Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak perkahwinan, perceraian di S'pura tahun lalu dengan pelonggaran langkah COVID-19

Lebih banyak pasangan berkahwin pada 2021 dengan pelonggaran langkah-langkah COVID-19, berbanding jumlah yang berkurangan pada tahun sebelumnya ketika rancangan untuk mendirikan rumah tangga terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak perkahwinan, perceraian di S'pura tahun lalu dengan pelonggaran langkah COVID-19

(Gambar fail: iStock/Luke Chan)

SINGAPURA: Lebih banyak pasangan berkahwin pada 2021 dengan pelonggaran langkah-langkah COVID-19, berbanding jumlah yang berkurangan pada tahun sebelumnya ketika rancangan untuk mendirikan rumah tangga terjejas.

Jumlah pasangan yang mahu bercerai juga meningkat, dengan prosiding perceraian disambung semula selepas ditangguhkan sebelum ini, menurut Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) pada Rabu (6 Jul).

PERKAHWINAN

Sebanyak 28,329 perkahwinan didaftarkan tahun lalu, kenaikan 25.1 peratus berbanding 22,651 perkahwinan pada 2020 semasa "pemutus rantaian jangkitan" COVID-19 dan sekatan-sekatan lain dikuatkuasakan ketika itu.

Berbanding sedekad lalu, kadar perkahwinan secara uamnya bagi lelaki dan wanita meningkat.

Sebanyak 45.3 perkahwinan bagi setiap 1,000 lelaki yang belum berkahwin berusia 15 hingga 49 tahun pada tahun 2021, naik dari 43.5 pada 2011.

Pada masa yang sama, terdapat 44.2 perkahwinan bagi setiap 1,000 wanita yang belum berkahwin berusia antara 15 hingga 49 tahun pada 2021, naik dari 39.2 sedekad lalu.

Usia median bagi perkahwinan pertama juga meningkat pada 2021 berbanding 2011 - dari 30.1 tahun kepada 30.5 tahun bagi pengantin lelaki dan dari 28.0 tahun kepada 29.1 tahun bagi pengantin perempuan.

Menurut DOS, jurang usia antara pasangan dalam perkahwinan pertama sudah mengecil.

Tahun lalu, 43.7 peratus pasangan dalam perkahwinan pertama mereka sama ada sebaya atau jarak setahun, iaitu kenaikan dari 35.9 peratus pada tahun 2011.

Sepanjang tempoh yang sama, jumlah pengantin lelaki yang sekurang-kurangnya dua tahun lebih tua turun dari 54.5 peratus kepada 46.9 peratus pada 2021. Jumlah pengantin perempuan yang sekurang-kurangnya dua tahun lebih dewasa adalah 9.4 peratus pada 2021, serupa dengan 2011.

PERCERAIAN

Terdapat 7,890 yang membatalkan perkahwinan mereka pada 2021, kenaikan sebanyak 13.4 peratus dari 6,959 pada 2020.

"Kenaikan itu disebabkan oleh lebih banyak permohonan cerai yang difailkan pada 2021, dan penyambungan semula prosiding cerai yang sebelum ini ditangguhkan, menyusuli pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat," menurut jabatan itu.

Berbanding 10 tahun lalu, kadar perceraian secara amnya, bagaimanapun adalah lebih rendah.

Terdapat 7.2 lelaki yang bercerai bagi setiap 1,000 lelaki yang berkahwin berusia 20 tahun ke atas pada 2021, turun dari 7.6 pada 2011. Sehubungan itu, terdapat 6.9 wanita yang bercerai bagi setiap 1,000 wanita yang berkahwin berusia 20 tahun ke atas pada 2021, turun dari 7.2 pada 2011.

Usia median ketika bercerai meningkat bagi tempoh yang sama. Bagi lelaki yang bercerai, ia naik dari 41.3 tahun kepada 43.9 tahun manakala bagi wanita yang bercerai, ia meningkat dari 37.7 tahun kepada 40 tahun.

Bagi pasangan yang bercerai, tempoh median bagi perkahwinan pada 2021 adalah 10.7 tahun, lebih lama daripada 10.5 tahun pada 2011.

Pasangan yang masih berkahwin selama lima hingga sembilan tahun sebelum bercerai terus membentuk bahagian paling besar, pada 29.8 peratus daripada semua perceraian pada 2021.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan