Skip to main content

Singapura

Lebih banyak MNC guna ruang kerja bersama

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak MNC guna ruang kerja bersama

Gambar: WeWork

Diterbitkan : 29 May 2022 06:31PM Dikemas Kini : 29 May 2022 11:06PM

SINGAPURA: Apabila ruang kerja bersama mula-mula diperkenalkan di Singapura, ia dilihat sebagai ruang pejabat sementara bagi para individu dan syarikat-syarikat pemula untuk memulakan perusahaan masing-masing tanpa komitmen ruang pejabat sewa tetap.

Tanggapan tersebut bagaimanapun sudah berubah hari ini sedang tempat-tempat ruang kerja bersama kini menyaksikan lebih banyak Syarikat Berbilang Negara (MNC) mengecilkan pejabat utama masing-masing, malah memilih untuk menempatkan sebahagian, atau kesemua pekerja mereka di tempat-tempat ruang kerja bersama di merata Singapura.

Para pakar dan tempat-tempat ruang kerja bersama memberitahu Mediacorp bahawa lebih banyak MNC sudah mula menggunakan ruang pejabat dan ruang kerja bersama yang lebih kecil untuk dijadikan sebagai ibu pejabat.

Ini sebahagiannya disebabkan oleh syarikat-syarikat yang lebih besar mengamalkan aturan kerja hibrid, yang membolehkan para pekerja mereka untuk bertugas di pejabat dan bekerja dari rumah.

LEBIH BANYAK PERUSAHAAN GUNA RUANG KERJA BERSAMA

Semasa syarikat pengurusan risiko dan runding cara global Willis Towers Watson (WTW) terpaksa menyemak semula syarat-syarat pajakan dengan tuan tanahnya di One Raffles Quay, syarikat itu memutuskan untuk berpindah ke WeWork, iaitu penyedia ruang kerja bersama.

Ini kerana 97 peratus daripada 265 pekerja WTW menyatakan bahawa mereka akan memanfaatkan aturan kerja hibrid, kata Encik Choo Oi San, ketua cawangan WTW Singapura.

Syarikat tersebut akan berpindah ke bangunan pejabat terbaru WeWork di 21 Collyer Quay, yang akan dibuka dalam tiga fasa mulai Julai 2022.

Ia akan dilengkapi dengan ruang khusus "dan lebih dari itu" untuk pekerjanya, dengan hampir 100 meja. Bilik mesyuarat untuk kerjasama akan membentuk 30 peratus ruang pejabat, kata Encik Choo.

"Kelebihan menggunakan model (kerja bersama) sedemikian ialah ia memberikan kami keupayaan dan kelonggaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pada keperluan perniagaan dengan pantas tanpa memerlukan pelaburan yang besar," kata Encik Choo, sambil menambah bahawa beberapa pejabat WTW di Amerika Utara juga sudah menggunakan ruang kerja bersama.

Bagi penyedia ruang kerja bersama seperti WeWork, ia berupaya menjana lebih banyak perniagaan daripada syarikat-syarikat yang mencari aturan kerja fleksibel pasca pandemik - terutamanya daripada MNC seperti WTW.

WeWork telah menyaksikan kadar penghunian ruangnya meningkat sebanyak 20 peratus antara Mac 2021 dengan Mac 2022.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita