Skip to main content

Singapura

Lebih banyak pantai ditutup susuli tumpahan minyak; MPA bantu permudah urusan tuntutan pihak ketiga

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak pantai ditutup susuli tumpahan minyak; MPA bantu permudah urusan tuntutan pihak ketiga

Tumpahan minyak di Pulau Sekijang Bendera dan Pulau Sekijang Pelepah pada 15 Jun 2024. (Gambar-gambar: St John’s Island National Marine, Samuel Pua menerusi Marine Stewards)

Diterbitkan : 16 Jun 2024 09:59PM Dikemas Kini : 17 Jun 2024 11:23AM
SINGAPURA: Pantai di tiga pulau Singapura akan ditutup sehingga diberitahu kelak, menurut pihak berkuasa pada lewat Ahad (16 Jun) selepas tumpahan minyak pada Jumaat merebak ke beberapa pinggir laut.

Pantai-pantai di Pulau Sekijang Bendera, Pulau Sekijang Pelepah dan Pulau Kusu akan ditutup.

Kakitangan NParks, bersama-sama dengan para relawan dari 'Friends of Marine Park', berkunjung ke Pulau Sekijang Bendera dan Pulau Sekijang Pelepah pada pagi tadi (16 Jun) untuk mengawasi dan mencatat kesan tumpahan minyak di kawasan-kawasan ini.

Penutupan pantai di pulau-pulau itu adalah lanjutan kepada penutupan di kawasan B hingga H Taman East Coast, jeti serta pantai berbatu Kawasan Alam Semula Jadi Simpanan Labrador, yang ditutup pada Sabtu (15 Jun).

Pantai-pantai Sentosa tetap dibuka kepada awam, tetapi kegiatan laut dan berenang masih tidak dibenarkan di pantai Tanjong, Palawan dan Siloso.

Setakat pukul 1.30 tengah hari Ahad (16 Jun), tidak ada tanda-tanda tumpahan minyak merebak teruk ke Taman Marin Pulau Subar Laut dan Pulau Subar Darat tetapi lapisan minyak dilihat di perairan sekitarnya.

Kemas kini terbaharu pada lewat Ahad (16 Jun) adalah kenyataan bersama oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC).

Tumpahan minyak sampai ke beberapa pantai Singapura selepas sebuah kapal 'Vox Maxima' melanggar kapal tangki 'Marine Honour' di Terminal Pasir Panjang kira-kira pukul 2.20 petang Jumat (14 Jun).

Pelanggaran itu menyebabkan sebilangan minyak daripada tangki kargo kapal tangki tertumpah ke dalam perairan di Terminal Pasir Panjang.

MPA bekerjasama dengan British Marine, syarikat insurans kapal tangki yang tidak bergerak itu, untuk menyediakan satu saluran sahaja di mana "pihak-pihak terjejas" boleh membuat tuntutan pihak ketiga.

Mereka boleh mengirimkan emel kepada marinehonour [at] helmsmanlaw.com.
APA YANG BERLAKU

Pihak berkuasa menjelaskan rentetan peristiwa yang berakhir dengan pelanggaran kapal tangki.

'Vox Mariner' dilaporkan tiba-tiba hilang kawalan enjin dan pengemudian kapal sebelum ia melanggar kapal tangki lain pada Jumaat (14 Jun).

Ini menyebabkan tangki minyak kargo kapal itu bocor sementara minyak rendah sulfurnya pula masuk ke dalam air.

Kapal ronda MPA dikerahkan ke tempat kejadian dan bahan pemecah minyak menjadi titisan kecil kemudian disembur pada tumpahan minyak itu. Kontraktor respons pihak berkuasa juga dikerahkan dan mereka menggunakan penyiring untuk mengurangkan kesan tumpahan, menurut kenyataan bersama.

"Penghadang minyak seterusnya dipasang di keliling kapal sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, sekiranya berlaku lebih banyak pembocoran daripada kapal itu," menurut pihak berkuasa lagi.

"(Malangnya) disebabkan arus pasang surut laut, beberapa bahagian tumpahan minyak merebak ke pinggir laut selatan Singapura termasuk Sentosa, Kawasan Alam Semula Jadi Simpanan Labrador, pulau-pulau di selatan, Marina South Pier dan Taman East Coast.

MPA masih menjalankan siasatan dan nakhoda kapal serta anak-anak kapalnya sedang membantu siasatan.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita