Lebih banyak rawatan klinik gigi kini dapat dilakukan, namun timbul cabaran baru
Lebih banyak khidmat rawatan kesihatan kini dapat dilakukan, termasuklah rawatan terapi dan rawatan gigi, selepas berakhirnya tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
SINGAPURA: Lebih banyak khidmat rawatan kesihatan kini dapat dilakukan, termasuklah rawatan terapi dan rawatan gigi, selepas berakhirnya tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna anda boleh cepat mendapatkan rawatan doktor gigi misalnya.
Malah mendapatkan temu janji bagi rawatan terapi juga ternyata tidak mudah sebenarnya.
BERITAmediacorp mengupas cabaran-cabaran baru yang kini muncul di klinik-klinik gigi dan terapi.
HAMPIR SEMUA RAWATAN GIGI DAPAT DILAKUKAN
Dengan tamatnya ‘circuit-breaker’ pada 2 Jun, semua klinik gigi seperti The Kids Dentist yang terletak di di Pusat Perubatan Camden di kawasan Orchard Road, kini tidak lagi terhad kepada memberi rawatan kecemasan sahaja.
Ia sekarang boleh menawarkan hampir semua jenis rawatan gigi, termasuk meneruskan rawatan dan temu janji dengan para pelanggannya yang tertangguh sebelum ini.
Dr Rashid Tahir, doktor gigi di The Kids Dentist. (Gambar: Ira Musfirah/ BERITAmediacorp)
Namun demikian, ada satu masalah.
Banyak daripada prosedur rawatan pergigian hakikatnya menghasilkan aerosol - iaitu penyemburan partikel atau wap dari mulut pelanggan ke udara. Aerosol tersebut boleh berlegar-legar di udara buat beberapa ketika.
Prosedur menghasilkan aerosol boleh menyebabkan wap berlegar-legar di udara. (Gambar: Ira Musfirah/ BERITAmediacorp)
Ia boleh menjadi suatu faktor risiko jika pesakitnya juga positif COVID-19, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan antara pesakit, kata Dr Rashid Tahir, doktor gigi veteran itu.
PROSEDUR HASILKAN AEROSOL YANG PERLU DIHAPUSKAN
Disebabkan faktor tersebut, ia membawa cabaran tersendiri kepada operasi klinik-klinik gigi.
"Kalau rawatan menyebabkan aerosol, kita perlu menjarakkan antara pesakit selama 45 minit, jadi saya tidak boleh merawat pesakit lain dan bilik rawatan gigi juga tidak boleh digunakan selama 45 minit," jelas Dr Rashid kepada BERITAmediacorp.
Proses pembersihan yang dilakukan sebelum pesakit selanjutnya berjumpa doktor. (Gambar: Ira Musfirah/ BERITAmediacorp)
Langkah keselamatan itu secara langsung mengehadkan jumlah temu janji yang boleh dibuat di klinik ini dan mengurangkan sehingga 75 peratus jumlah pesakit yang dapat berjumpa doktor gigi setiap hari.
"Kalau sebelum masalah COVID-19, dalam satu jam, kita boleh jumpa mungkin empat pesakit. Sekarang dalam satu jam, kita boleh jumpa hanya dalam satu pesakit," terang Dr Rashid.
The Kids Dentist di Pusat Perubatan Camden. (Gambar: Ira Musfirah/ BERITAmediacorp)
Disebabkan itu, beliau akur, para pelanggan kini "perlu bersabar".
Dr Rashid percaya, keadaan akan mula pulih selepas bulan Jun dengan lebih ramai pesakit hanya dapat berjumpa doktor pada Fasa Kedua nanti apabila lebih banyak peraturan mencegah COVID-19 dilonggarkan.
TEMPAHAN "LUAR JANGKAAN" SELEPAS 'CIRCUIT-BREAKER'
Juga dibuka semula setelah dua bulan ditutup ialah klinik Corrective Therapy Singapore, yang menawarkan terapi merawat sendi, tulang dan otot. Ia terpaksa 'berehat' kerana tidak dianggap sebagai 'perkhidmatan penting' semasa 'circuit breaker'.
Kini pakar terapi dan pemilik klinik itu, Encik Danial Jumari, menyaksikan bilangan permintaan dan tempahan di "luar jangkaan".
Encik Danial Jumari (kanan) di kliniknya. (Gambar: Petikan skrin dari video)
"Responsnya amat memberangsangkan. Apabila kita umumkan di laman media sosial kami bahawa kami dapat buka perkhidmatan kami pada 2 Jun, dalam tempoh dua jam... semua slot kami telah penuh," kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.
Slot bagi sepanjang minggu ini penuh dan Encik Danial menasihati para pelanggannya supaya menempah seminggu lebih awal bagi mendapatkan slot rawatan yang diinginkan.
TERIMA SEHINGGA 20 PERTANYAAN PADA SAAT AKHIR
Bagaimanapun, sambutan tidak dijangka ini turut membawa cabaran baru kepada khidmat terapi beliau.
"Biasanya kami mempunyai dalam lima hingga lapan klien. Kini dengan pembukaan semula, kami menerima antara 15 hingga 20 pertanyaan, yang mahu mendapatkan slot pada saat-saat akhir.
Antara rawatan yang dilakukan di Corrective Therapy Singapore. (Gambar: Petikan skrin dari video)
"Kebanyakan klien juga akan membawa lebih daripada satu orang untuk menemani mereka dan kami harus mengehadkan jumlah klien ke dalam premis kami," tambah beliau lagi.
Lebih ramai orang juga bermakna lebih tinggi risiko jangkitan. Semua itu perlu ditangani menerusi lebih banyak usaha pencegahan dan pembasmian kuman yang perlu dijalankan.
Namun ini masih boleh dianggap sebagai ‘masalah yang menggembirakan’ kerana banyak pelanggan datang ke kliniknya.
Dengan perniagaannya kini semakin kembali cerah selepas mendung COVID-19 dan peraturan ketat pemutus rantaian jangkitan COVID-19, kesan virus korona itu masih belum meninggalkan minda Encik Danial.
Beliau kini juga mahu memberi balik kepada masyarakat. Khususnya kepada keluarga-keluarga yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja akibat COVID-19.
Usahawan tersebut menyatakan, lima peratus daripada bayaran setiap rawatan akan diketepikan untuk membantu sebilangan keluarga tersebut. Beliau mengenakan bayaran sekitar S$100 bagi setiap rawatannya.
Wang yang dikumpulkan kemudian akan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan seharian pada penghujung bulan ini dan didermakan kepada golongan sasaran itu.
Malah Encik Danial juga mahu menyumbang kepada badan-badan bantuan anak yatim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.