Skip to main content

Singapura

Lebih banyak peluang, pilihan bagi penduduk miliki flat sendiri: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jan 2025 07:35PM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 09:46PM
SINGAPURA: Para penduduk kini ada peluang lebih baik serta pilihan yang lebih pelbagai untuk memiliki flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di merata Singapura.

Ini dengan lagi 19,600 flat BTO yang akan dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tahun ini.
Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim juga berkongsi dalam wawancara wartawan Nurhelmy Hakim bahawa lagi 5,500 unit Jualan Baki Flat (SBF) akan ditawarkan tahun ini.

Ini bermakna pemerintah berjaya mencapai sasaran untuk membina 100,000 flat dari tahun 2021 hingga 2025.

Dr Faishal berkata: "Ini adalah satu aspek di mana kita faham masyarakat kita warga Singapura mahu membeli flat dan mereka rasa prihatin dan semenjak kita boleh meneruskan usaha untuk melancarkan dan juga untuk membina flat. Kami telah membuatnya sebaik mungkin dan juga bekerja keras."

"Sementara kita membangunkan flat-flat, kita selalu memantau apakah permintaan dan juga profil mereka yang mahu membeli flat sedia ada di Singapura. Justeru, kita dapat melihat bagaimana selagi kita membangunkan flat, ada golongan yang memerlukan ataupun mempunyai permintaan. Kita pun mahu membangunkan satu landskap yang seimbang supaya kita boleh memenuhi keperluan setiap segmen masyarakat," lata Dr Faishal lagi.

Dalam kalangan lebih 19,000 flat BTO yang akan dilancarkan pada tahun ini, hampir 20 peratus daripadanya iaitu 3,800 unit merupakan flat-flat dengan masa menunggu lebih singkat (SWT).

Jumlah tersebut juga peningkatan ketara berbanding 2,800 flat SWT yang ditawarkan tahun lalu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan HDB, ia juga menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 2,000 hingga 3,000 flat SWT akan dilancarkan setiap tahun.

Dr Faishal berkata: "Kita tahu yang ada di kalangan mereka yang nak membeli rumah, ada dalam kalangan mereka yang mungkin mahu memilikinya dengan lebih awal. Kita boleh memberikan pilihan kepada masyarakat kita dan warga kita untuk memiliki flat mereka. Mungkin ada yang boleh tunggu lebih lama yang ada yang mahu lebih cepat. Kita memberi pilihan kepada mereka."

Pelancaran pertama BTO tahun ini adalah pada bulan Februari.

HDB akan menawarkan kira-kira 5,000 flat BTO di Kallang/Whampoa, Queenstown, Woodlands dan Yishun.

Sekitar 5,500 flat SBF daripada pelancaran sebelum ini juga akan ditawarkan untuk pelancaran BTO pada bulan depan.

Menurut Dr Faishal, jumlah itu adalah yang tertinggi sejak skim SBF dimulakan.

"Pada kali ini kita akan melancarkan baki flat SBF yang tertinggi semenjak SBF dilancarkan. Jadi masyarakat kita boleh menjangkakan banyak pilihan yang di sediakan dari segi flat BTO dan juga baki SBF ni memberikan peluang bagi mereka untuk memilih flat di merata Singapura," ujar Dr Faishal.

RANGKA KERJA KLASIFIKASI STANDARD, PLUS, PRIME

Pelancaran projek BTO pada Februari ini merupakan yang kedua dalam rangka kerja klasifikasi baharu yang ditetapkan HDB di mana projek-projek BTO diklasifikasikan sebagai Standard, Plus atau Prime, dengan lebih banyak pilihan lokasi disediakan.

Berkenaan rangka kerja itu, Dr Faishal menerangkan bahawa masyarakat sejauh ini, menyambut baik rangka kerja tersebut meskipun perlu ada perubahan dalam pemikiran masyarakat.

Dr Faishal berkata: "Kami faham bahawa rangka kerja baharu ini memerlukan perubahan yang jelas lain daripada dahulu. Dahulu ada estet matang dan bukan matang. Jadi ini dilakukan kerana kita melihat bagaimana landskap fizikal dari segi pembangunan dan juga dari segi tanah yang sedia ada di estet-estet perumahan baru dan yang lama."

"Kehidupan kita sebagai masyarakat majmuk, masyarakat yang berbilang bangsa dan juga bagaimana kita mahukan pemilikan rumah sebagai satu dasar di mana kita memberi peluang kepada semua peringkat rakyat. Tidak kira bangsa, agama ataupun latar belakang yang bagaimana kita nak melihatnya sebagai satu sistem yang adil," tambah beliau lagi.

Dr Faishal juga mengatakan bahawa rangka kerja klasifikasi Standard, Plus, Prime juga dapat membantu untuk mewujudkan campuran sosial yang lebih baik serta membangunkan sistem perumahan yang mantap.

"Kita faham yang flat Prime dan Plus mempunyai lokasi yang sangat baik. Justeru, harganya tinggi lebih tinggi daripada flat Standard dan kita tidak mahu mereka yang berpendapatan rendah untuk ketinggalan kerana kalau kita tidak memikirkan aspek ini dengan ketara dan dengan mendalam, ia akan menjejas kita punya fabrik sosial negara kita. Justeru kita memberikan subsidi yang lebih tinggi bagi mereka yang berpendapatan rendah," jelas Dr Faishal.

Menurut beliau juga, golongan berkeluarga dan mereka yang mahu membeli flat pada kali pertama merupakan golongan besar yang memohon flat dalam penjualan BTO pada Oktober 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita