Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan bagi graduan Politeknik, ITE dapat kerja dalam sektor teknologi

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan bagi graduan Politeknik, ITE dapat kerja dalam sektor teknologi

Gambar Hiasan: Pelajar Politeknik Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 04 Mar 2022 07:06PM Dikemas Kini : 04 Mar 2022 11:57PM

SINGAPURA: Penuntut dan lulusan politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan menerima lebih banyak sokongan untuk mendapat pekerjaan berkaitan dengan sektor teknologi di tengah-tengah ekonomi digital yang semakin berkembang pesat, kata Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan, Tan Kiat How hari ini (4 Mac).

“Kami akan menyediakan pendekatan berstruktur, dari hujung ke hujung untuk menyokong pembelajaraan penuntut politeknik dan ITE, bermula dengan 1,000 tempat dalam masa tiga tahun akan datang," beliau mengumumkan demikian dalam Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya.

Sebuah Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) untuk Perikatan ITE dan Politeknik (TIP) yang terdiri daripada firma teknologi terkemuka serta majikan utama akan dibentuk oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Langkah baru itu dilaksanakan selepas beberapa lulusan politeknik dan ITE daripada khursus Maklumat dan Teknologi Digital (IDT) berkongsi bahawa mereka tidak dapat mencari pekerjaan permulaan yang sesuai di dalam bidang yang diceburi, kata Encik Tan.

"Ada daripada mereka juga menerangkan bahawa majikan lebih memilih graduan daripada universiti. Ramai juga sukar untuk mendapatkan kerja selepas menjalankan perkhidmatan negara (NS) atau atas sebab yang lain."

Perikatan itu akan "meningkatkan mutu peluang latihan" untuk penuntut politeknik dan ITE.

Selepas tamat pengajian, para penuntut boleh mengikuti program perantisan di firma-firma yang mengambil bahagian di bawah program Penempatan Kerja dan Latihan.

Syarikat-syarikat itu juga akan mewujudkan "pelan latihan berorientasikan kemahiran dan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi", termasuk pentauliahan dan latihan pakar.

Para lulusan yang berminat untuk melanjutkan pengajian boleh disokong melalui diploma bekerja sambil belajar atau program ijazah dalam bidang pertumbuhan seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan keselamatan siber, beliau menambah.

Syarikat-syarikat seperti Accenture, IBM, NCS and PSA Corporation sudah meningkatkan komitmen untuk menyediakan latihan amali, program perantisan atau penempatan kerja, kata Encik Tan, sambil menggesa lebih banyak syarikat untuk ikut serta dalam usaha tersebut.

Satu contoh adalah ijazah baru bagi 'applied computing' atau pengkomputeran gunaan dengan pengkhususan dalam Teknologi Kewangan (FinTech) akan dilancarkan di Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ini.

Program tiga tahun itu akan menjadi ijazah belajar sambil bekerja dan SIT akan menawarkan 40 tempat buat kemasukan pertama. Pelajar akan dilatih dalam kejuruteraan perisian, pengurusan projek serta bidang pertumbuhan seperti pembelajaran mesin dan teknologi 'blockchain'.

Program itu menerima sokongan daripada rakan industri, seperti AIA Singapore, DBS, JP Morgan, dan Standard Chartered, menurut IMDA dan
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan bersama.

Terdapat juga keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja teknologi sedia ada Singapura di tengah-tengah kemajuan teknologi yang semakin pesat.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, IMDA akan melancarkan Perancangan Perubahan mengenai Pekerjaan ICT lewat tahun ini untuk membantu majikan dan pekerja daripada sektor teknologi untuk mengenal pasti kemahiran yang perlu dipertingkatkan dan peluang latihan semula yang diperlukan, kata Encik Tan.

PROGRAM BARU PERLINDUNGAN DATA BUAT PERNIAGAAN

Untuk perniagaan, program baru perlindungan data dan huraian keselamatan siber akan dilancarkan pada bulan April untuk membantu perniagaan melindungi diri daripada serangan-serangan siber dan
pelanggaran data.

Program baru Data Protection Essentials (DPE) akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) memperoleh tahap asas perlindungan data dan latihan keselamatan, menurut IMDA dan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, akan ada sokongan berterusan untuk membantu perniagaan beralih kepada digital.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan