Lebih banyak pilihan untuk 'buskers'; zon khas diperkenalkan di Sungai S'pura, Ang Mo Kio
Para 'buskers' atau penghibur jalanan akan diberikan lebih kelonggaran bagi memilih lokasi untuk persembahan mereka mulai April, dengan dua zon hiburan jalanan diperkenalkan di Sungai Singapura dan Ang Mo Kio.
Gambar fail penghibur jalanan di S'pura pada 2017 (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Para 'buskers' atau penghibur jalanan akan diberikan lebih kelonggaran bagi memilih lokasi untuk persembahan mereka mulai April, dengan dua zon hiburan jalanan diperkenalkan di Sungai Singapura dan Ang Mo Kio, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Baey Yam Keng pada Jumaat (6 Mac).
Setiap zon akan merangkumi "kelompok lokasi persembahan jalanan", memberikan lebih banyak pilihan berbanding dengan lokasi yang diperuntukkan sekarang, jelas Encik Baey semasa Dewan membahaskan peruntukan bagi kementeriannya.
Ini bermakna para penghibur jalanan di Sungai Singapura boleh membuat persembahan di Read Bridge dan Clarke Quay Central, manakala para buskers di Ang Mo Kio pula boleh membuat persembahan di ruang antara pintu masuk Ang Mo Kio Hub dengan cawangan McDonald's, tanah lapang di kawasan antara pusat penjaja S11 dengan Jubilee Square serta ruang berhampiran pusat penjaja Blok 724.
"Ini menawarkan pengalaman persembahan jalanan yang lebih pelbagai untuk penonton dan memastikan akses yang adil bagi tempat-tempat persembahan yang popular," kata Encik Baey.
Beliau menambah bahawa Majlis Seni Kebangsaan (NAC) akan terus menyemak lokasi-lokasi tersebut, sambil menguruskan aktiviti-aktiviti hiburan jalanan dan membangunkan program-program yang sesuai dengan rakan-rakan lokasi dan masyarakat penghibur jalanan.
Bagi memberi peluang kepada para belia untuk mempamerkan daya kreatif dan bakat mereka, NAC bekerjasama dengan * SCAPE untuk melancarkan program Busking @ * SCAPE.
Di bawah program ini, rakyat Singapura yang berusia antara 15 hingga 35 tahun tidak perlu menjalani uji bakat atau diluluskan di bawah Skim Hiburan Jalanan NAC.
"Sebaliknya, mereka boleh mendaftar bagi slot (ruang waktu) untuk membuat persembahan di hadapan *SCAPE yang bertentangan dengan Orchard Cineleisure," kata Encik Baey.
Skim itu dirintis sejak Oktober 2019 dan sejauh ini, lebih 60 penghibur sudah memperlihatkan bakat mereka.
NAC juga akan bekerjasama dengan *SCAPE untuk menawarkan bengkel kepada belia untuk mempertingkatkan persembahan dan interaksi mereka dengan para penonton.
Sistem penjadualan digital juga akan dibangunkan untuk membantu para penghibur jalanan memilih slot masing-masing.
"Dengan ini, orang ramai dan rakan kerja lokasi boleh menjangkakan ruang yang lebih bertenaga dan jadual persembahan yang pelbagai," kata Encik Baey.
NAC melancarkan percubaan bagi sistem penjadualan itu pada hujung November 2019 untuk para penghibur memilih slot di Clarke Quay Central dan hasilnya agak memberangsangkan.
Mereka yang berminat untuk membuat persembahan boleh menggunakan kaedah itu untuk menempah slot di Clarke Quay Central mulai April untuk dua jam setiap slot dari 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam setiap Jumaat hingga Ahad dan 10.00 pagi hingga 10.00 malam pada cuti umum.
Penghibur jalanan juga boleh mengakses sistem itu melalui www.nacbuskingscheme.as.me/clarkequaycentral.
Buat masa ini, sistem penjadualan tersebut sedang menjalani fasa ujian beta dan NAC merancang untuk menggunakannya di lokasi-lokasi hiburan jalanan yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.