Skip to main content

Singapura

Lebih banyak pilihan pakej haji 2027 ditawarkan; harga bermula dari S$13,864

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak pilihan pakej haji 2027 ditawarkan; harga bermula dari S$13,864
Sebanyak 37 pakej diluluskan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk bakal jemaah Haji, berbanding 25 tahun lalu. (Gambar fail: Kementerian Media Arab Saudi)
Diterbitkan : 05 Nov 2026 03:32PM

SINGAPURA: Bakal jemaah haji Singapura akan mempunyai lebih banyak pilihan bagi musim haji 2027, dengan 37 pakej diluluskan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), berbanding 25 tahun lalu.

Pakej-pakej tersebut ditawarkan oleh 10 ejen pelancongan yang dilantik MUIS, dengan tempoh perjalanan antara 18 dengan 28 hari.

MUIS akan mengeluarkan Surat Tawaran kepada 900 bakal jemaah. Mereka yang terpilih akan dimaklumkan menerusi SMS dan e-mel bermula16 November.

Setelah menerima maklumat tersebut, bakal jemaah perlu mendapatkan Surat Tawaran menerusi portal MyHajSG.

Mereka perlu membeli pakej yang diluluskan daripada ejen pelancongan yang diiktiraf MUIS dan melengkapkan prosedur diperlukan di portal tersebut selewat-lewatnya pada 30 November.

PAKEJ 18 HARI PILIHAN PALING SINGKAT

Pakej paling singkat ditawarkan bagi tempoh 18 hari, dengan jemaah dijadualkan berangkat pada 4 Mei dan pulang pada 21 Mei.

Menurut MUIS, pilihan itu disediakan bagi jemaah yang mungkin sukar meninggalkan keluarga, pekerjaan atau tanggungjawab peribadi bagi tempoh lebih panjang.

Pakej paling lama pula adalah selama 28 hari, dengan tarikh keberangkatan pada 1 Mei dan kepulangan pada 28 Mei.

Harga paling rendah adalah S$13,864 bagi pakej selama 18 hari yang ditawarkan Hagel Travel & Tours. Harga itu adalah bagi penginapan empat orang sebilik.

Pakej paling mahal pula berharga S$21,199 bagi pakej selama 28 hari oleh Hahnemann Travel & Tours, untuk penginapan dua orang sebilik.

Secara purata, harga pakej adalah S$16,734 bagi penginapan empat orang sebilik, S$17,231 bagi tiga orang sebilik dan S$18,094 bagi dua orang sebilik.

TAMBANG PENERBANGAN, PERLINDUNGAN EMA TIDAK TERMASUK

Harga yang disenaraikan tidak termasuk tambang penerbangan langsung menggunakan Saudia Airlines serta perlindungan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA) yang diuruskan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS).

Tambang kelas ekonomi lazimnya berharga S$3,300, tertakluk kepada cukai, manakala perlindungan EMA berharga S$295.

Namun, harga pakej sudah merangkumi khidmat Mashaer serta khidmat perubatan di Tanah Suci yang disediakan Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura.

Khidmat Mashaer meliputi penginapan khemah, pengangkutan, makanan, pengurusan orang ramai serta langkah keselamatan sepanjang kemuncak ibadah haji di Arafah dan Mina.

JEMAAH DITEMPATKAN DI HOTEL SAMA

Bagi musim haji 2027, MUIS dan AMTAS bersetuju agar jemaah bagi kesemua pakej ditempatkan di hotel-hotel yang sama yang telah ditetapkan.

Aturan itu bertujuan membantu mengawal keseluruhan kos pakej dan memudahkan penyelarasan pergerakan jemaah, termasuk perjalanan antara Madinah, Makkah dengan Jeddah.

Jemaah juga digalakkan supaya mempertimbangkan perlindungan insurans perjalanan tambahan, terutama bagi keadaan perubatan sedia ada dan keadaan lain yang mungkin tidak dilindungi EMA.

Mereka boleh mendapatkan panduan lanjut daripada ejen pelancongan diiktiraf pilihan masing-masing.

TELITI KONTRAK SEBELUM BELI PAKEJ

Bakal jemaah dinasihatkan supaya menilai pakej-pakej yang diluluskan berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing sebelum membuat pembelian.

Mereka juga perlu membaca serta memahami Kontrak Pembelian Pakej Haji (HPPC) sebelum memilih sesebuah pakej.

Ejen-ejen pelancongan yang diiktiraf sudah dimaklumkan supaya menerangkan peruntukan-peruntukan utama dalam kontrak tersebut kepada bakal jemaah.

MUIS turut mengingatkan bakal jemaah supaya hanya membeli pakej daripada ejen pelancongan yang diiktiraf serta mengelakkan mengambil tawaran visa atau khidmat haji yang tidak rasmi.

Orang ramai digalakkan menyemak status ejen menerusi saluran rasmi MUIS sebelum membuat sebarang bayaran atau komitmen.

Mereka juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tawaran melibatkan aturan visa alternatif atau dakwaan bahawa visa haji boleh dijamin di luar aturan rasmi haji Singapura.

Hanya visa haji yang sah membolehkan seseorang menunaikan ibadah tersebut. Bakal jemaah juga perlu mematuhi semua syarat visa dan kemasukan yang ditetapkan Arab Saudi.

Berikut adalah senarai ejen pelancongan yang diiktiraf MUIS:

- Azza Travel & Tours Pte Ltd
- Hagel Travel & Tours Pte Ltd
- Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd
- Halijah Travels Pte Ltd
- Hamidah Travel & Tours Pte Ltd
- Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd
- Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd
- Shahidah Travel & Tours Pte Ltd
- Thoha Travel & Tours Pte Ltd
- TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita