Skip to main content

Singapura

Lebih banyak sokongan diseru bagi integrasi individu autistik ke tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan diseru bagi integrasi individu autistik ke tempat kerja

(Gambar: CNA/Ang Hwee Min)

Diterbitkan : 04 Apr 2023 10:02PM

SINGAPURA: Pertubuhan-pertubuhan di Singapura menyeru bagi lebih banyak sokongan daripada sekolah-sekolah, para majikan dan orang awam untuk menangani keperluan mereka yang mengalami spektrum autisme ketika mereka menjejak alam dewasa.

Apabila para pelajar yang mengalami autisme mencecah usia 18 tahun, mereka akan menamatkan pengajian di sekolah pendidikan khas (SPED) dan mungkin berdepan dengan apa yang dinamakan oleh para karyawan industri sebagai "post-18 cliff effect".

Ini bermakna khidmat-khidmat bagi para pelajar autistik yang berusia 18 tahun dan ke atas serta para penjaga mereka semakin berkurangan dan mereka berasa sukar untuk mendapatkan bantuan yang memenuhi keperluan mereka.


PASCA TAMAT PENGAJIAN

Buat masa ini, para pelajar bekerjasama dengan penyelaras peralihan dan boleh mendaftarkan diri dalam beberapa program latihan vokasional ataupun kursus-kursus selepas tamat pengajian.

Mereka yang belum bersedia untuk menyertai tenaga kerja berdepan dengan "senario suram" kerana kehidupan mereka terbatas kepada pusat-pusat kegiatan balik hari, kata para karyawan.

Tempoh menunggu bagi pusat-pusat sedemikian adalah antara satu hingga lima bulan. Walaupun pusat tersebut menyediakan khidmat jagaan dan latihan kemahiran, mereka tidak menawarkan peluang pekerjaan atau sokongan masyarakat, menurut Rangkaian Autisme Singapura (ANS).

GESAAN BAGI PERTINGKAT KESEDARAN

ANS, yang merupakan di antara perikatan lima rakan khidmat sosial, menganjurkan beberapa siri rumah terbuka untuk sekolah-sekolah, para majikan dan agensi-agensi awam sempena Hari Autisme Sedunia pada Ahad (2 Apr).

Pihak pengajur menyatakan bahawa mereka berharap kegiatan-kegiatan tersebut akan membantu orang awam mempelajari lebih banyak lagi tentang autisme dan menggalak mereka untuk mendaftar sebagai rakan sukarela atau rakan majikan.

"Kami ingin orang awam mengetahui bagaimana mereka boleh menjadi sebahagian daripada usaha membentuk sebuah masyarakat yang membenarkan penyertaan golongan autistik di dalam masyarakat kami," kata Cik Tan Sze Wee, pengarah eksekutif Rainbow Centre, rakan perikatan itu.

JUMLAH ORANG ALAMI AUTISME MENINGKAT

Walaupun tiada kajian rasmi terhadap jumlah mereka yang mengalami autisme dijalankan di Singapura, anggaran berdasarkan data daripada hospital awam menunjukkan bahawa jumlah tersebut sedang meningkat, menurut ANS.

Lebih 5,550 kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah didiagnosis dengan masalah perkembangan pada 2018. Jumlah itu naik daripada jumlah purata sebanyak 4,362 kes baru dari 2015 hingga 2017.

Setakat 2016, dianggarkan bahawa satu dalam 150 kanak-kanak di Singapura mengalami spektrum autisme. Kadar itu lebih tinggi dibandingkan dengan kadar global, iaitu satu dalam 160 kanak-kanak.

Dr Sim Zi Lin, seorang ahli psikologi dari pertubuhan bukan meraih untung, Pusat Sumber Autisme, berkata bahawa kenaikan pada jumlah itu disebabkan oleh kesedaran yang lebih tinggi. Ia menyebabkan lebih ramai orang didiagnosis.

Menurut Kementerian Pendidikan, sekitar 80 peratus pelajar dengan keperluan pendidikan khas berada di sekolah-sekolah biasa.

INKLUSIVITI DI TEMPAT KERJA

Buat masa ini, sekitar 30 peratus orang kurang upaya diambil bekerja. Pelan Induk Pemerkasaan 2030 menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 40 peratus.

Dr Sim mengakui bahawa Singapura sudah mencatat "kemajuan yang besar" dari segi menjadikan tempat kerja lebih inklusif. Namun masih terdapat ruang bagi penambahbaikan, katanya.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita