Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak peluang untuk kaum hawa ceburi bidang STEM

Apabila bapa Cik Nooraishah Rahmat meninggal dunia akibat barah dan penyakit buah pinggang, beliau terpaksa mengambil alih sebagai ketua keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apabila bapa Cik Nooraishah Rahmat meninggal dunia akibat barah dan penyakit buah pinggang, beliau terpaksa mengambil alih sebagai ketua keluarga.

Ketika itu, beliau berusia 18 tahun dan masih lagi menuntut di Politeknik Nanyang dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Selepas menamatkan pengajiannya di NYP, anak sulung tiga beradik itu mula bekerja sepenuh masa.

Namun hasratnya untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang STEM di peringkat ijazah masih membara dalam dirinya.

Justeru, apabila majikannya, GE Aerospace, menawarkan peluang untuk beliau menyambung pelajarannya, Cik Nooraishah tidak teragak-agak untuk merebut peluang tersebut.

"Sebenarnya, beberapa tahun lalu memang saya hendak teruskan pelajaran. Cuma ketika itu, saya tidak ada duit. Jadi saya dapat tahu daripada GE selepas saya sudah bekerja di GE. Mereka memang ada skim Program Bantuan Pendidikan (EAP) khas ini untuk kakitangan macam kita yang bersemangat hendak mempertingkatkan ilmu. Jadi dari situ, saya memohon kepada dan paling bagus GE memang menyokong orang-orang yang memang mahu belajar," kongsi Cik Nooraishah kepada wartawan Syawal Yusoff.

Bertugas sebagai jurumesin atau 'machinist', antara tugasan seharian Cik Nooraishah adalah memeriksa bahagian-bahagian enjin pesawat yang dihasilkan.

Dengan lebih enam tahun pengalaman di syarikat tersebut, beliau berasa lebih terdorong kerana akur akan prospek kerjaya dalam sektor itu pada masa hadapan.

"Dalam dunia sekarang yang banyak sangat berubah, meningkatkan ilmu dan kemahiran adalah satu contoh yang penting untuk kekal relevan. Saya bertekad untuk terus komited dalam pembelajaran sepanjang masa untuk kekal relevan dan dalam industri yang pesat ini," tambahnya.

Di bawah pogram EAP syarikat itu, GE Aerospace menampung sebahagian kos pengajian termasuk yuran tuisyen para kakitangannya untuk belajar secara sambilan.

Ini daripada peringkat diploma hinggalah ke tahap possiswazah.

Ia juga merupakan usaha untuk melengkapi para kakitangan dengan kemahiran-kemahiran relevan yang diperlukan dalam sektor aeroangkasa.

"Program sokongan pendidikan kami menyumbang kepada usaha kepelbagaian dan inklusif yang lebih luas dengan menawarkan latihan dan sumber yang memupuk pemahaman, empati dan kesedaran tentang latar belakang dan perspektif yang berbeza. Program-program ini membantu pekerja kami membangunkan kecekapan budaya, meningkatkan kemahiran komunikasi mereka, dan mengenali kecenderungan tidak sedarkan diri, anda tahu, dengan itu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif di mana semua orang berasa dihargai dan dihormati," kata Pengurus Sumber Manusia GE Aerospace, Stacie Leong.

LEBIH RAMAI PELAJAR WANITA MINAT PADA PROGRAM STEM

Buat masa ini, Cik Nooraishah merupakan satu-satunya kakitangan syarikat GE Aersopace yang memanfaatkan skim tersebut.

Dengan sekitaran yang didominasi oleh kaum lelaki, syarikat itu berharap ia dapat mendorong lebih ramai kakitangan wanita untuk mengambil peluang tersebut.

"Aishah ialah pekerja wanita pertama GE Aerospace Singapura yang mengambil kesempatan daripada skim itu sejak pandemik dan dia menjadi contoh yang memberi inspirasi kepada kita semua dan kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pekerja wanita turut serta dalam skim ini dan melanjutkan pelajaran dan pembangunan profesional mereka," tambah Cik Leong.

Cik Nooraishah mengikuti program ijazah separuh masa dalam Kejuruteraan Elektromekanikal di Universiti Coventry di bawah Akademi PSB.

Menurut ketua universiti, jumlah penuntut wanita yang berminat untuk lanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan STEM juga semakin meningkat.

"Dengan lebih banyak kesedaran tentang kerencaman dalam kejuruteraan, kita juga akan melihat peningkatan dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai wanita muda untuk mengikuti program berkaitan STEM dan juga dengan banyak contoh pelajar yang berjaya yang kini menyumbang kepada industri mereka.

"Prospek untuk kejuruteraan dalam tempoh lima tahun akan datang adalah sangat menjanjikan, ini juga diberikan oleh kemajuan dalam teknologi, permintaan untuk penyelesaian yang mampan, ketersambungan global. Jadi ini akan memberi peluang yang luas kepada jurutera merentasi pelbagai industri untuk dapat cemerlang dalam landskap yang sedang berkembang ini," kata Ketua di Universiti Coventry, Dr Calvin Tan.

Meskipun industri STEM secara am lebih didominasikan oleh kaum lelaki, Dr Tan memberi jaminan, pihaknya sentiasa berusaha untuk mengubah persepsi sedemikian.

"Menyediakan persekitaran yang menyokong pelajar perempuan kami, melalui program bimbingan, bengkel kami, pendekatan pembelajaran praktikal kami. Ini akan memberi galakan dan pengetahuan untuk membantu pelajar perempuan kami dalam STEM yang telah lebih berjaya dalam industri," ujarnya.

Ini juga didorong dengan semakin banyak syarikat yang tampil untuk menyokong pendidikan para kakitangan mereka.

"Kita melihat ramai majikan yang semakin menyokong dan ia juga menyelidiki bersama-sama dengan fleksibiliti program yang kami tawarkan dan bagaimana ia boleh membolehkan pekerja mereka dapat menampung beban kerja semasa mereka, dan pada masa yang sama, menghadapi pengajian," jelas Dr Tan.

Buat masa ini, hampir separuh daripada program-program yang ditawarkan Universiti Coventry berkaitan dengan STEM iaitu sebanyak 18 program.

UWS GALAK BELIA WANITA CEBURI BIDANG STEM

Dalam satu kajian yang dijalankan United Women Singapore (UWS), 45 peratus wanita mendapatkan ijazah dalam bidang berkaitan STEM dan 58 peratus daripada mereka menceburi bidang tersebut dalam kerjaya mereka.

Untuk mendorong lebih ramai kaum wanita menceburi bidang STEM, pelbagai usaha juga giat dilakukan UWS.

Program STEM First Fintech misalnya disasarkan untuk mendedahkan belia wanita semuda 17 tahun kepada aspek-aspek teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), 'blockchain', keselamatan siber dan analisa data.

Sejak 2022, lebih 125 pelajar politeknik sudahpun menyertai program itu.

Antara anak muda yang lebih berminat mendalami STEM selepas menghadiri program tersebut ialah Aishah Syamsul Bahri, 19 tahun.

Lulusan diploma dalam Perakaunan dan Kewangan itu lebih berminat untuk mendalami khususnya teknologi kewangan atau 'fintech'.

"Saya tengok industri ini kerana teknologi lebih meluas dalam masyarakat. Jadi tentang apa-apa bidang semua, teknologi akan memberi kesan kepada bidang-bidang apa yang anda berada. Jadi saya rasa adalah penting untuk saya fahami bagaimana teknologi berfungsi khususnya bagaimana ia berkaitan dengan bidang saya. Jadi pada masa hadapan dalam kerjaya saya, saya boleh tingkatkan kemahiran dan juga berada dalam pasaran lebih kompetitif hanya kerana saya tahu kewangan dan teknologi," kata Aishah.

Selain membina keyakinan, program tersebut juga telah memberinya peluang untuk meluaskan lagi rangkaian dengan golongan wanita yang bekerjaya dalam bidang STEM.

Sebagai anak muda, Aishah menghargai peluang yang diberikan sebagai sebahagian daripada persiapannya untuk masa hadapan.

"Dunia sentiasa berkembang. Untuk benar-benar menonjol, anda tidak boleh hanya mempunyai kepakaran tertentu sekarang. Macam oh saya belajar kewangan sahaja. Kerana sekarang kewangan seperti benar-benar bersilang dengan begitu banyak perkara yang berbeza dan teknologi itu sendiri dia meluas. Ia adalah bidang yang sangat besar. Kerana anda mempunyai AI, anda mempunyai 'blockchain' dan anda perlu mengetahui lebih banyak lagi. Tidak perlu pergi secara mendalam tetapi hanya asas-asas cara ia berfungsi. Ia benar-benar akan membantu anda melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza," ujarnya.

Dengan kemahiran yang diraih, Aishah berharap dapat memanfaatkan ilmu dalam bidang tersebut untuk bantu perniagaan keluarganya dalam industri rekaan dalaman.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan