Skip to main content

Singapura

Lebih banyak pagar & grid lembu dipasang, halang babi hutan masuk kawasan perumahan Bukit Panjang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang mempertingkatkan langkah-langkah untuk menghalang serangan babi hutan di Bukit Panjang berikutan insiden di mana dua penduduk diserang.

Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan ia akan menambah lebih banyak pagar dan memasang grid lembu di Taman Zhenghua untuk menghalang babi hutan daripada memasuki kawasan perumahan.

Ia merupakan langkah tambahan kepada langkah-langkah sedia ada seperti kaedah menakai.

Selain pagar, grid lembu akan dipasang atas tanah di ruang antara pagar.

Grid lembu adalah jeriji yang membenarkan akses tanpa menghalang pengunjung taman dan penunggang basikal. Namun, ia direka dengan jurang untuk menangkap babi hutan jika ia cuba untuk menyeberanginya.

Salah satu grid lembu, terletak di laluan bawah tanah Bangkit menuju ke Taman Chesnut, dipamerkan kepada pihak media ketika lawatan pada Jumaat (23 Jun). Pemasangan grid lembu diselesaikan pagi itu.

Satu lagi grid lembu serta pagar sepanjang 150 meter akan dipasang di Chesnut Avenue, manakala pagar sepanjang 400 meter akan dipasang di bawah Jejambat Gali Batu.

Langkah-langkah tersebut di Chestnut Avenue dijangka selesai dipasang menjelang Julai, manakala pagar di bawah Jejambat Gali batu dijangka selesai pada hujung Ogos.

Ia adalah langkah tambahan kepada pagar yang dipasang pada 2020. Sejak 2019, sekitar 50 babi hutan yang ditangkap di Taman Zhenghua sudah ditakai.

Taman Zhenghua sering digunakan oleh babi hutan sebagai laluan persinggahan disebabkan jaraknya yang dekat kepada Taman Chesnut, Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah dan Taman Dairy Farm.

NParks mengenal pasti tiga titik utama yang menghubung kawasan hutan dan Taman Zhenghua: Jejambat Gali Batu, laluan bawah tanah Bangkit dan sepanjang Chesnut Avenue.

Ini adalah kali pertama grid lembu digunakan di kawasan perumahan di Singapura selepas ia dipasang di Pulau Ubin pada 2021.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita