Skip to main content

Singapura

Lebih banyak muat turun aplikasi 'cari kubur', tempahan pengangkutan ke pusara

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apabila memandu lalu kawasan Pusara Abadi, terdetik di benak Encik Muhammad Hafiz Mohamed Yusoff bagaimana warga emas hendak menziarahi pusara ahli keluarga tercinta.

Ini yang mendorong beliau untuk mula tawarkan khidmat penghantaran penumpang ke kubur sejak enam tahun lalu.

Untuk setiap tempahan, beliau akan menjemput pelanggannya dari rumah ke pusara dan mereka diberi masa selama dua jam untuk menziarahi seberapa banyak kubur di sana.

Pada Ramadan ini, beliau menyaksikan permintaan meningkat sehingga 40% berbanding tahun lalu. Peningkatan itu juga mungkin disebabkan keadaan lebih stabil pasca-COVID.

"Selalunya permulaan Ramadan. Hujung minggu paling ramai dan penutup Ramadan yang akan datang hari enam, hari minggu ini akan lebih sesak. Sambutan untuk bulan Ramadan ini alhamdulillah agak banyak sambutannya. Agak banyak hingga saya membuka dua waktu. Pagi dan petang untuk pelanggan saya," kata pengasas 'Kubur Transportation' itu yang berusia 34 tahun.

BOLEH PERGI SEBERAPA BANYAK PUSARA DALAM 2 JAM

Meskipun ada banyak pilihan tempahan kereta lain, para penumpangnya lebih suka menggunakan khidmat penghantaran ulang-alik ke pusara seperti yang ditawarkan Encik Hafiz.

Selain sukar menempah teksi atau kereta sewa privet waktu pulang, mereka juga boleh dibawa ke blok-blok pusara berlainan dalam tempoh dua jam yang diberikan.

"Saya telah gunakan perkhidmatannya selama setahun. Dalam bulan Ramadan sudah tiga kali saya sudah mengunjungi pusara, menziarahi pusara. Tentunya perasaan berasa gembira dan menyenangkan sebab ini memudahkan bagi kita menziarahi kubur lebih kerap," kongsi salah satu pelanggannya, Mohd Nazzron Medi kepada wartawan Danish Aiman.

Beliau juga mendapati harga yang dikenakan juga berpatutan. Setiap tempahan dikenakan bayaran serendah $80 mengikut jarak perjalanan.

Bagi memenuhi permintaan lebih tinggi menjelang Syawal ini, Encik Hafiz juga membuka lebih banyak slot tempahan setiap hari.

"Biasanya, pada hari raya pertama, paling banyak tempahan yang saya dapat. Mungkin lebih daripada enam, tujuh. Tetapi untuk tahun ini paling banyak. Lebih daripada 10 pelanggan yang telefon yang ingin menempah," jelas Encik Hafiz.

APLIKASI MENCARI KUBUR BERI KEMUDAHAN ZIARAH DI BULAN RAMADAN

Bagi lagi satu perkhidmatan iaitu untuk mencari kubur pula, pengasas aplikasi 'Kubur Search', Ramzul Ihsan Abdul Nadjieb juga melihat lebih ramai yang muat turun aplikasi tersebut.

Untuk itu, beliau juga telah mempertingkatkan lagi kemampuan aplikasi itu dan menambah lebih banyak pangkalan data kubur supaya lebih ramai orang dapat mencari kubur yang ingin diziarahi.

"Dengan naiknya muat turun dan kegunaan aplikasi, kita cuma meningkatkan 'bandwidth' supaya senang. Tahun ini, tahun lepas ada beza banyak juga. Ini saya rasa tahun kedua selepas COVID memang jelas, semakin ramai orang. Saya semak minggu lepas saya dapat dalam 100 orang muat turun dalam purata satu hari. Memang saya jangkakan mungkin lagi dekat kita dengan Hari Raya, lagi ramai orang pakai," kata Encik Ramzul Ihsan.

Beliau yang juga menawarkan khidmat pembinaan dapur kubur, ada di pusara untuk bantu warga emas yang tidak tahu menggunakan aplikasi tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita