Lebih banyak pusat mengundi, masa menunggu lebih singkat bagi Pilihan Raya Presiden 2023
Cop bertandakan 'X' yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Presiden Singapura sekiranya ia dipertandingkan. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan pada Isnin (24 Jul) bahawa pihaknya akan menambah bilangan pusat mengundi daripada 1,097 kepada 1,264.
Dengan lagi 167 pusat mengundi (iaitu tambahan sebanyak 15 peratus), jumlah pengundi yang diperuntukkan di setiap pusat juga akan berkurangan, iaitu daripada purata 2,400 kepada 2,150 orang.
Selain itu, setiap pusat mengundi akan mempunyai lebih banyak kaunter pendaftaran dan kertas mengundi untuk mengurangkan masa menunggu para pengundi, menurut ELD. Ia menjangkakan bilangan pegawai pilihan raya yang dikerahkan akan naik daripada 30,000 orang kepada 36,000 orang.
Peningkatan sebegini diusulkan berdasarkan pengalaman daripada Pilihan Raya Umum 2020, tambah ELD.
Pada 2020, masa mengundi dilanjutkan sehingga pukul 10.00 malam pada hari mengundi kerana barisan panjang dan berlaku kelengahan di beberapa pusat sehingga ada pengundi tidak sempat melaksanakan kewajipan masing-masing sebelum waktu pengundian seharusnya ditutup, iaitu pada jam 8.00 malam.
ELD menyatakan kelengahan dalam proses mengundi terjadi kerana sumber-sumber tidak mencukupi di pusat mengundi lebih besar. Ini sedangkan mereka perlu menjalankan pelbagai langkah berjaga-jaga COVID-19, seperti mengambil suhu badan dan memberi gel pembasmi kuman. Syarat memakai sarung tangan digugurkan untuk mengurangkan masa menunggu.
Para pengundi juga akan diberi cara lebih mudah untuk memeriksa barisan di pusat mengundi. Ini boleh dilakukan dengan melungsuri laman periksa status barisan dengan hanya mengimbas kod QR pada kad undi, yang akan dikirimkan kepada mereka selepas Hari Pencalonan, sekiranya Pilihan Raya Presiden dipertandingkan.
ELD juga akan menggantikan pena-X, yang diperkenalkan semasa GE2020, dengan Cap X. ELD menjelaskan bahawa ramai pengundi menggunakan pena-X dengan betul dalam pilihan raya lalu tetapi ada yang menyangka ia adalah pena biasa dan cuba mencoret sendiri tanda pangkah menggunakan pena tersebut.
Bagi mengelak sebarang kekeliruan, Cap X yang baharu akan lebih "besar dan jelas berfungsi sebagai cap".
Tiga calon sebelum ini sudahpun mengumumkan niat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang - mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, usahawan George Goh dan mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Ng Kok Song.
UNDIAN POS BAGI RAKYAT SG DI LUAR NEGARA
ELD turut memberikan butiran lanjut tentang proses undian pos bagi warga Singapura di luar negara, yang akan dilaksanakan buat pertama kalinya jika pilihan raya dipertandingkan.
Bagi pengundi di luar negara, mereka harus tinggal di Singapura selama sekurang-kurangnya 30 hari sepanjang tiga tahun lalu untuk layak mengundi.
Undang-undang tersebut baru-baru ini dipinda supaya rakyat Singapura layak mengundi dari luar negara asalkan mereka berada di sini selama tempoh minimum, sepanjang tiga tahun sebelum tarikh pendaftaran sebagai pengundi luar negara. Sebelum ini, mereka harus memenuhi syarat tersebut sebelum Daftar Pengundi disemak, iaitu 1 Jun.
Pendaftaran bagi pengundian dari luar negara dibuka saat ini dan akan ditutup pada hari kedua selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
ELD mengingatkan para pengundi pos bahawa kertas undi yang sudah dipangkah dan dimasukkan dalam sampul surat, harus sampai di Singapura tidak lebih 10 hari selepas Hari Mengundi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.