjasama dengan para operator pusat-pusat prasekolah bagi memastikan 80 peratus kanak-kanak mendapat pendidikan prasekolah yang bermutu dan dalam kemampuan keluarga mereka menjelang tahun 2025.

Sehubungan dengan itu program KidSTART diluaskan ke lebih banyak kawasan agar kanak-kanak dari keluarga bergaji rendah mendapat sokongan yang holistik.

Dalam usahanya untuk membina masyarakat yang penyayang, inklusif dan berdaya tahan, MSF akan menyediakan sokongan yang lebih kukuh kepada golongan kurang upaya.

Ia akan turut bekerjasama dengan SG Enable dan rakan-rakan kerja yang lain untuk melaksanakan Pelan Induk Pengupayaan 3 dan melakar rancangan untuk fasa berikutnya melampaui tahun 2021.

Sokongan tambahan juga akan diberi kepada kanak-kanak prasekolah yang mengalami keperluan khusus bagi perkembangan mereka dari tahap sederhana hingga teruk.

Bagi mengukuhkan perpaduan sosial, MSF akan bekerjasama dengan masyarakat dan rakan-rakan kerja untuk menggalak dan mengekalkan semangat kedermawanan dan sukarelawan. 

Sumber : CNA/SY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan