Skip to main content

Singapura

Lebih banyak penerbit sertai Pesta Buku Melayu SG 2024, jumlah reruai ditambah

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS2024) kembali lebih meriah tahun ini dengan seganda lebih banyak penerbit tempatan menyertainya.

Untuk itu, sebanyak 12 reruai disediakan untuk menjual buku-buku Melayu dan dwibahasa.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak acara tersebut mula diadakan pada 2019.

Antara yang terlibat dalam PBMS2024 ialah Pustaka Nasional yang sudah berkecimpung dalam bidang penerbitan buku-buku sastera selama lebih 60 tahun.

"Saya rasa masyarakat Melayu harus pentingkan bahasa Melayu dan salah satu caranya ialah untuk membaca buku-buku bahasa Melayu.

"Kita harus galakkan masyarakat Melayu untuk sokong penulis-penulis bahan bacaan buku Melayu dan dengan itu mereka akan membantu dalam segi kefasihan, pengetahuan dan juga inspirasi untuk masyarakat Melayu di Singapura," kata Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Ahmad Semait.

a

Edisi keenam acara anjuran Persatuan Kemuning itu berlangsung mulai 16 hingga 18 Ogos ini di Wisma Geylang Serai.

Dalam ucapannya di majlis pelancaran PBMS2024, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman menekankan peri pentingnya untuk menyemai sifat dan budaya membaca buku-buku Melayu dalam kalangan masyarakat.

"Kita tahu cabaran-cabaran yang kita hadapi hari ini di mana ramai di antara anak-anak kecil kita kurang berupaya bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih yang kita inginkan.

"Jadi dengan Pesta Buku seperti hari ini, kita menunjukkan bahawa pertama, terdapat banyak hasil hasil tempatan yang menunjukkan bukan sahaja penggunaan bahasa yang diterbitkan tapi juga cerita-cerita yang berkaitan langsung dengan kehidupan budaya dan juga negara kita," kata Dr Maliki yang juga merupakan Menteri Kedua Pendidikan.

a

TEMA 'MENGENANG YANG DAHULU, MENDUKUNG YANG BAHARU'

Dengan tema ‘Mengenang Yang Dahulu, Mendukung Yang Baharu’, pesta buku itu juga bertujuan untuk meraikan kerencaman dalam pengkaryaan dan penerbitan buku bahasa Melayu untuk pembaca dari segenap lapisan masyarakat.

Pada masa yang sama, mendakap pembaharuan dan wajah-wajah baharu dalam landskap sastera tempatan.

"Tema kali ini menunjukkan bahawa kita perlu menghargai para penulis kita, para sasterawan kita yang telah banyak menulis tentang kehidupan masyarakat Melayu kita dengan menggunakan bahasa yang begitu penting sekali. Kita juga menghargai sasterawan yang telah meninggalkan kita seperti Cikgu Ariff Ahmad, Cikgu Masuri SN dan juga Suratman markasan.

"Tema ini juga menunjukkan bahawa ada perlunya pelapis untuk terus memajukan penggunaan bahasa dalam masyarakat kita. Saya juga gembira melihat banyak yang telah dihasilkan oleh para penerbit tempatan. Saya rasa tema menunjukkan bahawa kita harus menghargai sejarah dan silam dan juga menggunakannya sebagai satu tapak pendorong untuk masa depan," kata Dr Maliki.

Inisiatif tahunan itu juga diharap dapat menggalak lebih ramai peserta untuk membaca, bertutur dan menghayati nilai dan kesantunan Melayu.

a

Di samping itu, pihak penganjur juga ingin meneruskan misi untuk menyokong ekosistem bagi penerbit-penulis bahan bacaan Melayu Singapura.

Ini lebih-lebih lagi dengan kurangnya penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat.

Tujuan tersebut dikukuhkan lagi dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

PBMS2024 TAMPILKAN PAMERAN MINI, KEGIATAN MENARIK

Selain membeli bahan bacaan, pelbagai acara percuma dan berbayar turut disediakan untuk kanak-kanak dan seisi keluarga seperti sesi bercerita bersama Penyampai BERITA dan Penerbit Kanan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Nursha Ismail yang juga merupakan seorang Duta Bahasa.

Ada juga sesi bercerita buku dwibahasa seperti yang dilakukan penulis buku dan pengarah 'Poppet’s World', Norlin Samat.

Beliau teruja dapat terlibat sama dalam acara sesi bercerita buku dwibahasa, 'Bersedia Untuk Ke Sekolah'.

"Kanak-kanak kalau kita hendak mereka bertutur dalam satu bahasa itu kita mestilah membuat pembelajaran bahasa itu seronok dan menyeronokkan. Jadi sebab itulah kami gunakan lagu jadi bernyanyi, kami menari. Tidaklah selalu hanya membaca ataupun mengajar secara formal sahaja," kata Cik Norlin.

a
Acara itu juga peluang yang baik bagi ibu bapa dan para pendidik untuk mendapatkan bahan rujukan dan sumber yang disediakan dalam pelbagai format.

Para pengunjung juga berpeluang untuk menyertai bengkel-bengkel, perkongsian sastera dan mengunjungi empat pameran mini.

Antaranya adalah pameran karya-karya budayawan tersohor, Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad.

Pelbagai bengkel turut disediakan termasuk bengkel membuat komik dan bengkel penulisan puisi.

Sepanjang tiga hari, sebanyak 11 buku fizikal dan sebuah koleksi buku digital dalam bahasa Melayu akan dilancarkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita