Skip to main content

Singapura

Lebih banyak perumahan di CBD, Marina Bay di bawah Draf Pelan Induk URA

Lebih banyak rumah akan dibangunkan di Daerah Pusat Bandar (CBD) dan kawasan Marina Bay, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (27 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak perumahan di CBD, Marina Bay di bawah Draf Pelan Induk URA

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 27 Mar 2019 01:54PM Dikemas Kini : 27 Mar 2019 01:57PM

SINGAPURA: Lebih banyak rumah akan dibangunkan di Daerah Pusat Bandar (CBD) dan kawasan Marina Bay, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (27 Mac).

URA menyatakan di bawah Draf Pelan Induk 2019, ia akan membangunkan lebih banyak kediaman di kawasan seperti Downtown, Marina South dan Rochor supaya lebih ramai orang dapat tinggal dekat dengan tempat kerja mereka dan kemudahan lain.

Rancangan untuk membangunkan lebih banyak rumah di CBD dan kawasan Marina Bay adalah sebahagian daripada langkah URA untuk menyuntik tenaga ke kawasan itu di luar waktu pejabat.

Kawasan tengah bandar itu juga meliputi kelompok-kelompok runcit dan hiburan di Orchard dan Sungai Singapura serta kawasan keseniaan, budaya dan warisan di Daerah Sivik, Bras Basah dan Bugis.

LEBIH BANYAK RUMAH DI ESTET MATANG

Selain kawasan bandar, lebih banyak perumahan dan kemudahan juga akan dibangunkan di daerah Bayshore yang baru di kawasan Upper East Coast Road, serta bandar-bandar matang seperti Dakota Crescent dan Farrer Park.

Apabila siap dibangunkan kelak, daerah Bayshore akan menempatkan dua stesen MRT - iaitu stesen Bayshore dan Bedok South.

URA menyatakan bahawa memandang ke hadapan, kawasan kediaman pada masa hadapan akan terus mampan, menghijau, berpusatkan masyarakat dan mengurangkan penggunaan kereta.

Kemudahan-kemudahan juga akan ditempatkan di pusat-pusat sehenti, sama seperti Hab Tampines Kita (OTH) bagi memudahkan para penduduk untuk membeli-belah, menjamu selera dan melakukan kegiatan bagi mengeratkan hubungan keluarga di bawah satu bumbung.

Lebih banyak perumahan awam juga dirancang di Dakota Crescent dengan mengambil kira enam blok yang dikekalkan di bawah Amanah Peningkatan Singapura. Taman permainan ikonik Dove juga dikekalkan kerana nilai warisannya.

MEMBAWA PEKERJAAN LEBIH DEKAT KEPADA PENDUDUK MENERUSI 3 "PINTU GERBANG"

Selain perumahan, tiga pintu gerbang ekonomi utama di bahagian barat, utara dan timur Singapura sedang dirancang dengan setiap satu berteraskan beberapa sektor pertumbuhan utama. Ketiga-tiga pintu gerbang itu akan dijadikan sebagai hab utama bagi pengambilan pekerja.

Pintu gerbang di bahagian timur Singapura terletak di daerah Changi, bagi memanfaatkan perluasan dan ketersambungan Lapangan Terbang Changi. Ia turut meliputi Taman Penerbangan Changi dan Zon Perindustrian Changi Timur yang bakal dibangunkan, dan akan memenuhi keperluan perniagaan berkaitan penerbangan.

Pintu gerbang di bahagian utara pula meliputi kawasan dari Woodlands hingga Punggol. Ia akan memberi tumpuan kepada sektor agroteknologi dan makanan, serta teknologi digital dan keselamatan siber.

Sebuah hab daerah baru di Woodlands dijangka menjadi hab ekonomi terbesar di bahagian utara Singapura bagi tempoh 15 tahun akan datang, dengan ruang-ruang disediakan bagi perniagaan, perindustrian, kajian dan pengembangan (R&D) serta pembelajaran dan inovasi.

Di bahagian timur Singapura pula iaitu di Daerah Digital Punggol, sebuah taman perniagaan bersepadu dan universiti Institut Teknologi Singapura (SIT) akan membantu memupuk kerjasama lebih rapat antara industri dengan ahli akamedik.

Sementara itu, Daerah Tasik Jurong akan menjadi daerah perniagaan terbesar di luar CBD manakala Daerah Inovasi Jurong pula akan menjadi daerah perindustrian generasi akan datang, dengan meliputi Universiti Teknologi Nanyang (NTU), CleanTech Park, Bulim, Bahar dan Tengah.

Pelan Induk URA disemak setiap lima tahun. Ia melakarkan rancangan pemerintah bagi penggunaan tanah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita