Skip to main content

Singapura

Lebih banyak sokongan bagi pendidik prasekolah, pembelajaran luar darjah dipertingkat

Tenaga pengajar dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak akan menerima lebih banyak sokongan untuk membangunkan kemahiran dan kemajuan kerjaya mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Oct 2020 07:49PM Dikemas Kini : 10 Oct 2020 11:19PM

SINGAPURA: Tenaga pengajar dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak akan menerima lebih banyak sokongan untuk membangunkan kemahiran dan kemajuan kerjaya mereka.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli mengumumkannya semasa Persidangan Pembangunan Awal Kanak-kanak yang diadakan secara maya hari ini (10 Okt).

Ini akan dilakukan dengan menyemak rangka kerja kemahiran sedia ada dan mengembangkanpeta hala tuju bagi pembangunan profesional pendidik.

Menurut Encik Masagos, keutamaannya adalah untuk membantu semua guru memperdalam kepakaran mereka dan mempunyai kerjaya yang memuaskan dalam sektor ini.

Ini akan memberi manfaat kepada guru dan kanak-kanak.

Langkah itu juga bertujuan menjadikan sektor prasekolah lebih inklusif.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) menyatakan bersama dengan SkillsFuture Singapore, ECDA akan menyemak semula peranan dan laluan kerjaya dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak untuk membimbing pendidik dengan lebih baik berkaitan peningkatan kemahiran dan peluang membangunkan kerjaya mereka.

Rangka kerja yang disemak juga akan menjadi panduan bagi prasekolah dalam pengurusan sumber manusia dan pembangunan bakatnya, selain membolehkan penyedia latihan menyesuaikan program latihan mereka agar sesuai dengan keperluan sektor pendidikan awal kanak-kanak.

ECDA juga akan melakarkan laluan pembangunan kemahiran dan kerjaya bagi pendidik khidmat sokongan pembelajaran dan guru intervensi awal dalam rangka kerja yang disemak itu.

Ini akan memastikan program latihan yang lebih tersusun untuk memudahkan tenaga pendidik bergerak dalam laluan kerjaya yang berbeza.

Lebih banyak maklumat tentang rangka kerja yang disemak itu akan diumumkan pada separuh kedua 2021.

Rancangan hala tuju Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) juga akan dibangunkan untuk membantu dalam pembangunan profesional pendidik. Tenaga pendidik prasekolah boleh merujuk kepada peta hala tuju itu untuk membantu mereka dalam melakarkan program pembangunan profesional mereka.

Maklumat lebih lanjut mengenai peta hala tuju itu dijadual diterbitkan pada separuh kedua 2021, kata ECDA.

Agensi tersebut juga sedang bekerjasama dengan Institut Nasional bagi Pembangunan Awal Kanak-kanak untuk memperdalamkan tumpuan terhadap amalan inklusif dalam kursus latihan sebelum dan semasa kursusu latihan.

"Ini akan membantu memperkukuh keupayaan pendidik untuk menjaga kanak-kanak dengan keperluan pembelajaran yang pelbagai di dalam bilik darjah mereka," kata agensi itu.

PEMBELAJARAN LUAR DARJAH

ECDA telah mengumumkan pelbagai daya inisiatif tahun lalu untuk membina lebih banyak ruang pembelajaran luar darjah di estet HDB dan taman, untuk menyediakan sumber dan latihan kepada pendidik bagi menjalankan pembelajaran luar darjah untuk kanak-kanak prasekolah.

Tahun ini, EDCA, dengan sokongan Yayasan Temasek, akan memperkenalkan program latihan pembelajaran luar darjah untuk menambah sokongan kepada pendidik dan prasekolah dalam pembelajaran luar darjah.

Ini termasuk mengatur sesi perkongsian rakan setugas bagi pendidik berkongsi pengalaman menjalankan pembelajaran di luar darjah, serta kursus latihan lanjutan untuk pendidik dan pelatih yang mengikuti sesi latihan dalam pembelajaran luar pada 2019.

Program ini juga akan menyediakan dana sumber pembelajaran luar darjah untuk menyokong pusat-pusat terpilih dalam melaksanakan pembelajaran di luar darjah, dan menjalankan kajian untuk menilai keberkesanan program di pusat-pusat tersebut.

LEBIH BANTUAN BAGI KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH

ECDA juga akan memperluaskan program sokongan kepada kanak-kanak berusia sehingga enam tahun dari keluarga berpendapatan rendah.

Program KidSTART kini memberi manfaat kepada lebih 1,000 kanak-kanak dari keluarga susah di beberapa kawasan di Singapura. Ia diperluaskan ke kawasan Woodlands dan Bedok awal tahun ini, tambah agensi itu.

Pada 2021, ECDA akan menawarkannya kepada keluarga yang layak di Yishun, Sembawang dan Ang Mo Kio. Program ini akan akhirnya diperluaskan untuk membantu 5,000 lagi anak dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Had pendapatan isi rumah bulanan bagi layak untuk program KidSTART kini dinaikkan kepada S$2,500 berbanding S$1,900. 

Sumber : CNA/TQ?
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita