Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan akademik antara saranan dalam laporan kesihatan mental mahasiswa

Satu tinjauan kesihatan mental ke atas para mahasiswa daripada lima universiti berautonomi di Singapura mendapati bahawa tiga daripada empat responden mahukan lebih banyak sokongan bagi pendidikan akademik mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu tinjauan kesihatan mental ke atas para mahasiswa daripada lima universiti berautonomi di Singapura mendapati bahawa tiga daripada empat responden mahukan lebih banyak sokongan bagi pendidikan akademik mereka.

Ini termasuk pengenalan tempoh tangguh atau penangguhan yang dibenarkan melepasi tarikh akhir yang ditetapkan bagi semua tugasan.

Tinjauan tersebut, yang dijalankan oleh sebuah rangkaian antara universiti, dijalankan ke atas 470 responden dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Institut Teknologi Singapura (SIT), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Rangkaian antara universiti itu mengeluarkan dapatan tinjauan itu dalam Laporan Kesihatan Mental UCare pada Selasa (21 Jun), di samping saranan-saranan untuk memberikan sokongan lebih baik demi kesihatan mental dan kesejahteraan para mahasiswa.

Perincian tinjauan itu akan dikongsikan dengan universiti-universiti berautonomi tersebut untuk "memberi panduan kepada arah dasar dan memperoleh saranan" bagi universiti-universiti yang turut serta dan Singapura secara menyeluruh, menurut laporan itu.

Tinjauan itu juga mendapati 49 peratus mahasiswa yang ditinjau memilih untuk menangani isu kesihatan mental mereka sendiri, meskipun ada "kesedaran tinggi" tentang sokongan-sokongan yang disediakan di universiti-universiti mereka.

Sekitar satu daripada lima responden berkata mereka takut orang di sekeliling mereka akan menghakimi mereka jika mereka menggunakan bantuan profesional yang disediakan di universiti-universiti dan inisiatif-inisiatif yang diterajui penuntut, dedah laporan itu.

Laporan itu juga menyarankan agar lembaga-lembaga akademik membenarkan "lebih banyak kebebasan" untuk para mahasiswa merancang haluan akademik mereka setiap penggal.

Ini membolehkan para mahasiswa mengurus beban tugasan dan tarikh akhir mereka dengan memilih modul-modul yang "sepadan dengan kemampuan mereka", menurut rangkaian antara universiti itu.

Tinjauan itu juga mendapati para mahasiswa merasakan terdapat "obsesi keterlaluan dan tidak sihat" kepada gred, kerana para majikan menekankan bahawa keputusan akademik masih digunakan sebagai penanda utama dalam memilih calon pekerja, dedah laporan itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan