Lebih banyak ruang santai, kafe khas di Pusat Jagaan Barah Young Heroes Persatuan Ain yang diubah suai
SINGAPURA: Pusat Jagaan Barah Young Heroes Persatuan Ain di Eunos Crescent dibuka semula hari ini (13 Sep) selepas menjalani kerja-kerja peningkatan sejak Mei lalu.
Secara keseluruhan, projek ubah suai pusat tersebut menelan belanja sebanyak S$150,000.
Kos untuk mengubah suai kemudahan itu berjaya dikumpulkan menerusi usaha mengumpul derma yang dijalankan sejak 2021 dan usaha lain yang disokong mantan Presiden, Halimah Yacob yang juga merupakan penaung badan itu.
Puan Halimah juga diundang untuk merasmikan pembukaan semula pusat itu petang tadi.
KAFE KHAS UNTUK PARA BELIA DISEDIAKAN
Projek ubah suai itu diharap dapat menawarkan sekitaran yang lebih inklusif dan selesa bagi kanak-kanak dan para belia yang menghidap barah.
Antara ciri-ciri baharu di pusat tersebut termasuk sebuah kafe khas untuk para belia, hiasan dalaman yang lebih ceria dan ruang-ruang berehat yang lebih selesa.
Ruang bersama itu direka bagi menggalak para pesakit belia berinteraksi dan berkongsi pengalaman antara satu sama lain, di samping menawarkan sokongan sepanjang perjalanan mencabar masing-masing.
Antara pesakit barah belia yang teruja melihat wajah baharu pusat tersebut ialah Puteri Nur Afiqah.
Beliau didiagnos menghidap barah Tiroid pada usia 14 tahun.
Menurut Puteri, beliau kerap mengunjungi dan meluangkan masa di pusat Pusat Jagaan Barah Young Heroes.
Kata Puteri: "Ciri-ciri baru seperti kafe dan juga bilik kaunseling membuat saya teruja untuk datang ke pusat ini. Saya rasa amat selesa untuk berkongsi hal peribadi saya bersama pegawai sosial saya dan juga kemudian saya dapat berkongsi secawan bersama rakan saya sambil bergurau senda."
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Md Yusof Ismail pula, beliau menekankan pentingnya untuk menyediakan ruang-ruang selamat di mana para pesakit belia boleh berinteraksi, menerima sokongan serta membina daya tahan emosi masing-masing.
"Terminologi yang mereka (para belia) gunakan ialah tempat untuk mereka 'chilling dan healing' ataupun yang kita panggil dia nak lepak-lepak. Jadi itu yang buat kami buat keputusan untuk membuka satu kafe di sini dan di sekeliling kafe ini tempat mereka minum itu ada soket untuk komputer riba dan juga untuk mereka cas telefon bimbit mereka dan sebagainya. Jadi ini memberikan mereka satu ruang yang selamat. Satu ruang yang mereka rasa mereka tidak akan dihakimi," jelas Encik Yusof kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
BAS MINI BAHARU DIDERMAKAN
Dalam acara petang tadi, Puan Halimah juga merasmikan sebuah bas mini bagi kegunaan para penerima bantuan Persatuan Ain.
Bas itu adalah hasil sumbangan syarikat kereta Carro dan lagi empat penderma yang lain.
Ia bertujuan memudahkan para penerima bantuan Persatuan Ain yang berkerusi roda untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, ia juga dapat mengurangkan beban kewangan mereka dengan menjimatkan kos pengangkutan privet yang semakin meningkat.
Encik Yusof juga berkata bas baharu ini dapat mengurangkan kos penyelenggaraan juga.
Beliau mendedahkan bahawa bas lama yang digunakan pusat itu sudah beberapa kali rosak di tengah-tengah perjalanan.
Buat masa kini, seramai 80 pesakit barah kanak-kanak dan belia mendapatkan khidmat dan bantuan daripada pusat tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.