Lebih banyak pemaju hartanah SG bina bangunan lebih hijau sedang kos tenaga meningkat
The Canopy menjadi tarikan utama pembangunan Geneo di Singapore Science Park. Ia direka untuk menggalakkan pengudaraan semula jadi sambil mengurangkan penggunaan tenaga. (Gambar: CNA)
- Pemaju hartanah di Singapura seperti CapitaLand Development dan JTC Corporation semakin menekankan kemampanan dalam pembangunan mereka.
- Usaha ini termasuk penggunaan reka bentuk hijau, sistem pendinginan daerah, dan strategi penyejukan pasif di kawasan seperti Taman Sains Singapura dan Daerah Digital Punggol.
- Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan kos operasi, penggunaan tenaga, serta memenuhi permintaan terhadap bangunan mesra alam dan sasaran Pelan Induk Bangunan Hijau menjelang 2030.
- Pemaju swasta kini melangkaui keperluan minimum kemampanan, menjadikan reka bentuk hijau sebagai kelebihan daya saing dalam industri hartanah.
Menurut arkitek, pemaju swasta semakin giat mengejar piawaian kemampanan yang lebih tinggi bagi mengurangkan kos operasi serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman, pejabat dan ruang komersial yang mesra alam.
Perkembangan itu berlaku sedang Singapura meneruskan pelaksanaan Pelan Induk Bangunan Hijau, yang bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga dalam persekitaran binaan negara.
Di bawah pelan tersebut, 80 peratus bangunan di Singapura dijangka memenuhi piawaian yang lebih tinggi dari segi kecekapan tenaga dan kemampanan alam sekitar menjelang 2030.
KEMAMPANAN DALAM REKA BENTUK
Di Taman Sains Singapura, pembangunan Geneo oleh CapitaLand Development menyepadukan elemen kemampanan ke dalam reka bentuk bangunan dan kawasan sekitarnya.
Sebagai fasa pertama program pembaharuan taman sains tersebut, Geneo merangkumi lima bangunan yang meliputi kira-kira 180,000 meter persegi.
CapitaLand Development menyatakan pihaknya tidak sekadar membina bangunan secara berasingan, sebaliknya mewujudkan sebuah ekosistem yang saling berhubung bagi membolehkan perniagaan, pekerja dan pengunjung berinteraksi dalam satu kawasan yang sama.
Salah satu ciri utama pembangunan itu ialah The Canopy, iaitu ruang masyarakat setinggi 27 meter yang dibina menggunakan kayu kejuruteraan berstruktur.
Struktur rendah karbon itu mengurangkan pelepasan karbon berkaitan pembinaan sehingga 80 peratus berbanding pembinaan menggunakan keluli konvensional dan sehingga 60 peratus berbanding konkrit bertetulang (reinforced concrete).
Ruang tersebut menggunakan strategi penyejukan pasif seperti teduhan, orientasi bangunan yang sesuai dan kipas berisipadu tinggi (high volume) berkelajuan rendah, tanpa terlalu bergantung kepada sistem hawa dingin konvensional.
PENDINGINAN UNTUK SELURUH DAERAH
Di Daerah Digital Punggol pula, usaha kemampanan diperluaskan melangkaui bangunan individu kepada infrastruktur yang dikongsi bersama.
JTC Corporation, yang menguruskan kawasan tersebut, memperkenalkan sistem pendinginan daerah (DCS) yang membekalkan air sejuk ke seluruh kawasan, termasuk Stesen MRT Punggol Coast, ruang runcit, taman perniagaan dan kampus Institut Teknologi Singapura (SIT).
Daripada setiap bangunan mengendalikan sistem pendinginannya sendiri, air sejuk dihasilkan secara berpusat dan diagihkan ke seluruh kawasan.
Sistem itu mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 30 peratus, selain membebaskan ruang berharga dalam pembangunan tersebut.
Selain DCS, reka bentuk kawasan itu turut menggabungkan langkah penyejukan pasif.
Sebelum pembinaan dimulakan, perancang menjalankan simulasi bagi mengkaji aliran angin dan sinaran matahari untuk menentukan kedudukan bangunan yang dapat memaksimumkan pengudaraan semula jadi.
Lebih 20,000 sensor turut dipasang di seluruh kawasan bagi memantau suhu persekitaran, kualiti udara dan penggunaan tenaga. Data yang dikumpulkan dianalisis untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga.
KEMAMPANAN SEBAGAI KEPUTUSAN PERNIAGAAN
Pemain industri menyatakan kemampanan kini semakin dilihat sebagai satu keputusan perniagaan apabila pemaju berusaha mengurangkan penggunaan tenaga dan kos operasi.
Sesetengah pemaju turut mendapatkan pensijilan Tenaga Sangat Rendah (SLE), yang mengiktiraf bangunan yang direka untuk menggunakan tenaga jauh lebih rendah berbanding pembangunan konvensional.
Jika sebelum ini piawaian bangunan hijau dilihat sekadar keperluan pematuhan, kini ia dianggap sebagai cara untuk menghasilkan pembangunan yang lebih menarik kepada penghuni dan pengguna.
Walaupun projek pemerintah diwajibkan memenuhi piawaian kemampanan yang ketat, pemaju swasta kini memilih untuk melangkaui keperluan minimum yang ditetapkan.
Dengan harga tenaga yang terus menjadi kebimbangan dan jangkaan terhadap kemampanan yang semakin meningkat, arkitek berkata reka bentuk hijau kini dilihat sebagai satu kelebihan daya saing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.