Lebih banyak persembahan seni bakal disajikan di kawasan kejiranan mulai Ogos

Gambar: Majlis Seni Kebangsaan (NAC)
Inisiatif selama dua tahun itu, yang dinamakan ArtsEverywhere@CDC, dilancarkan bersama pada Sabtu (27 Jul) oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Persatuan Rakyat (PA) dan lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Dengan membawa seni ke kawasan kejiranan, pengalaman sedemikian akan "lebih mudah diakses bagi para penduduk dari pelbagai usia untuk menikmati dan mendekati seni bersama-sama, dalam pekarangan kediaman mereka," jelas pihak berkuasa.
Terdapat persembahan berskala besar yang diadakan setiap bulan di dua tempat utama di setiap daerah, termasuk kegiatan seni dan budaya sampingan, tambahnya. Ia menyasarkan untuk menarik lebih 50,000 penduduk.
Berucap di pelancaran inisiatif tersebut, yang dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong dan rakan-rakan datuk bandar, Datuk Bandar Daerah Tenggara Fahmi Aliman berkata ia selaras dengan Pelan Seni SG Kita untuk "membina masyarakat yang berhubung".
"Kami berdedikasi untuk membawa pelbagai pengalaman seni ke kawasan kejiranan kita. Setiap bulan, orang ramai boleh menantikan persembahan seni ... dan mewujudkan penghargaan yang lebih besar terhadap seni melalui pengalaman yang dikongsi ini."
Dalam catatan Facebooknya, Encik Tong mengatakan bahawa "kandungan seni yang bermutu", daripada tarian dan muzik kepada persembahan teater, dapat merancakkan "semangat kampung" di Singapura.
Pihak berkuasa menambah ia akan menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat seni tempatan dengan membantu mereka berkembang dan mendekati lebih ramai penonton.
Antara artis yang bakal membuat persembahan dari Ogos hingga Oktober sebagai sebahagian daripada inisiatif ini termasuk NADI Singapura, sebuah kumpulan yang menggabungkan alat muzik tradisional Melayu dengan tarian dan nyanyian, Brahmastra, sebuah kumpulan gabungan India yang diketuai oleh pemain seruling klasik Niranjan Pandian, Ding Yi Music Company, sebuah kumpulan Cina yang akan memainkan lagu-lagu klasik daripada mendiang Teresa Teng hingga ABBA, dan Philharmonic Wind Orchestra yang terkenal.
Acara lain yang boleh dijangkakan termasuk bengkel alat muzik dan gendang, bengkel eko dan origami, dan pelbagai pemasangan seni.
Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh diperolehi di laman ArtsEverywhere@CDC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.