Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan buat keluarga muda yang mahu membeli rumah, estet perumahan jadi lebih mesra warga emas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah komited untuk membantu rakyat Singapura, terutama sekali pembeli kali pertama untuk memiliki rumah sendiri.

Lantaran itu, Kementerian Pembangunan Negara memperkenalkan beberapa peningkatan untuk memberi sokongan lebih kukuh bagi pasangan dan keluarga muda seperti yang diumumkan semasa Perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) tahun ini.

Antara bantuan ini menurut Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dapat mengurangkan beban kewangan lebih-lebih lagi bagi pasangan muda.

PASANGAN & KELUARGA MUDA AKAN TERIMA LEBIH BANYAK SOKONGAN

Misalnya, pasangan muda yang layak akan mendapat lebih banyak bantuan apabila membeli flat baharu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ini termasuk pengurangan dalam bayaran pendahuluan awal sebanyak 2.5 peratus daripada harga pembelian melalui Skim Bayaran Pendahuluan Beransur yang dipertingkat.

Keluarga muda yang layak juga boleh menerima sehingga S$80,000 Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG) apabila mereka memberi flat baharu ataupun flat jualan semula.

Ia bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan awal bagi pasangan muda untuk membeli sebuah flat.

Ini termasuk mereka yang mungkin masih belajar sepenuh masa atau baru mendapatkan pekerjaan tetap.

"Kami rasa yakin bahawa ini akan mengurangkan beban pembayaran bagi mereka supaya mereka boleh menempah flat dan mendapatkannya dan apabila mereka mahu mengambil kunci, mereka boleh mendapatkan bukan saja geran EHG untuk menolong mereka dalam pembayarannya tetapi juga bagaimana mereka boleh mendapatkan kemudahan ataupun akses yang lebih mudah untuk menempah rumah mereka," kata Dr Faishal.

Skim berkenaan akan berkuat kuasa pada Jun depan apabila pusingan jualan Bina Ikut Tempahan (BTO) dimulakan.

SKIM PERUMAHAN SEMENTARA KEIBUBAPAAN (PPHS)

Selain itu, keluarga muda yang layak dan sedang menunggu unit BTO mereka tidak lama lagi akan dapat memanfaatkan baucar sewa bernilai S$300 setiap bulan, untuk mengimbangi kos sewa bagi sebuah flat HDB atau bilik tidur dalam pasaran terbuka.

Inisiatif tersebut di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) memberi mereka lagi satu pilihan perumahan sementara bagi keluarga yang menunggu flat baharu mereka siap.

"Kami faham dan mereka mahukan tempat tinggal sementara. Jadi, kami telah membangunkan satu skim PPHS dan di mana semenjak 2021 kita telah melihat permintaannya semakin meningkat.

"Justeru kita telah meningkatkan bilangan flat-flat PPHS dan kami akan meningkatkan bilangannya kepada 2,000 unit. Pada tahun 2025, kami akan terus meningkatkan kepada 4,000 unit. Jadi ini akan memberikan ruang yang lebih banyak untuk menempuhi atau memenuhi permintaan yang meningkat ini," jelas Dr Faishal.

Beliau menarik perhatianKementerian Pembangunan Negara (MND) akan memantau bagaimana sokongan S$300 itu memadai buat pasangan muda.

"Kita rasa prihatin kerana kalau kita berikan kadar yang lebih tinggi, mungkin ia boleh menjejas ataupun memberi kesan kepada inflasi di Singapura kerana kadang-kadang apabila kita memberi baucar ataupun subsidi, mereka yang memiliki rumah mungkin mahu menyewa lebih tinggi.

"Jadi ia boleh menjejas keperluan dan juga bagaimana rakyat kita boleh menyewa rumah untuk PPHS ini di pasaran terbuka. Jadi kita mahu memantau bagaimana S$300 boleh memberikan sokongan yang dan sekali gus kita mahukan pasaran sewa terus stabil," kata Dr Faishal.

Skim Baucar PPHS (Pasaran Terbuka) itu akan mula diberikan pada Julai ini dan diberikan kepada mereka yang layak selama setahun.

Untuk layak menerima baucar tersebut, keluarga harus memenuhi kriteria di bawah PPHS dan mendaftar dengan HDB ketika mereka memohon baucar itu.

Dalam pada itu, Dr Faishal mengulangi komitmen pemerintah untuk meringankan beban yang dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga dan berkeluarga.

"Yang penting kita mahu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan-golongan yang mahu berkahwin, membangunkan keluarga dan memikirkan tentang proses keibubapaan dan pemerintah mahu menyokong mereka.

"Jadi, kami akan sentiasa memikirkan dasar-dasar ataupun skim yang bukan sahaja inovatif tetapi boleh memberikan sokongan pertolongan yang mungkin pada pendapat saya yang paling penting mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan rakyat Singapura," kata Dr Faishal.
Flat BTO yang sedang dibina. (Gambar fail: Jeremy Long/CNA)
KAWASAN PERUMAHAN BARU UNTUK MEMENUHI PERMINTAAN

Bagi memenuhi permintaan bagi perumahan, HDB juga merancang untuk melancarkan sekitar 19,600 flat BTO tahun ini.

Ini termasuk pelancaran sebuah estet perumahan baharu di Yishun iaitu Chencaru yang terletak berdekatan dengan stesen MRT Khatib untuk memberi lebih banyak pilihan bagi pembeli.

Sekitar 10,000 rumah dirancang akan dibina di estet perumahan baharu itu dan sebuah projek BTO dengan 1,200 unit rumah juga akan dilancarkan menjelang bulan Jun ini.

"Saya rasa gembira kerana dengan adanya satu kawasan baru Chencharu di Yishun, ia akan meluaskan lagi pilihan bagi rakyat kita dan juga bagi penduduk-penduduk Yishun mungkin ada anak-anak yang mahu tinggal berdekatan dengan ibu bapa mereka.

"Jadi dengan adanya kawasan baru ni, saya yakin ia akan bukan sahaja akan menambah bilangan flat-flat di sana tetapi menambah prasarana yang akan dibangunkan. Ini baik untuk masyarakat ataupun penduduk-penduduk di Yishun dan ia juga berdekatan dengan stesen MRT Khatib," kongsi Dr Faishal yang juga merupakan penasihat akar umbi GRC Nee Soon.

Dengan pembinaan estet baharu itu, prasarana baharu yang akan dibangunkan juga diharap dapat meningkatkan lagi tahap kehidupan penduduk-penduduk di Yishun.
Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY
ESTET PERUMAHAN LEBIH MESRA WARGA EMAS

Selain pasangan muda dan golongan yang mahu memulakan keluarga, kepentingan warga emas juga menjadi keprihatinan MND.

Ini dengan pengumuman Program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (EASE 2.0) yang dipertingkatkan.

Selain kemudahan dalam rumah, program itu bertujuan untuk membina persekitaran perumahan yang lebih selamat buat warga emas.

Di bawah inisiatif itu, MND, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah 'Age Well SG' untuk membuat kawasan kejiranan lebih mesra warga emas.

"Kita akan menambah penyembur bidet, kita akan merendahkan tempat laluan untuk masuk tandas dan juga kita akan memberikan ruang untuk tempat pemegang yang berlipat kali ganda.

"Jadi ini semua mungkin yang pada pendapat saya akan memberikan ruang keselesaan, ketenangan, fikiran dan juga mereka sudah senang untuk hidup dalam kehidupan mereka di dalam rumah," jelas Dr Faishal.
Warga emas di Singapura. Gambar Hiasan.
Di samping itu, sebuah Sistem Amaran Kecemasan Tanpa Wayar (Wireless AAS) juga akan diperluas untuk memanfaatkan sekitar 26,800 warga emas yang tinggal di sekitar 170 flat sewa di merata Singapura.

Ini termasuk di kawasan Bukit Merah dan Kallang - Whampoa.

"Ini akan memberikan ketenangan fikiran kepada mereka dan mereka tidak harus rasa risau di mana apabila ada kecemasan, mereka hanya harus tekan butang.

"Kakitangan di Pusat Penuaan Aktif (AAC) ataupun Careline akan menerima panggilan itu dan akan mendekati warga tua itu. Jadi ini akan memberikan sokongan yang lebih pantas dan kalau mereka memerlukan sokongan seperti ambulans, kita akan menghubungi SCDF dan ini boleh memberikan ruang keselamatan bagi mereka," kongsi Dr Faishal.

Pembinaan sistem itu akan dimulakan pada awal tahun depan.
Selain itu, ada juga perancangan untuk memperluaskan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP) bagi menyuntik kesegaran kepada estet-estet lama.

"Kita akan mengadakan program iaitu satu program pembaharuan kejiranan iaitu NRP yang di mana kita akan memberikan nafas baharu kepada estet-estet yang dibina sehingga 1999 untuk mengadakan ciri-ciri warga emas supaya mereka boleh mendapatkan wadah keselesaan dalam kehidupan mereka di estet-estet ini.

"Kita akan membangunkan lebih banyak taman, taman terapeutik dan juga tempat penanam yang mesra dengan kerusi roda dan juga tempat laluan kecergasan bagi warga emas supaya mereka boleh pergi kepada kemudahan-kemudahan yang ada di dalam kawasan yang mereka hidup ataupun tinggal.

Antara kawasan yang akan dipertingkatkan adalah estet-estet lama sepertiQueenstown, Ang Mo Kio dan Toa Payoh.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan