Skip to main content

Singapura

Lebih banyak sokongan bagi pekerja bakal diumumkan dalam Belanjawan 2026: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Feb 2026 06:29PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 04:53PM
SINGAPURA: Lebih banyak langkah sokongan buat pekerja akan diperkenalkan dalam kenyataan Belanjawan Singapura 2026.

Berikut menurut Perdana Menteri Lawrence Wong dalam satu video yang dimuat naik ke YouTube.

Langkah-langkah tersebut dikatakan akan menangani kebimbangan mengenai pekerjaan.

Menurutnya, meskipun ekonomi Singapura menunjukkan prestasi baik dan keadaan pasaran buruh kekal teguh, kebimbangan mengenai pekerjaan terus memberi tekanan terhadap pekerja di tengah-tengah perubahan teknologi yang pesat dan suasana luaran yang tidak menentu.

Encik Wong, yang juga merupakan Menteri Kewangan, berkata bahawa pemerintah akan memberikan lebih banyak sokongan untuk membantu rakyat Singapura menangani perubahan ini.

"Dan ini termasuk membantu anda menangani perubahan pekerjaan, melengkapkan anda dengan kebolehan yang relevan untuk kekal berdaya saing dan memastikan bahawa semua rakyat Singapura boleh mendapatkan pekerjaan yang bagus dengan pendapatan yang meningkat," tmabahnya.

Beliau berkata bahawa butiran lanjut akan dikongsikan dalam kenyataan Belanjawan esok (12 Feb).

Dalam video tersebut, Encik Wong berbicara dengan dua pekerja tentang pengalaman mereka di tempat kerja dan mendengar cadangan mereka tentang bagaimana sistem sokongan Singapura untuk pekerja boleh diperbaiki.

Salah seorang daripada mereka adalah seorang jurutera yang sudah bekerja dalam industri lif dan tangga bergerak selama lebih 20 tahun, manakala yang seorang lagi adalah seorang ahli terapi pendidikan yang bertukar kerjaya selepas 17 tahun sebagai perunding huraian dalam sektor IT.

"Kami ingin melakukan lebih banyak untuk menyokong orang seperti anda. Saya rasa pada masa akan datang, memandangkan perubahan pesat dalam teknologi dan tempat kerja, saya rasa orang akan mengalami lebih banyak peralihan kerjaya," kata Encik Wong kepada mereka, sambil menambah bahawa kerja akan berkembang walaupun seseorang itu kekal dalam industri yang sama.

"Kita perlu membantu rakyat Singapura untuk terus meningkatkan kemahiran mereka agar kekal relevan," kata Encik Wong.

Encik Wong akan menyampaikan kenyataan Belanjawan 2026 di Parlimen pada pukul 3.30 petang pada Khamis.

Kenyataan tersebut akan disiarkan secara langsung di Channel 5 dan di radio melalui CNA938 dan Capital 958.

Ia juga akan disiarkan di laman CNA dan 8 World, YouTube, Facebook dan halaman TikTok.

meWATCH Mediacorp, siaran langsung YouTube Parlimen Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital, serta saluran YouTube Perdana Menteri sendiri juga akan menyiarkan kenyataan tersebut.

Kemas kini daripada Kenyataan Belanjawan akan dibuat di platform media sosial MOF.

Sebaik sahaja Belanjawan disampaikan, orang ramai juga akan dapat melihatnya di laman web Belanjawan Singapura.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita