Skip to main content

Singapura

Lebih banyak sokongan di prasekolah bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan

Sebuah kumpulan kerja melibatkan sektor-sektor awam dan privet akan ditubuhkan bagi membantu pusat prasekolah di sini menjadi lebih inklusif.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan di prasekolah bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan

Gambar fail seorang guru pra-sekolah dalam kelas. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Apr 2019 02:09PM Dikemas Kini : 10 Apr 2019 02:11PM

SINGAPURA: Sebuah kumpulan kerja melibatkan sektor-sektor awam dan privet akan ditubuhkan bagi membantu pusat prasekolah di sini menjadi lebih inklusif.

Demikian diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada hari ini (10 Apr).

Kumpulan kerja itu akan mengkaji dan menghasilkan saranan-saranan kepada pusat prasekolah untuk menyokong kanak-kanak dengan keperluan pembangunan tahap sederhana hingga teruk, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam kenyataan medianya.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak juga akan menyelia khidmat pencelahan awal bagi kanak-kanak prasekolah, mengambil alih daripada MSF secara bertahap-tahap mulai Julai tahun ini.

Menurut MSF, inisiatif-inisiatif tersebut dibangunkan atas usaha-usaha yang diumumkan Encik Lee pada Januari lalu untuk menjadikan khidmat pencelahan awal lebih dimampui dan disesuaikan mengikut keperluan setiap anak.

Kumpulan kerja tersebut juga akan mengkaji pengalaman pusat-pusat prasekolah dengan kanak-kanak dengan keperluan pembangunan tahap sederhana hingga teruk. Ini bagi menghasilkan pendekatan yang boleh diperluaskan ke lebih banyak pusat prasekolah.

Seorang jurucakap mengatakan: "Ini juga akan memberi kanak-kanak di peringkat awal pembangunan di lebih banyak pusat prasekolah peluang untuk mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang kanak-kanak yang mungkin berbeza daripada diri mereka."

Keperluan pembangunan merujuk kepada keadaan pembangunan kanak-kanak dari isu-isu fizikal, sentuhan hingga kognitif serta keperluan pembelajaran mereka yang tidak meliputi kekurangan upaya.

Kumpulan kerja tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Parlimen Kanan MSF Faishal Ibrahim dan Dekan bagi Kajian Pendidikan, Institut Pendidikan Nasional, Kenneth Poon.

Dengan ECDA menyelia khidmat-khidmat prasekolah serta pencelahan awal, ia dijangka dapat meningkatkan penyelarasan pembangunan awal kanak-kanak dan khidmat sokongan, tambah MSF.

Semua khidmat pencelahan awal yang membantu kanak-kanak menimba kemahiran seperti perhubungan sosial, pertuturan dan bahasa serta tulisan tangan akan berada di bawah naungan ECDA menjelang 2020.

Sekarang ini, Pejabat Ketidakupayaan di MSF menyelia penyediaan khidmat pencelahan awal dan bekerjasama dengan rakan-rakan seperti hospital serta pertubuhan tidak meraih keuntungan untuk mengesan keperluan pembangunan dalam kalangan kanak-kanak di peringkat awal.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita