Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak pusat dibuka bagi Program Tuisyen MENDAKI untuk dekati masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Program Tuisyen MENDAKI (MTP) kini dikendalikan di 100 pusat sebagai usaha untuk lebih mendekati masyarakat.

Antara pusat terbaru yang dibuka adalah Sekolah Rendah Greendale di kawasan Punggol.



Hadir untuk menyambut murid-murid sekolah itu pada hari pertama bagi program itu ialah Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad.

"Kita juga mahu membawa lebih banyak daripada tawaran MENDAKI kepada masyarakat supaya anak-anak kita tidak perlu berjalan jauh kepada pusat-pusat kita," kongsi Encik Zaqy yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI.

"Kita mahu membawa kepada estet-estet seperti Punggol di mana kita melihat lebih ramai anak-anak muda kita, keluarga muda dan anak masih di bangku sekolah yang mungkin mendapat manfaat daripada program tuisyen kita. Di sini, saya juga berharap, dengan sokongan ibu bapa, kita dapat mengembangkan lagi MTP supaya lebih ramai dapat meraih manfaat," tambahnya.



Pada masa yang sama, Encik Zaqy juga berkongsi bahawa pihak MENDAKI "sentiasa memberi keprihatinan" kepada mereka di estet-estet baru itu, di mana demografinya sentiasa "berkembang".

"Kami berharap kami dapat menjadi rakan kongsi bukan sahaja bagi sekolah-sekolah, tetapi juga untuk ibu bapa yang memerlukan anak-anak mereka mendapatkan program tuisyen," ujar Encik Zaqy.

LEBIH 8,000 PELAJAR SERTAI MTP TAHUN INI

Tahun ini, lebih 8,000 pelajar menyertai MTP, iaitu kenaikan sekitar lima peratus berbanding tahun lalu.

Dalam menyumbang kepada usaha MENDAKI membimbing pelajar Melayu/Islam pula, terdapat juga guru tuisyen baru seperti Muhammad Rifkee Safah, 29 tahun, yang baru sahaja menyertai MTP tahun lalu.



"Sebagai bekas penerima Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) MENDAKI, saya rasa ini adalah satu ruang keemasan untuk saya menyumbang serta berbakti kepada masyarakat dengan menggunakan kemahiran serta kesemua pelajaran akademik yang sudah saya menimba dari peringkat sekolah menengah hinggalah peringkat universiti," kongsi Encik Rifkee, yang mengajar di tiga pusat MTP, termasuk Sekolah Rendah Greendale.

Beliau percaya peranan guru tuisyen MTP bukan sekadar mengajar sahaja tetapi juga sebagai "teladan" untuk memberi inspirasi kepada pelajarnya.

TERAPKAN KAEDAH PENGAJARAN MENARIK BAGI PELAJAR

Di samping itu, Encik Rifkee juga ingin menerapkan elemen-elemen menarik dalam kaedah pengajarannya untuk mendekati dan menarik perhatian pelajarnya.

"Sebagai tutor, saya juga akan sambung mengajar mereka dengan pelbagai kaedah seperti permainanan papan dan permainan online untuk menarik perhatian mereka," ujar Encik Rifkee.

"Saya harap kaedah-kaedah atau gabungan kaedah ini dapat menarik perhatian mereka untuk mereka menimba ilmu secara seronok supaya mereka minat dengan apa yang mereka pelajari iaitu bahasa Inggeris dan subjek Matematik (khususnya) di Sekolah Rendah Greendale," tambah beliau.



Dalam pada itu, Sekolah Rendah Greendale menerima Anugerah Buku MENDAKI sebanyak S$500.

Ini bagi menggalak lebih banyak sekolah bekerjasama dengan MENDAKI untuk mengendalikan pusat-pusat MTP.

Melalui anugerah itu, rakan kerja sekolah MTP dapat mengiktiraf dan menghadiahkan para pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi dalam pelajaran mereka, dan menggalakkan pencapaian lebih baik.

Sebanyak S$55,000 diketepikan untuk tujuan tersebut tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan