Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak pendingin air tersedia di tempat awam, namun ramai elak dek soal kebersihan

Topik mengenai pendingin air dibangkitkan di Parlimen pada 7 Februari oleh Anggota Parlimen (AP) Leon Perera (WP-Aljunied). Beliau mengajukan soalan tentang sama ada Kementerian Kesihatan (MOH) akan menjadikannya wajib untuk memasang pendingin air di kawasan-kawasan yang dikunjungi ramai orang supaya air minum mudah didapatkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak pendingin air tersedia di tempat awam, namun ramai elak dek soal kebersihan

Pendingin air yang disediakan di Pusat Pertukaran Bas Eunos. (Gambar: Abigail Ng/CNA)

SINGAPURA: Lebih banyak pendingin air kini disediakan di merata Singapura, namun ramai elak daripada menggunakannya dek prihatin berhubung soal kebersihan serta penyenggaraannya. Itulah yang dikongsikan orang ramai ketika diminta diminta pandangan mereka oleh Mediacorp di pusat penjaja serta pusat pertukaran bas.

Topik mengenai pendingin air dibangkitkan di Parlimen pada 7 Februari oleh Anggota Parlimen (AP) Leon Perera (WP-Aljunied). Beliau mengajukan soalan tentang sama ada Kementerian Kesihatan (MOH) akan menjadikannya wajib untuk memasang pendingin air di kawasan-kawasan yang dikunjungi ramai orang supaya air minum mudah didapatkan.

MOH menyatakan pembahagi air sudahpun dipasang di semua pusat penjaja dan juga disediakan di taman serta pusat pertukaran bas. Kementerian itu juga menggalak para pemilik premis lain untuk memasang alat tersebut.

Bagaimanapun di tiga pusat penjaja yang dikunjungi Mediacorp bulan ini, ramai pengunjung menyatakan mereka tidak tahu pembahagi air disediakan di semua pusat penjaja. Para pengunjung menambah mereka biasanya akan membawa air sendiri apabila menjamu di luar.

Dalam kalangan mereka yang sedia maklum tentang pembahagi air yang disediakan itu, mereka berasa geli apabila melihat orang ramai meludah atau mencuci tangan di kemudahan tersebut.

Perbuatan itu masih disaksikan berlaku walaupun sudah dinyatakan secara terang-terangan, di Pasar Serangoon Garden misalnya, bahawa pembahagi air itu hanya untuk digunakan bagi minum air dan mencuci tangan atau membilas botol tidak dibenarkan.

Pekerja penghantaran makanan Eric Yap, 57 tahun, berkata beliau akan membeli air atau membawa botol air sendiri.

“Orang ramai mencuci muka mereka di pendingin air. Ia tidak bersih. Sekalipun jika saya perlu mengisi botol saya, saya tidak akan menggunakannya," ujarnya.

Mediacorp juga mengunjungi dua pusat pertukaran bas di mana orang ramai mengutarakan keprihatinan serupa tentang penggunaan pendingan air awam.

Cik Shirley Hay, seorang pengawal keselamatan yang bekerja di pusat pertukaran bas Eunos, berkata beliau melihat ramai orang menggunakan pendingin air di sana tetapi secara peribadi, beliau tidak berbuat demikian.

Beliau malah pernah melihat sesetengah orang kumur-kumur mulut di tempat pendingin air itu dan berpendapat bahawa ia tidak bersih.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SBS Transit, yang mengendalikan Pusat Pertukaran Bas Eunos, menyatakan pendingin air dibersihkan pada tiap-tiap hari dan kerap disenggara.

Buat masa ini, SBS Transit mempunyai pendingin air yang dipasang di 10 terminal dan pusat pertukaran bas.

“Kami merancang untuk memasang secara bertahap-tahap lebih banyak pendingin air di terminal dan pusat pertukaran bas kami sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyediakan khidmat lebih baik kepada para penumpang kami, terutama sekali dalam keadaan cuaca panas," kata Cik Grace Wu, Naib Presiden Pengalaman dan Perhubungan Penumpang syarikat itu.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), piawai mutu air Singapura berdasarkan garis panduan antarabangsa dan penyedia air minum mesti memastikan air "tidak tercemar serta selamat diminum".

Ia juga menyatakan mereka yang menyediakan air minum berpaip mesti mematuhi garis panduan agensi air negara PUB serta saranan-saranan penyenggaraan oleh pembekal pembahagi air tersebut.

Apabila Mediacorp mengunjungi pusat penjaja dan pusat pertukaran bas, kebanyakan pendingin air yang disediakan kelihatan bersih meskipun terdapat tompok-tompok air.

Sebutir nasi ditemui di pembahagi air d salah satu pusat penjaja yang dikunjungi itu, yang terletak bersebelahan dengan tempat memulangkan dulang.

PERCUMA DAN MUDAH

Sungguhpun demikian, sesetengah orang memberitahu Mediacorp mereka tetap menggunakan pembahagi air itu dan menikmati sumber air minum yang percuma serta mudah didapatkan.

Suri rumah Chew Ailin, yang berada di Pasar Serangoon Garden pada 16 Februari, berkata keluarganya menggunakan pendingin air awam dan beliau tidak bimbang mengenai tahap kebersihannya kerana sudah terbiasa minum air paip.

Kapten bas, Tiwar, berkata beliau menggunakan pendingin air di pusat pertukaran bas pada setiap hari.

"Singapura sangat selamat dan amat bersih," katanya apabila ditanya jika beliau prihatin akan tahap kebersihan pendingin air yang disediakan di tempat-tempat awam.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan