Skip to main content

Singapura

Lebih banyak sokongan awal bagi pasangan sebelum fail perceraian

Ini diumumkan oleh Hakim Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC), Debbie Ong, hari ini di seminar Pelan Kerja FJC 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan awal bagi pasangan sebelum fail perceraian

Gambar hiasan. (Gambar: KENZO TRIBOUILLARD / AFP)

Diterbitkan : 01 Mar 2018 12:28AM Dikemas Kini : 01 Mar 2018 12:30AM

SINGAPURA: Jawatankuasa berbilang agensi Semakan dan Perubahan yang Dipertingkat (RERF) yang baru-baru ini ditubuhkan akan berusaha untuk menawarkan khidmat-khidmat sokongan lebih awal bagi pasangan yang perkahwinannya bergolak, sebelum mereka memfailkan perceraian di mahkamah.

Ini diumumkan oleh Hakim Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC), Debbie Ong, hari ini di seminar Pelan Kerja FJC 2018.

"Kami akan berusaha untuk memudahkan peluang bagi pihak-pihak terbabit untuk memikirkan kesan pelbagai keputusan yang mereka buat dan memperkasa mereka untuk membuat keputusan yang munasabah dan baik untuk anak-anak mereka," kata Hakim Ong.

"Mahkamah ini menjadi wadah terakhir bagi menghuraikan pertikaian keluarga," tambah beliau.

Dalam ucapannya, Hakim Ong menyentuh tentang Program Keibubapaan Mandatori - iaitu sesi kaunseling selama dua jam yang dikendalikan oleh agensi-agensi pakar sokongan perceraian untuk menggalak pasangan yang ingin bercerai supaya membuat keputusan yang mengutamakan kesejahteraan anak-anak mereka.

Beliau berkata FJC "amat berbesar hati" dengan usaha-usaha seumpama itu dan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga untuk menyokongnya.

SEMAK DAN PERKUKUH UNDANG-UNDANG KELUARGA

Hakim Ong juga menambah Jawatankuasa RERF mungkin menyemak kuasa mahkamah untuk membahagikan aset-aset perkahwinan dan nafkah anak.

Menekankan keadaan di mana perkara-perkara itu diputuskan, Hakim Ong berkata penting untuk mengurangkan lagi kos dan kesulitan di samping meningkatkan kecekapan pengurusan masa dalam prosiding keluarga.

Dalam konteks ini, FJC akan menyemak Peraturan Keadilan Keluarga dan Amalan yang dikuatkuasakan pada tahun 2014.

Jawatankuasa RERF akan menimbangkan kerja-kerja yang diperlukan dalam semakan itu dan memudahkan peraturan dan prosesnya.

LINDUNGI KEBAJIKAN KANAK-KANAK

FJC juga akan memperkukuh skim Perwakilan Anak.

Dilaksanakan pada tahun 2014, para peguam terlatih melindungi kebajikan anak yang terbabit dalam kes perceraian berkonflik tinggi dengan mewakili mereka serta kepentingan mereka di mahkamah.

Sebagai repsons kepada pertanyaan, seorang jurucakap FJC berkata proses yang disemak itu akan memastikan Para Wakil Anak (CR) hadir pada perbicaraan akhir prosiding itu.

Hakim Ong berkata maklum balas terhadap skim itu positif.

"Para hakim berasa CR penting untuk menemu bual anak-anak, ibu bapa dan penjaga utama. CR sendiri berasa peranan mereka mewakili anak-anak amat bermakna dan mereka menggunakan banyak masa, termasuk hujung minggu, untuk menjalankan tugas mereka," kata beliau.

FJC juga sedang menimbangkan untuk membangunkan kemudahan-kemudahan online bagi tuntutan nafkah anak.

Projek itu bertujuan untuk membantu semua pihak memahami kesan yang mungkin berlaku daripada tuntutan nafkah dan ia juga sebagai wadah untuk kedua-dua pihak berunding.

Sekiranya rundingan gagal, perantaraan online berhubung tuntutan itu akan disediakan.

Ini "akan membantu kedua-dua pihak menghuraikan tuntutan nafkah anak mereka lebih awal dan mengurangkan kos, sekaligus memberi manfaat kepada anak-anak," kata Hakim Ong.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita