Lebih banyak program senaman untuk warga emas akan kembali di lebih banyak CC, hab
Persatuan Rakyat (PA) kini merancang untuk menganjurkan semula lebih banyak kegiatan khusus buat warga emas di lebih banyak kelab masyarakat.
SINGAPURA: Persatuan Rakyat (PA) kini merancang untuk menganjurkan semula lebih banyak kegiatan khusus buat warga emas di lebih banyak kelab masyarakat.
Ini setelah usaha perintis PA yang dijalankan di lebih 20 hab bersepadu dan kelab masyarakat sejak lebih dua minggu lalu menerima respons baik, menurut Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF) baru-baru ini.
Antara mereka yang memanfaatkannya di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias hari ini (18 Nov) termasuklah empat warga emas Melayu.
Misalnya Cik Sity Ngainsiyah Salamon, 62 tahun, yang seawal jam 9.00 pagi lagi, sudah berada di sana.
Ligat betul beliau mengikuti kelas senaman kerusi bersama hampir 30 warga emas lain. Sukar untuk membayangkan bahawa suri rumah itu baru bebas COVID-19 setelah diuji positif awal bulan lalu.
"MOH nyatakan kita perlu duduk rumah selama 10 hari baru boleh keluar rumah. Tapi bagi saya dan keluarga, kami tunggu seminggu lagi," cerita Cik Sity sambil menambah, dua anak perempuan dan suaminya juga diuji positif enam minggu lalu.
Yang pasti, cabaran kesihatan yang menimpa keluarganya itu tidak menghalang beliau daripada mengikuti kelas-kelas senaman di kelab masyarakat berdekatan rumahnya.
Sejak 1 Nov, Persatuan Rakyat (PA) merintis penyambungan semula program-program berkumpulan atau beramai-ramai bagi warga emas di 21 hab bersepadu dan kelab masyarakat.
Dalam tempoh 10 hari sahaja, sekitar 1,200 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas sudah menyertai kegiatan-kegiatan berkumpulan yang kembali dianjurkan buat mereka, menurut MTF.
"InsyaAllah tidak ada apa-apa. Dalam urusan pengendalian kelas, mereka memang teliti tentang semua perkara. Sebelum kita masuk, mereka bersihkan semua tempat duduk. Kemudian kita para peserta daftar masuk dan menggunakan token. Kita juga guna gel pembasmi kuman," kongsi Cik Sity.
LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT LEBIH KETAT
Umumnya, langkah-langkah pengurusan selamat yang dilaksanakan Persatuan Rakyat "lebih ketat" daripada peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di tempat awam.
Ini dilakukan demi melindungi warga emas dengan lebih baik lagi - walaupun hanya mereka yang lengkap divaksin dapat menyertai program-program fizikal PA.
Antara peraturan yang ditetapkan termasuklah, para peserta lanjut usia harus mengekalkan jarak selamat dua meter antara satu sama lain dalam kelas-kelas senaman.
Jika kelas berkenaan memerlukan mereka menanggalkan pelitup pula, warga emas perlu mengisytiharkan mereka sudah menjalani ujian pantas antigen (ART) dan didapati negatif COVID-19.
Ini perlu dilakukan meskipun bilangan peserta bagi kelas senaman yang dianjurkan dalam tempat tertutup sebegitu, dihadkan kepada 30 orang sahaja.
Disebabkan itu, kegiatan memerah keringat seperti ini boleh dikatakan tidak lagi seriuh waktu dahulu.
"RINDU KAWAN": WARGA EMAS LEBIH SUKA SENAM DI CC
Pun begitu, kelas senaman di kelab masyarakat sangat dialu-alukan warga emas kerana mereka juga dapat memanfaatkannya untuk menyambung semula silaturrahim fizikal dengan 'geng senaman'.
Mentelah lagi, sudah lebih setahun acara-acara fizikal buat warga emas digantung PA.
"Saya suka di CC lah. Zoom macam tidak ada kawan. Macam kita sorang saja bersenam. Datang sini lagi baik, udara segar," luah Cik Sity.
Jiran Cik Sity juga mengaku beliau memang rindu dengan rakan-rakan lain.
"Kita tahu kita ni dah divaksin. Lagipun, terlalu rindu dengan kawan-kawan. Kita ada semacam ikatan, kita rapat," kata Cik Dayang Ramlah Md Osman. "Jarak selamat tu ada. Semua mereka jaga. Jadi tak risau apa-apa."
Selain kelas senaman kerusi, Zumba, qigong dan berjalan pantas, PA turut menganjurkan semula acara konsert, tayangan filem dan lawatan berpandu bagi warga emas.
(Gambar: Persatuan Rakyat/Facebook)
Lebih banyak kegiatan akan dianjurkan di lebih banyak kelab masyarakat lain sekiranya permintaan terus menggalakkan dan para peserta dalam fasa percubaan ini mematuhi peraturan-peraturan jarak selamat yang ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.